Tema 8: Kesenian


8.1 Konsep

Berikan pengertian kesenian dari pelbagai sudut.

Kesenian dalam tamadun awal dunia ini lebih merujuk kepada segala keindahan dan kehalusan. Keindahan dan kehalusan ini dapat kita lihat melalui aspek-aspek kesusasteraan, muzik, seni bina, seni ukir, kaligrafi, seni lukis dan teater. Setiap tamadun memperlihatkan keunikan kesenian masing-masing ada setengah-setengah daripadanya masih dapat dilihat hingga ke hari ini.

8.2 Pencapaian dan sumbangan

  1. Senaraikan bidang-bidang kesenian yang wujud dalam tamadun awal dengan meujuk kepada contoh-contoh benar yang terdapat dalam tamadun awal.
  2. Susur galurkan asal usul dan sejarah perkembangan bidang-bidang kesenian secara kronologi seperti kesusasteraan, muzik, seni bina, seni ukir, kaligrafi, seni lukis dan teater.


Tamadun Mesopotamia

Kesusasteraan

Sebahagian besar dari kesusasteraan Sumeria zaman dahulu kala masih wujud hingga ke hari ini. Antara yang terkenal ialah Legenda Etana dan Legenda Adapa. Di samping itu terdapat Epik Gilgamesh. Epik yang merupakan puisi yang panjang ini menyentuh tentang agama, keperwiraan, falsafah dan ccorak hidup orang Sumeria. Dikatakan bahawa epik yang pertama di dunia dihasilkan pada zaman Sumeria. Ia telah mengasaskan penghasilan epik.

Seni Ukir dan pahat

Mutu kesenian ini menampakkan mutu yang lebih baik pada zaman-zaman sebelum zaman Sargon. Walau bagaimanapun seni ini tidak dapat menandingi seni yang terdapat di Mesir.Kemahiran seni ukir tidak begitu nyata dalam tamadun Mesopotamia. Antara sebabnya ialah tidak terdapat bahan binaan iaitu batu. Walau bagaimanapun, pengukir-pengukir Sumeria mempunyai kemahiran seni ukir yang tinggi. Mereka membuat ukiran-ukiran yang cantik dan halus seperti kerbau, rusa jantan dan helang dari tembaga. Seni Ukir yang terkenal sekali di sini ialah ukiran Patung Raja Gudea. Ukiran juga dapat dilihat melalui tembikar dan cop mohor yang dibuat daripada tanah liat.

Kaligrafi

Orang-orang Sumeria merupakan masyarakat yang terawal sekali di dunia membentuk sistem tulisan. Tulisan merupakan gambar-gambar atau simbol-simbol yang diguriskan di atas kepingan tanah liat. Ia dikenali sebagai cuneiform atau tulisan pepaku atau tulisan berbaji. Tulisan .berbaji ini kemudiannya berkembang ke peringkat fonetik (berdasarkan bunyi perkataan) semasa orang Sumeria mencapai kemajuan. Terdapat lebih daripada 560 tanda untuk menggambarkan perkataan. Tulisan itu digunakan untuk merekodkan sesuatu ( di atas kepingan tanah liat).

Seni bina

Seni bina tamadun Mesopotamia dapat dilihat melalui tiang batu dan arca. Seni bina mereka seperti lengkungan, bumbung yang melengkung dan kubah yang kemudian dituru oleh orang Rom. Apabila Mesopotamia diperintah oleh puak Chaldea yang menjadikan Babylon sebagai pusat pemerintahan ( yang bermula pada tahun 625 SM) sebagai dinasti yang akhir sekali memerintah zaman keagunganMesopotamia, salah seorang pemerintahnya yang bernama Nebuchadnezzar telah mengindahkan kota Babylon. Baginda mencantikkan Babylon melalui seni bina iaitu dengan membina banyak bangunan yang indah-indah yang dibuat dari tanah liat (tanah liat merupakan satu-satunya bahan tempatan yang diperolehi di Mesopotamia pada masaitu) seperti kuil, pintu gerbang, jambatan dan istana. Bagi mencantikkannya lagi, baginda hiasi dengan taman-taman bunga yang indah. Inilah yang dinamakan Taman Tergantung Babylon yang menjadi satu daripada tujuh benda ajaib di dunia.

Tamadun Mesir

Kesusasteraan

Kesusasteraan Mesir terdiri daripada cerita, puisi, lagu dan nasihat. Kebanyakan daripada kesusasteraan yang dihasilkan pada Zaman Kerajaan Tua / Peuba (3500-2700 SM) adalah berbentuk keagamaan dan falsafah. Contohnya, legenda Osiris dan Isis yang mempunyai banyak versi itu mengisahkan tentang tuhan-tuhan mereka. Begitu juga dengan nasihat-nasihat Ptahhotep (seorang cendikiawan Mesir purba) telah direkodkan ke dalam buku. Buku ini digunakan di sekolah-sekolah beberapa tahun selepasnya dan tidak syak lagi banyaklah keturunan orang Mesir yang dididik mengikut pengajarannya. Nasihat-nasihatnya amatlah mudah diamalkan. Dia mengesyorkan seseorang itu menghormati orangyang lebih tinggi darjatnya agar tidak disiksa oleh mereka dan juga orang yang lebih rendah darjatnya agar tidak dimurkai tuhan. Orang kaya baru diberi amaran supaya jangan sombong dan mengikut pendapatnya orang yang bijak sekali ialah orang yang kurang bercakap. Ptahotep juga memberi nasihat mengenai tingkahlaku dan mengenai cara-cara menjaga isteri. Katanya, "seseorang isteri perlu diberi makanan, pakaian dan minyak wangi. Janganlah hendaknya seseoang suami itu bengis kerana seseorang isteri lebih mudah menurut jika dipujuk. Kesusasteraan klasik bermula pada Zaman Kerajaan Pertengahan. Nasihat-nasihat yang berguna dikumpulkan dalam sebuah buku. Antara yang terkenal ialah ‘Hymn To The Sun’ dan ‘Book of The Dead’.

Seni Ukir

Seni ukir Mesir dapat dilihat melalui kuil-kuil, piramid, sphinx dan tiang-tiang.Seni ukir yang terdapat pada patung-patung Firaun ini tidak banyak perbezaannya buat berabad-abad lamanya. Tiang-tiang yang dibina ketika Mesir diperintah oleh raja perempuan yang bernama Hatshepsut telah diukir dengan catatan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada zamnnya. Antara perisitiwa penting itu ialah pembinaan semula rumah-rumah berhala.

Seni Bina

Juru bina yang mula-mula sekali merangka bangunan batu ialah Imhotep, penasihat utama kepada Firaun Zoser. Semasa rajanya masih hidup, beliau telah membina sebuah tugu yang berbentuk piramid di Sakkara. Piramid yang dipanggil Step Piramid ini masih ada hingga ke hari ini. Pembinaan piramid seperti ini diteruskan oleh raja-raja Mesir seterusnya. Setiap raja semasa hidupnya membina tugu-tugu besar atau piramid yang masih kekal hingga ke hari ini. Kebanyakan piramid dibina antara tahun 3000 hingga 2000 SM. Apa yang menakjubkan di sini ialah betapa berat dan susahnya kerja membina tugu-tugu besar begini bagi orang-orang zaman itu. Piramid besar yang dibina di Gizeh untuk Firaun Khufu meliputi kawasan seluas 13 ekar. Ia dibina menggunakan lebih daripada sejuta kepingan batu kapur yang beratnya 2 tan sekeping. Di dalam tugu ini terdapat lorong-lorong yang menyambungkan bilik-bilik mayat yang ada di dalamnya. Jelas sekali betapa mutlaknya kuasa raja-raja Mesir dan rajinnya rakyat kelas bawahan. Dianggarkan seramai 100,000 orang yang terdiri daripada hamba abdi dan dan pekerja yang dikerah paksa, terpaksa bekerja untuk selama 20 tahun bagi menyiapkan tugu itu. Antara tugu-tugu termasyhur yang masih kekal hingga ke hari ini ialah The Great Sphinx of Giza. Ia berupa sejenis makhluk yang mempunyai badan seekor singa dan berkepala yang menyerupai muka Firaun Khfre. Firaun Khfre telah membina 3 buah piramid di Gizeh. Sphinx-sphinx ini didirikan berhampiran dengan tugu-tugu besar. Banyak patung Firaun yang memerintah pada zaman dinasti pertama dibina di Mesir ini.

Selain dari tugu, seni bina Mesir juga dapat dilihat melalui pembinaan kuil-kuil. Raja Pepi 1 telah membina beberapa buah rumah berhala unutk ‘tuhan-tuhan’ mereka. Batu granait digunakan dalam pembinaan rumah berhala ini. Usahanya diteruskan oleh firaun-firaun yang memerintah selepasnya terutamanya Raja Hatshepsut..Kuil-kuil yang dibina itu menggunakan kemahiran yang tinggi.

Semasa Mesir diperintah oleh raja perempuan yang bernama Hatshepsut, baginda memerintahkan supaya didirikan dua batang tiang peringatan semasa perayaan menyambut ulangtahun pemerintahnnya yang ke-15. Tiang-tiang itu hampir 100 kaki dan berat setiap batang ialah 350 tan. Tiang-tiang ini didirikan di hujung rumah berhala Amon yang mula dibina semasa pemerintahan ayahnya. Pembinaan tiang ini dibuat hampir 6 bulan. Tiang-tiang itu disalut dengan sejenis pancalogam. Selain dari itu banyak didirikan patung-patung firaun dan istana.

Seni Lukis

Lukisan yang dihasilkan pada zaman Mesir purba mempunyai warna yang terang. Ia biasanya menggambarkan kehidupan seharian masyarakat Mesir purba. Lukisan dapat dilihat di dinding piramid.

Muzik

Antara alat-alat muzik yang utama ialah seruling, sastrum, kecapi dan alat muzik yang bertali. Kuil juga mempunyai koir masing-masing. Istana raja pula mempunyai orkestra.

Kaligrafi

Orang Mesir mula memajukan sistem tulisan semasa zaman pra-dinasti lagi. Pendeta Mesir telah menggunakan tulisan apabila hendak merekodkan upacara keagamaan dan harta kuil. Tulisan awal Mesir adalah dalam bentuk gambar iaitu gambar digunakan untuk mewakili objek. Jenis tulisan ini dipanggil tulisan hieroglifik (hieroglyphic). Pada peringkat kedua perkembangan tulisan, gambar yang mewakili bunyi perkataan digunakan. Peringkat akhir perkembangan tulisan menyaksikan penciptaan huruf yang mengandungi 24 tanda. Huruf yang dicipta tidak mengandungi huruf vokal. Dakwat yang digunakan untuk menulis dibuat dengan mencampurkan air, abu dan gam sayur-sayuran. Rumput buluh halus digunakan sebagai pen. Tulisan dibuat atas tembikar, tulang dan kayu. Kemudian orang Mesir menggunakan papirus sebagai kertas.

Tamadun Graeco-Roman

Greek

Kesusasteraan

Pengasas kesusasteraan Yunani yang terkenal ialah Homer. Beliau telah menulis epik-epik Illiad dan Odyssey. Illiad adalah kisah-kisah peperangan di antara Yunani dan Troy manakala Odyssey pula mengisahkan pengembaraan Odysseus selepas peperangan dengan orang-orang Troy tamat. Pendek kata, epik-epik tersebut bertemakan kekuatan fizikal. Hipponax dan Xerophones telah memperkenalkan puisi lirik. Tema puisi lirik ialah kegembiraan dan kesedihan. Pindar (518-438 SM) merupakah salah seorang penulis puisi lirik yang masyhur. Sappho (abad ke-6 SM) pula adalah seorang ahli puisi wanita yang masyhur. Dia menulis puisi-puisi romantik. Thucydides adalah tokoh sastera Greek yang memperkenalkan bentuk prosa.

Drama diperkenalkan pada abad ke-5 SM.Drama-drama awal lebih kepada bentuk agama dan kepercayaan. Penulis-penulis drama Yunani yang masyhur ialah Aeschylus (525-456 SM) yang dianggap sebagai pengasas drama Greek, Sophocles (496-406 SM) dan Euripides (480-406 SM). Di antara drama-drama yang terkenal ialah ‘The Persians’, ‘Prometheus Bound’, ‘Antigone’, ‘The Trojan Women’ dan ‘Oedipus’. Drama-drama ini adalah berbentuk komedi dan tragedi. Secara keseluruhannya drama-drama Greek mempersembahkan lakonan memuja. Walau bagaimanapun, ada juga di kalangan dramatis yang bersifat kritis. Sebagai contoh, Euripides telah menunjukkan kesangsiannya terhadap tuhan. Aristophanes pula mempersendakan ahli-ahli politik dalam lakonannya. Drama yang berani mengkritik para pegawai kerajaan yang menerima rasuah (dibuat secara komidi) ialah ‘The Knights’ dan yang mempersendakan ahli falsafah (seperti Socrates dan Pericles) ialah ‘The Clouds’.

Teater

Bidang ini berkembang pesat di negara kota Greek pada abad ke-5 SM. Ia diadakan pada masa Pesta Dlonysus atau Dewa Wain. Pelakon-pelakon teater terdiri dari kaum lelaki sahaja. Teater mendapat sambutan yang baik daripada rakyat. Pada peringkat awal seorang akan membacakan cerita dan seorang lagi akan berlakon. Keadaan ini kemudian berubah dengan pelakon menguasai lakonan, cerita dan cuma terdapat muzik latar mengiringi lakonan mereka.

Seni Bina

Tamadun Greek juga memperlihatkan ketingggian dalam bidang seni bina. Bidang ini dapat dilihat melalui bangunan-bangunan yang dirikan seperti kuil-kuil. Kemajuan dalam bidang ini jelas sekali pada zaman Pericles di Athens. Di bawah arahan juru binanya yang bernama Ictinus dengan bantuan Callicrates, Pathenon atau ‘Temple of the Virgin’ dibina di atas Acropolis. Kuil ini dibina ‘untuk Dewi Athena’. Bangunan ini dibuat dari batu marmar Attica yang diambil dari Gunung Pentelicus. Dari runtuhannya masih kelihatan rupa dan bentuknya yang menarik. Di dalamnya terdapat sebuah patung Virgin Athena yang besar dan tersergam. Selain dari Pantheon, terdapat banyak kuil lain di bina di Greek seperti Kuil Arthemis dan Kuil Apollo yang melambangkan kebolehan juru binanya. Di Greek terdapat 3 jenis seni bina bangunan yang popular iaitu Doric, Ionic dan Corinthian. Keindahan seni bina Greek dapat juga dillihat melalui patung yang menjadi tiang bangunan serambi Kuil Erechtheum.

 Seni Ukir

Orang crete adalah pakar dalam memotong permata, mengukir gading dan seni tembikar.Mereka telah meninggalkan contoh-contoh hasil kerja tangan dari logam-logam dan patung-patung kecil yang sangat indah perbuatannya, dibuat dari gading dan emas. Keindahan seni ukir Greek juga dapat dilihat melalui ukiran-ukiran pada patung-patung ketuhanan. Sebagai contoh, patung Athena yang dibuat daripada gangsa dan emas diukir dengan begitu halus. Contoh patung lain yang diukir ialah patung Seus, patung Olympia, patung pembaling cakera, Colossus dan Venus de Milo. Patung-patungnya mempunyai mimik muka perasaan manusia. Antara pengukir-pengukir yang terkenal ialah Phedias, Scopas dan Praxiteles. Selain dari bertanggungjawab mengukir patung Dewi Athena, Phedias juga mengukir gambar timbul yang cantik untuk Kuil Parthenon.

Seni Lukis

Sejarah peradaban awal Greek bermula di Pulau Crete (setakat tahun 2000 SM dan mencapai puncaknya pada tahun 1600 SM dan berterusan hingga selama kira-kira 4 abad lagi selepas itu) .Ia dikenali sebagai tamadun Mycenae. Kemajuan orang-orang Crete dalam bidang seni lukis sangat tinggi dari segi kehalusan dan daya. Istana-istana mereka dihiasi dengan lukisan-lukisan dinding (gambaran tentang orang perempuan dan binatang-binatang dengan berlatarbelakangkan pemandangan di desa. Selain dari itu, terdapat juga lukisan-lukisan menggambarkan pembawa-pembawa cawan yang bersopan santun, budak-budak perempuan yang menari dan perlawanan berlaga lembu dengan disaksikan oleh orang-orang bangsawan memakai pakaian-apakaian yang mengikut fesyen. Dengan itu dapat dikatakan di sini bahawa lukisan-lukisan orang Greek menggambarkan peristiwa-peristiwa yang tragik dan dramatik. Lukisan dibuat di atas kepingan kayu pada zaman Pericles. Ia juga dilukis di atas bekas-bekas.Pelukis Greek yang terkenal ialah Apollodorus.

Kaligrafi

Tulisan awal masyarakat Minos di Greek merupakan tulisan bergambar hieroglyphic (2000-1650 SM) dan tulisan bergaris yang disebut Linear A ( tahun 1700 SM). Terdapat juga jenistulisan Linear B (tahun 1450 SM) yang ditulis di atas papan tanah liat (contohnya, papan tanah liat dijumpai di Knossos, Create) dan di Mycenae, Pylos dan Thebes. Dikatakan juga bahawa orang Yunani telah mengambil tulisan orang Phoenicia yang telah diubah suai dengan menambah huruf-huruf vokal.

Tamadun Rom

Kesusasteraan

Rom telah menghidupkan kembali kesusasteraan Greek yang banyak mempengaruhi kehidupan orang Rom. Di samping mengekalkan kesusasteran Greek, orang Rom juga mencipta sastera mereka sendiri. Namun Rom tidak mempunyai ramai penulis agung. Pada zaman Pax Romana (zaman keamanan), sarjana-sarjana Rom mengkaji dan menulis semula karya-karya agung lama. Di antara tokoh Rom yang terkenal dalam bidang ini ialah Phiny dengan karya yang berjodol ‘Natural History’. Seneca adalah contoh penulis prosa yang terkenal. Cicero pula telah menjadikan bahasa Latin sebagai bahasa yang penting dalam kesusasteraan melalui tulisan-tulisannya. Bidang ini mencapai puncak pada zaman pemerintahan Augustus dengan dua orang penyair terkenal iaitu Horace ( penulis lirik) dan Virgil. Virgil telah menghasilkan ‘Aeneid’.

Seni bina

Seni bina Rom menggambarkan gabungan antara orang Rom, Etruscan dan Yunani. Gabungan ini dipanggil Graeco-Roman.Orang Rom meniru bentuk arca dari orang Etruscan dan dari situ mereka mencipta bidang-bidang baru lain yang tidak ada di Greek. Sebenarnya Rom banyak mewarisi seni bina Greek. Walaupun rekaan orang Rom tidaklah sehalus ciptaan orang Greek namun keluasan binaan Rom menampakkan sesuatu yang mengkagumkan. Mereka telah mencipta sendiri konkrit yang dibuat dari batu dan batu bata bagi menjimatkan belanja dan ciptaan ini kemudian ditiru oleh negara Eropah lain..

Bangunan-bangunan Rom mempunyai ciri-ciri seperti lengkungan, basilika dan dom. Seni bina rom banyak dipengaruhi seni bina Greek dan Asia. Seni bina Rom dapat dilihat melalui binaan pintu gerbang, bumbung yang melengkung, arked (peneduh), kubah, tiang , bangunan bundar, saluran-saluran air yang besar (akuadak) , tempat mandi awam, arca, jalan raya, jambatan, pembentung, hospital, rumah dan gereja.

Antara bangunan yang masyhur ialah Colosseum (tahun 80 M). Colosseum merupakan sebuah teater atau gelanggang yang besar untuk pelbagai jenis permainan yang boleh memuatkan seramai 50,000 orang. Colosseum dibina dengan gabungan tiga ciri utama zaman Greek iaitu ‘doric’, ‘ionic’ dan ‘corinthian’. Pantheon pula merupakan kuil berbentuk kubah dengan ukuran 142 kaki diameter. Yang istimewa tentang Pantheon ini ialah domnya tidak disokong oleh tiang. Selain dari itu terdapat juga Circus Maximum yang merupakan stadium berbentuk elips yang menganjurkan pertandingan kereta kuda beroda dua. Stadium ini boleh memuatkan seramai 150000 orang. . Rom juga terkenal dengan binaan jalan raya yang dibina sepanjang 12,000 batu dengan 372 jalan utama yang menghubungkan Rom dengan negara-negara di bawah empayarnya. Rom membina saluran air (akuadak) yang ada yang sampai 80 km panjangnya. Contoh akuadak yang terkenal ialah Aqua Claudia. Rom juga terkenal dengan binaan kolam mandi. Antara yang terkanal ialah Caracalla seluas 11 hekatar yang boleh memuatkan seramai 1500 orang.

Augustus telah membina sebuah istana di Bukit Palatine dan sebuah kuil untuk Apollo berdekatan dengannya. Kuil ini dicirikan oleh jajaran tiang. Seni bina Rom mencapai puncak pada zaman Trajan dan Hadrian.

Seni Ukir

Seni ukir Rom boleh dilihat melalui seni binanya yang banyak dipengaruhi oleh corak Greek.

Kaligrafi

Rom menggunakan tulisan Latin. Orang Rom juga telah mengambil tulisan orang Phoenicia (orang Phoenicia telah mencipta sistem abjad yang mempunyai 22 simbol) yang telah diubah suai oleh orang-orang Greek dengan menambah huruf-huruf vokal yang kemudian telah diubah suai lagi oleh orang-orang Rom. Tulisan ini kemudian telah tersebar ke Barat.

Tamadun China

Kesusasteraan

Sun –tsu (awal kurun ke-4 SM) telah mengarang buku ‘ The Art of The War yang menyentuh tentang strategi peperangan. Banyak kajian dan karya telah dihasilkan pada zaman Dinasti Han. Tokoh penting yang hidup pada zaman Dinasti Han ialah Ssu Ma Chien yang juga dikenali sebagai Bapa Sejarah China.

Puisi juga mendapa tempat di negara China. Pada zaman Dinasti Tang (618-907 M) penyair-penyair agungnya mendapat sanjungan yang tinggi di negara China jika dibandingkan pada zaman-zaman yang lain. Antara penyair yang terkenal ialah Tu Fu dan Li Po. Nada puisi ialah kesayuan dan kegembiraan.

Pada zaman Dinasti Yuan bidang novel berkembang dengan pesat dan setengah-setengah novel telah mencapai kepada tahap mutu yang tinggi walaupun pada mulanya tidak dianggap sebagai kesusasteraan dalam erti kata yang sebenar.

Seni bina

Dalam bidang ini China terkenal dengan pembinaan Tembok Besar yang dibina semasa Dinasti Chin. Semasa Dinasti Chou lagi, beberapa buah negeri di bahagian utara negeri China telah membina tembok-tembok yang panjang untuk mempertahankan negeri China daripada serangan musuh. Maharaja Shih Huang Ti telah mengukuh dan mencantumkan semua tembok tersebut menjadi satu tembok besar yang bersambungan di atas bukit dan lembah.Pembinaannya adalah dalam jangka masa antara tahun 228 SM hingga 210 SM. Tembok Besar China yang panjangnya kira-kira 2410 km dan setinggi 40-50 kaki merupakan satu daripada 7 keajaiban dunia. Di sepanjang tembok itu dibina 20,000 menara-pengawa di samping 10,000 menara-pengawal kecil. Pada setiap menara ditempatkan sepasukan tentera seramai 100 orang. Seni bina yang lain dapat dilihat melalui pembinaan istana, kuil-kuil dan bangunan-bangunan berbentuk pagoda.

Seni Ukir, seni pahat dan seni halus

Ukiran-ukiran dapat dilihat pada patung-patung yang dibuat daripada batu jed, gangsa, batu, tanah liat dan kayu. Ukiran juga dibuat di kubur dan di dinding gua. Pengukir Shang menggunakan batu marmar, batu jed dan batu kapur untuk mengukir patung-patung kecil. Dinasti Han juga terkenal dengan pengukir-pengukirnya yang mahir.

Dalam bidang pembuatan seramik atau tembikar, masyarakat Shang telah memajukan teknik-teknik membuat seramik.Buatannya halus dan dicat dengan warna hitam dan merah. Gangsa juga digunakan untuk membuat bekas air dan makanan. Ia dihiasi dengan ukiran-ukiran geometrik dan haiwan.

Pada zaman Dinasti Tang (abad ke-8) seni pahat (sculpture) turut berkembang seiring dengan perkembangan seni lukis.Dalam hal ini agama Buddha banyak memainkan peranan. Kegiatan agama telah menghasilkan banyak patung di kuil-kuil. Patung-patung yang masyhur ialah ‘Lung-men’, Buddha batu yang dikelilingi oleh patung-patung Bodhisattvas, samai-sami dan penjaga-penjaga. Kemudian dengan secara beransur-ansur orang-orang China menggantikan patung-patung keagamaan itu dengan membuat patung-patung berbentuik kuda dengan ukiran-ukirannya sekali. Patung-patung kuda dengan penunggangnya menggambarkan sifat kepahlawanan China.

Seni Lukis

Lukisan dilukis pada kain sutera, tembikar dan sampang. Ia biasanya terdiri daripada potret manusia, gambar-gambar yang berlatarbelakangkan cerita-cerita metos dan peristiwa-peristiwa yang benar-benar berlaku. Seni lukis yang mula-mula sekali dihasilkan adalah dari orang-orang Buddha yang kemudian berkembang ke arah keduniaan. Pada zaman Dinasti Tang muncul pelukis teragung iaitu Wu Tao Yuan yang juga merupakan seorang sami Buddha. Dengan beberapa garis, dia telah dapat meletakkan satu lukisan yang bermutu tinggi di kanvas lukisannya. Seni lukis mencapai kemajuan sebenar pada zaman Sung. Dua orang pelukis terkenal zaman ini ialah Kuo His dan Mi Fei. Pada zaman Dinasti Han, banyak lukisan potret dihasilkan. Tembok dihiasi dengan catan fresco menggambarkan tokoh terkemuka seperti ahli falsafah, raja-raja, negarawan. Kedatangan agama Buddha memberi motif baru dalam seni lukis. Corak lukisan lebih kepada gambar pemandangan seperti sungai, gunung ganang. Batu-batu dan salji.

Muzik

Alat muzik tradisional China ialah seruling buluh kerana buluh banyak di negara China.Kedatangan orang Mongol membawa satu lagi alat muzik iaitu ‘hu-Chin’ atau kecapi Mongol yang dmainkan secara menggesek (seperti menggesek biola).Dinasti Yuan telah memberi satu sumbangan kepada perkembangan muzik China iaitu sumbangan irama lagu yang baru dengan gabungan lagu dan kecapi.

Nyanyian China seolah-olah mendapat ilham dari bangsawan Eropah apabila pada tahun 720 seorang daripada maharaja Dinasti Tang telah mengasaskan Kolej Pear Garden di perkarangan istananya. Beratus-ratus pelajar muda diberi latihan. Kolej ini meletakkan asas dalam latihan wayang bangsawan orang China. Lagu memainkan peranan penting dalam keseluruhan bangsawan. Diolog diucapkan berasingan dari persembahan.

Drama

Pembentukan dan kebangkitan drama China berlaku pada zaman Dinasti Yuan.Banyak drama dihasilkan dan ada di antaranya masih dipentaskan pada zaman China moden. Kemungkinan drama pada zaman Dinasti Yuan (Mongol) ini berkembang kerana mengisi masa lapang yang banyak memandangkan Mongol tidak memberi peluang kepada orang China mengisi jawatan kerajaan.

Telah menjadi kebiasaan bahawa drama China disertakan dengan muzik. Terdapat juga drama komidi yang berunsur sindiran atau teguran terhadap maharaja. Watak dalam drama China melaungkan riwayat hidupnya, pemikirannya dan pekerjaannya pada babak pertama. Dari segi dasar, cara ini sama seperti korus orang Greek.

Teater

Bidang ini hanyak berkembang di kalangan kaum bangsawan kerana mereka merupakan golongan intelek.

Kaligrafi

Sistem tulisan Shang adalah sistem tulisan Cina yang terawal di negara China. Mereka juga menggunakan tulisan bergambar yang melambangkan sesuatu objek. Orang China juga menggunakan tulisan simbol untuk menggambarkan idea abstrak atau kompleks. Terdapat 3000 simbol pada zaman Dinasti Shang. Tulisan berbentuki simbol dikenali sebagai ‘ideogram’atau ‘ideografik’. Tulisan ideografik ini menjadi asas kepada tulisan Cina sekarang.. Pada zaman Dinasti Shang jurutulis menggunakan berus atau kayu runcing untuk menulis. Tulisan diguris di atas kepingan buluh, kulit siput, tulang,kulit kura-kura, batu jed, gangsa, kayu, tembikar dan sutera. Kepingan-kepingan buluh yang telah ditulis itu diikat untuk menjadi sebuah buku. Tulisan penting kerana ia boleh menjadi alat untuk memelihara perpaduan negara.

 Tamadun India

Kesusasteraan

Perkembangan kesusasteraan tamadun India kebanyakannya diwarisi daripada Empayar Gupta. Raja-raja Gupta menjai penaung dan berminat dalam seni. Mereka menjemput ke istana mereka kumpulan penyair. Kaum bangsawan dan kalangan istana begitu berminat terhadap kesusasteraan.Nama sasterawan yang paling agung dan terkenal ialah Kalidasa dengan karyanya yang berjodol Sakuntala. Dia mempunyai daya pemikiran menggambarkan setiap emosi manusia yang tersembunyi. Dengan daya imaginasi dan penguasaan bahasa, minat terhadap kesusasteraan.Nama sasterawan yang paling agung dan terkenal ialah Kalidasa dengan karyanya yang berjodol Sakuntala. Dia mempunyai daya pemikiran menggambarkan setiap emosi manusia yang tersembunyi. Dengan daya imaginasi dan penguasaan bahasa Sanskrit telah meletakkan dirinya bersama penyair India yang lain dan dia melebihi penyair lain di mana-mana sahaja. Sakuntala mengandungi puisi klasik dan drama tentang sosial masyarakat Hindu.

Orang Aryan dan bahasa Sanskrit turut memainkan peranan penting dalam perkembangan kesusasteraan India. Orang Arya telah menghasilkan Rig-Veda yang merupakan kumpulan sajak agama dan tradisi lisan. Karya ini telah ditulis pada tahun 1000 SM.

India juga terkenal dengan dua buah epik iaitu Mahabharata dan Ramayana. Kedua-dua epik ini menceritakan kehidupan dalam tamadun awal India.Mahabharata mengandungi syair yang menceritakan tentang permusuhan Pandawa dan Kaurava. Ia ditulis oleh Vyasa. Ramayana pula menceritakan tentang pengembaraan Rama mencari isterinya Sita yang telah ditawan oleh Ravana. Ia ditulis oleh Valmiki.

Di Selatan India, orang Dravidia menghasilkan corak kesusasteraan yang berbeza dengan orang Aryan di utara India. Mereka menghasilkan sastera berbentuk epik, prosa lirik dan sajak yang berunsur falsafah. Tulisan mereka menulis menggunakan bahasa Tamil. Karya-karya mereka yang terkenal ialah Ettuttokai, Pattuppattu, Tolkappiyam dan Tirukkural.

Bangunan-bangunan yang dibina di bandar Mohenjo Daro begitu kukuh menggunakan batu bata yang mempunyai saiz yang sama. Bentuknya hampir seragam dan boleh dikatakan setiap rumah mempunyai bilik mandi. Tempat mandi awam juga dibina. Di bandar ini juga terdapat tali air. Bangunan-bangunan yang didirikan itu menjadikan bandar Mohenjo Daro sebagai bandar terancang.

Asoka juga terkenal dengan pembinaan kuil-kuil Buddha. Beliau juga membina tiang-tiang batu yang di atasnya dicatat perintah-perintahnya dengan menggunakan bahasa Prakrit. Antara tiang batu yang termasyhur ialah tiang yang mempunyai ukiran 4 ekor singa yang menyokong Roda Undang-undang agama Buddha. Ia dijumpai di Sarnath. Patung yang terkenal yang dihasilkan pada zaman tamadun awal ini ialah patung Dewa Siva. Zaman tamadun awal India ini juga menghasilkan barang-barang kemas yang halus buatannya, tembikar dan barang keperluan rumah yang bermutu tinggi, membuktikan pencapaian tinggi dalam bidang kesenian dan kraftangan. Bukti-bukti menunjukkan bahawa tukang-tukang kraftangan telah menggunakan bahan yang dibawa dari kawasan yang jauh. Misalnya, bitumen dari Baluchistan, perak dari Afghanistan dan plumbum dari Rajasthan.

Pada zaman Dinasti Maurya iaitu semasa pemerintahan Asoka, tukang-tukang ukir yang mahir telah mengukir patung-patung dan membuat ukiran pada pintu-pintu gerbang gua. Di dalam gua-gua juga terdapat ukiran yang menggambarkan kehidupan Gautama Buddha. Asoka juga telah membuat ukiran yang berupa perintah-perintahnya pada tiang-tiang batu.

Seni Lukis

Lukisan didinding telah dijumpai di Ajanta yang dikatakan tiada tolok bandingnya pada zaman silam. Pendekata, seni Hindu adalah paling tinggi mutunya pada kurun ke-5 M.

Seni Bina

Tamadun Indus telah membina rumah-rumah yang menyerupai rumah-rumah moden yang lengkap dengan bilik makan, bilik mandi dan halaman.

Pada zaman Dinasti Maurya di bawah pemerintahan Asoka seni bina telah mencapai zaman kegemilangan. Seni bina zaman Asoka ini dipengaruhi oleh agama Buddha kerana Asoka sangat kuat berusaha mengembangkan agama Buddha. Pintu-pintu gerbang gua banyak dibina. Kuil-kuil dibina di dalam gua. Pada zaman ini juga dibina beribu-ribu stupa yang dibuat dari batu dan berbentuk kubah. Ia dibina ditempat suci. Ia bukanlah kuil Buddha tetapi merupakan tempat menyimpan bahan-bahan peninggalan Buddha

Seni Ukir

Masyarakat Indus telah menggunakan tanah liat dalam membentuk patung-patung dan ala-alat perhiasan.

Kaligrafi

Tulisan tamadun Indus adalah berbentuk piktograf. Ia dikesan pada cap-cap yang ditemui. Kewujudan tulisan itu membuktikan bahawa masyarakat Indus telah maju dalam bidang intelektual.

Tamadun Barat

Eropah pada zaman pertengahan awal atau dikenali juga sebagai zaman gelap (500-1000M) merupakan satu era yang tidak menampakkan perkembangan tamadun kerana masa itu Eropah mengalami zaman kucar kacir dan pencerobohan (diserang oleh orang gasar dari Asia Tengah), hidup tanpa pelajaran, sistem kerajaan yang tidak teratur, kebuntuan ekonomi dan tiada sistem perbandaran. Kesusasteraan Latin tidak mengalami apa-apa perkembangan. Tiada pembacaan atau penghasilan karya-karya baru. Pada zaman Pertengahan Lanjutan (1000-1500M) masyarakat Eropah mula bangkit dari zaman kegelapan. Mereka mula menyedari kepincangan mereka dari pelbagai aspek. Pada zaman ini mula berlaku pembaharuan dalam bidang kesenian. Wujud satu seni baru iaitu ‘Gothic’ dan ‘Romanesque’. Gereja dan istana dibina berdasarkan bentuk ini. Corak Gothic ini banyak terdapat di England, Jerman dan Itali dan sedikit di Rom.

Perkembangan kesenian di Eropah menampakkan kemajuannya pada zaman Renaisans/Rennaisanse (Rennaisanse merupakan zaman yang berlaku antara zaman pertengahan dengan zaman moden.Renaisans adalah suatu gerakan intelektual yang berkembang di selatan Eropah iaitu di Itali dari abad ke-14 hingga abad ke-16. Ia juga dianggap sebagai ‘kelahiran semula’ yang bermaksud bahawa masyarakat Eropah ingin kembali ke zaman kegemilangan Greek dan Rom. Renaisans kemudian berkembang ke utara Eropah iaitu ke negeri-negeri England, Belanda, Jerman dan Perancis ). Pada zaman inilah timbul minat dan kecenderungan baru untuk memulihkan semula bidang kesenian dan ilmu pengetahuan tamadun purba Yunani dan Rom. Pada zaman ini orang Eropah mula menghasilkan kesenian dan kesusasteraan baru.

Seni bina , seni ukir dan seni lukis

Pada kurun ke-13 Perancis telah menampakkan perkembangan dalam bidang seni bina apabila bangunan-bangunan yang besar-besar yang dibina pada kurun ke-11 telah digantikan dengan pembinaan dewan yang indah dan hebat. Begitu juga dengan penghasilan lukisan kaca dan ukiran serambi yang rumit. Gereja yang besar-besar juga dibina seperti di Chartres, Bourges, Rheims dan Amiens.

Penghasilan karya oleh golongan humanis pada zaman Renaisans telah berjaya memulihkan semula kesenian Yunani dan Rom. Seni bina pada zaman pertengahan lebih mementingkan ciri-ciri agama dan kerohanian. Pelukis-pelukis pada awal kurun ke-15 mula melukis dan mengukir mengikut pemikiran mereka secara bebas. Hasil-hasil lukisan mereka adalah berbentuk benda-benda hidup. Tumpuan mereka adalah kepada bentuk badan manusia. Pada zaman Renaisans, bandar Florence menjadi pusat seni bina yang pertama. Pakar seni bina yang pertama di Florence ialah Fillipo Brunelleschi. Beliau berjaya membina bangunan yang mempunyai ciri-ciri zaman Renaisans yang pertama di Rom. Brunelleschi dianggap sebagai pengasas pembinaan bangunan zaman Renaisans. Bangunan tersebut dikenali sebagai ‘Innocent Hospital’. Pengukir-pengukir Florence yang mengikut jejak langkah beliau ialah Lorenzo Ghiberti dan Donatello. Pada kurun ke-16 Rom telah muncul sebagai pusat kesenian dan pembinaan.

Dalam bidang seni lukis, muncul pelukis-pelukis terkenal seperti Leonardo da Vinci (1452-1519) dengan lukisannya yang sangat terkenal iaitu Mona Lisa. Beliau juga menghasilkan lukisan lain yang juga terkenal seperti The Madona And The Child, St. John dan Madona and The St. Anne. Di samping melukis potret, beliau juga banyak menghasilkan lukisan pemandangan atau keindahan alam. Beliau telah memperkenalkan tulisan cermin yang masyhur yang mengandungi huruf-huruf songsang. Selain itu terdapat Raphael (1483-1520) dan

Michaelangelo (1475-1564). Michaelangelo lebih menumpukan kepada pengkajian keindahan tubuh badan manusia. Ukiran-ukiran beliau bersaiz besar. Antara penghasilan beliau yang terkenal ialah ukiran patung David. Beliau juga telah mengukir patung Nabi Musa, Night, Dawn dan Day . Patung-patung ini menjadi tugu peringatan Medici. Beliau juga telah menghiasi Gereja Sistine dengan lukisan dinding seperti pemandangan yang terdapat dalam kitab Injil. Beliau telah menyiapkan lukisan pada gereja besar St. Peter di Rom ketika berumur 71 tahun. Para pelukis dan pengukir ini telah menyebabkan munculnya era baru dalam bidang lukisan dan seni bina dalam sejarah Eropah.

Kesusasteraan

Zaman Renaisans telah memunculkan ramai penulis yang menghasilkan tulisan yang bermutu. Petrach telah menghasilkan banyak jenis karya. Karyanya yang paling masyhur ialah Swan Book yang merupakan syair percintaan. Beliau banyak menghasilkan karya dalam bahasa Latin dan Itali. Beliau juga mengkaji karya dan tulisan-tulisan Yunani dan Rom dan menterjemahkannya. Beliau telah berjaya mengembalikan kegemilangan karya-karya Yunani dan Rom. Boccaccio pula menghasilkan Decameron yang merupakan karya yang pertama ditulis dalam bahasa Itali yang kemudian telah diterjemahkan ke bahasa lain. Penyair Itali yang paling terkenal ialah Dante Aligheri dengan karya yang berjodol The Divine Comedy. Melalui karya ini beliau mempersendakan syurga dan neraka. Nicollo Michiavelli menghasilkan The Prince . Ia merupakan karya mengenai perhubungan pemimpin dan rakyat. Seorang tokoh humanis dari Belanda bernama Desiderius Erasmus melalui karyanya berjodol Praise of Folly telah mengkritik pihak gereja yang mengamalkan rasuah.

England juga telah menghasilkan beberapa orang pengarang dan penyajak terkenal seperti Geoffery Chaucer, Thomas More dan William Shakespeare. Chaucer telah menghasilkan Canterbury Tales yang cuba menyingkap perangai dan tabiat masyarakat England. Thomas More dalam karyanya yang berjodol Utopia telah mengkritik kuasa mutlak raja. Shakesspeare pula bukan sahaja berbakat dalam penulisan drama bahkan juga merupakan seorang penyair. Banyak karyanya diterjemahkan ke bahasa lain.

Perancis tidak ketinggalan dalam penghasilan sastera yang ditulis dengan menggunakan bahasa sendiri. Lagu separuh epik menyentuh tentang jasa Raja Arthur, Charlemange dan hero-hero lain zaman silam. Penciptaan puisi lirik yang indah yang bertemakan cinta keperwiraan, kemuliaan hubungan manusia sesama manusia, kemudian dilagukan dari istana ke istana. Karya seperti ini kemudian merebak ke Sepanyol dan Jerman.

Di Jerman, puisi lirik mereka lebih kepada pemujaan kepada hero mereka seperti Tristan, Parsival, dan watak dari sastera rakyat Jerman iaitu Siegfried. Terdapat juga sajak lucah dan berunsur satire yang cuba menyindir pegawai gereja dan gereja. Terdapat juga puisi lirik berunsur cinta.

Muzik dan drama

Bidang muzik turut mengalami perkembangan pada zaman Renaisans. Istana Burgundy memainkan peranan penting dalam sejarah muzik. Pada akhir kurun ke-15, pencipta-pencipta muzik Flemish memainkan peranan yang penting. Penggubah-penggubah muzik zaman Renaisans telah menggabungkan semua irama muzik. Ini menyebabkan bidang muzik menjadi bertambah rumit. Pemain-pemain muzik mula menggunakan biola dan piano.

Pementasan drama menjadi penting semasa zaman Renaisans. Pihak-pihak yang berkuasa dan mempunyai sumber kewangan telah mementaskan drama. Temanya mengenai kisah kehidupan seharian. Kemajuan dalam bidang drama telah mendorong kewujudan panggung wayang. Panggung pertama yang dibina di England ialah panggung Globe.

 

Tamadun Arab

Kesusasteraan

Masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam amat menyanjung penyair-penyair berbakat. Penyair dipandang tinggi dan terhormat. Biasanya apabila pada sesatu kabilah itu muncul seorang penyair, maka datanglah utusan dari kabilah-kabilah lain mengucapkan selamat kepada kabilah itu. Diadakan pestadan jamuan besar-besaran dengan menyembelih binatang-binatang ternak dengan diiringi oleh tarian dan nyanyian wanita-wanita kabilahnya.. Antara penyair yang terkenal pada masa itu ialah Hassan bin Thabit, Hatim al-Tai, Al-A’sya, Muhalhil bin rabiah, Zuheir bin Abi Salma, Tarfah bin Al-Abd, Al-Qatami, Al-Hutaiah dan lain-lain lagi. Kedudukan yang terhormat tersebut terjadi kerana mereka jugalah menjadi juru cakap kabilahnya. Peranan penyair itu ialah meninggikan kabilahnya sambil merendahkan kabilah lain. Mereka juga merupakan jurnalis dan sejarawan. Tema syair Arab zaman jahiliah ini berkisar kepada kisah-kisah kaum mereka atau keadaan sekitar. Bahasa yang digunakan dalam syair-syair tersebut ialah bahasa Arab Quraisy.

Bagi meningkatkan mutu syair, diadakan pertandingan menggubah syair pada musim haji terutama di pasar Ukkaz. Mereka mengambil kesempatan pada musim haji kerana pada masa itulah Mekah menjadi tumpuan orang mengerjakan haji. Syair-syair yang menang digantung di Kaabah dan ditulis dengan warna emas untuk tatapan masyarakat.

Seni bina, seni ukir.

Di Yaman terdapat peninggalan yang menampakkan bahawa kerajaan selatan Semenanjung Tanah Arab itu mempunyai kemahiran seni bina. Sehingga ke hari ini masih kelihatan peninggalan empangan Maarib yang dibina di antara dua buah gunung untuk menampung air bagi kegunaan pertanian dan mengelakkan banjir. Ia mula dibina pada tahun 750 SM. Empangan ini dibuat dari batu yang sungguh kukuh. Ternyata ia dibina dan dibuat perancangan oleh arkitek yang mahir. Selain dari empangan tersebut, terdapat juga binaan kuil-kuil agama untuk ‘tuhan bulan’. Tiang-tiangnya yang tegak kukuh masih berdiri hingga ke hari ini. Kerajaan Saba’ di Yaman ini juga telah mendirikan benteng-benteng pertahanan yang kukuh, istana-istana yang besar lagi indah (seperti istana Ghumdan, istana Salihin dan istana Bainun), bangunan-bangunan yang indah dan tinggi yang tiada taranya pada zaman dahulu serta membuat barang-barang ukiran yang cantik.

Di utara Semenanjung Tanah Arab iaitu di bandar Batra’di Anbat, banyak rumah berhala yang dahulunya diletakkan patung tuhan-tuhan yang disembah oleh penduduk Anbat dibina dan tiang-tiangnya masih kelihatan hingga ke hari ini. Bandar Tadmur yang juga terletak di utara Arab pula merupakan bandar yang dikatakan dibina atas perancangan yang rapi oleh sekumpulan arkitek. Batu-batu granet yang besar telah dibawa dari ulu Sungai Nil di Mesir. Di jalan raya bandar itu tegak lebih kurang 750 buah tiang dari batu putih yang kemerah-merahan. Tinggi tiap-tiap satunya ialah 55 kaki. Di permulaan jalan bandar itu dibina pintu gerbang yang dibina di sebelah suatu rangka patung tuhan mereka yang terbesar iaitu patung ‘Syams’. Patung Syams ini dan beberapa tiang lagi masih ada hingga ke hari ini.

Tamadun Melayu

Seni bina, seni lukis, seni ukir

Seni bina di alam Melayu menampakkan pengaruh Hindu dan Buddha yang begitu kuat. Antara yang terkenal ialah Candi Borobudur di Jawa Tengah. Candi ini dibina berasaskan ajaran Buddha oleh raja-raja Sailendra antara tahun 778 – 850M. Candi ini dibina daripada batu gunung berapi berwarna kelabu dan memagari sebuah bukit kecil. Bentuknya seperti piramid bertangga dan terdiri daripada 8 tingkat. Kemuncaknya tediri daripada menara batu yang besar (stupa). Setiap tingkat mempunyai menara batu kecil. Dinding Borobudur dihiasi dengan pelbagai lukisan timbul tentang ajaran Buddha.

Selain dari Candi Borobodur, terdapat banyak lagi candi di Jawa Tengah seperti Candi Gunung Wukir, Candi Badut, kelompok Candi Dieng, kelompok Candi Gedung Songo, Candi Kalasan, Candi Sari, Candi Mendut, kelompok Candi Sewu, Candi Plaoson dan Candi Laro Jonggrang. Di Jawa Timur terdapat Candi Kidal, Candi Jago, Candi Singasari, Candi Jawi, Candi Jabung, kelompok Candi Panataran, Candi Muara Takus dan Candi-candi Gunung Tua.

Satu lagi seni bina terkenal di Alam Melayu ini ialah Angkor Watt di Kemboja. Ia dibina oleh raja Angkor iaitu Suryavarman II (1113 – 1150 M). tujuan ia dibina ialah untuk menyembah dewa Visynu serta melambangkan kekuatan keajaan Suryavarman II. Ia juga merupakan makam Suryavarman II. Kawasan Angkor Wat berbentuk segi empat tepat dengan 15550 meter panjang dan 1400 meter lebar. Terdapat beberapa menara yang melambangkan puncak Gunung Meru (gunung dewa-dewa). Angkor wat mempunyai lukisan timbul yang menceritakan dua epik Hindu iaitu Mahabharata dan Ramayana.

Di Lembah Bujang, Kedah terdapat banyak binaan candi untuk memuja Gautama Buddha serta dewa-dewi Hindu. Struktur binaannya seperti kuil-kuil di India Selatan. Reka bentuk candi-candi itu mempunyai tradisi seni bina tempatan. Antara candi-candi yang termasyhur ialah Candi Bukit Batu Pahat dan Candi Pendiat. Candi Pendiat berbentuk 4 segi bujur, mempunyai dewan dan tempat penyembahan.

Selain dari itu, terdapat juga bangunan-bangunan gapura di Jawa yang berbeza sifatnya tetapi terkenal dengan sebutan candi juga. Di antara gapura-gapura tersebut ialah Candi Jedong,CandiPlumbangan dan Candi Bujang Ratu.

Seni pahat dan seni ukir dapat dilihat melalui perhiasan rumah, barang-barang perak dan tembaga ( arca, lampu, talam) , barang-barang perhiasan wanita ,kepala perahu dan patung-patung. Patung-patung dibuat sebagai lambang ketuhanan Hindu. Patung-patung seperti ini banyak terdapat di Funan dan di Jawa. Ukiran-ukiran juga dipat dilihat pada dinding-dinding candi dalam bentuk makhluk-makhluk ajaib, daun dan bunga. Seni lukis pula dapat dilihat di dinding-dinding gua, wau dan batik.

Wayang, Muzik, nyanyian.

Bidang ini juga banyak dipengaruhi oleh unsur Hindu terutamanya di Jawa. Permainan wayang telah wujud pada zaman pra-sejarah lagi. Permainan wayang merupakan kegiatan ritual, namun ia diselitkan dengan unsur-unsur drama, nyanyian dan sebagainya. Pada asalnya permainan wayang ini disampaikan dalam bahasa Jawa Kuno tetapi kemudiannya bercampur dengan bahasa Sanskrit (bahasa Kawi). Isi cerita juga mengalami perubahan. Asalnya berkisar pada cerita mitos nenek moyang, kemudian mencedok cerita-cerita yang bersumberkan epik Mahabharata dan Ramayana yang dianggarkan bermula pada zaman pemerintahan Rakai Pekatan (782-856) dari kerajaan Mataram di Jawa Tengah. Pada abad ke-11 M wayang tersebut telah menjadi drama yang menggetarkan kalbu apabila ia diselitkan dengan permainan gamelan dan nyanyian.

Kesusasteraan

Di kalangan masyarakat Melayu tradisional, kesusasteraan rakyat (kesusasteraan lisan) tersebar dengan meluas. Kesusasteraan lisan terawal ialah cerita asal usul (nama tempat, tumbuh-tumbuhan dan binatang), cerita binatang (berwatakkan binatang seperti Sang Kancil), cerita-cerita jenaka ( Pak Pandir, Pak Kadok, Lebai Malang, Si Luncai dan Pak Belalang), cerita penglipurlara ( Hikayat Malim Deman, Hikayat Anggun Cik Tunggal), dan cerita-cerita moral ( Bawang Putih Bawang Merah, Batu Belah Batu Bertangkup, Si Tenggang).

Selain dari bentuk prosa, masyarakat Melayu juga mempunyai kesusasteraan lisan yang berbentuk puisi seperti pantun, teka-teki, gurindam dan seloka. Kesusasteraan Melayu mempunyai tujuan untuk berhibur di samping diselitkan unsur-unsur sindiran, nasihat dan cetusan rasa sedih atau gembira.

Kesusasteraan di alam Melayu ini juga tidak dapat lari dari pengaruh asing terutama Hindu. Dua buah epik Hindu iaitu Mahabharata dan Ramayana telah disadur dari bahasa Sanskrit dan dijadikan hikayat Melayu. Hikayat-hikayat Melayu itu diberi nama Hikayat Seri Rama, Hikayat Pendawa Jaya dan Hikayat Sang Boma. Pengaruh kedua-dua epik Hindu itu juga kelihatan dalam kesusasteraan Jawa kuno seperti Nagarakertagama , Kanjarakarma, Sutasoma dan Arjunawiwaha. Beberapa buah cerita jenaka Melayu yang juga dipengaruhi oleh kitab-kitab Hindu ialah Jataka, Pancatantra dan Sukasapati.

Kaligrafi

Huruf yang digunakan oleh orang-orang Melayu pada zaman purba ialah huruf yang tertua iaitu menyerupai seperti bentuk huruf-huruf Rencong atau Rencang, Kawi dan Lampung. Kajian menunjukkan bahawa huruf-huruf tersebut ada kaitan dengan huruf-huruf orang-orang Kemboja pada zaman purba. Huruf Kawi iaitu huruf Jawa kuno telah wujud dalam kurun ke-8 M. Huruf ini asalnya adalah dari huruf Vangki (Wenggi) iaitu huruf orang-orang Pallava yang berasal dari Coromandel, India. Huruf ini lenyap pada tahun 1400 M.

Huruf Rencong iaitu huruf Melayu tua banyak digunakan di Sumatera Selatan (Bangkahulu dan hulu Palembang) dan Minangkabau. Huruf ini kekal hingga kurun ke-18 iaitu sebelum Belanda menjajah Indonesia.

Dengan menggunakan huruf-huruf Kawi dan Rencong, orang-orang Melayu kuno menulisnya di atas kulit-kulit kayu, daun-daun lontar, kepingan-kepingan logam dan pada batu-batu (batu bersurat). Pada tahun 1892 telah dijumpai tulisan kuno itu pada sebatang tiang batu di Kota Kapur ( Bangka Barat) .

Apabila pengaruh Hindu bertapak di alam Melayu, tulisan Hindu iaitu tulisan Palava disebarkan melalui bahasa Sanskrit. Penyebaran tulisan dan bahasa Hindu ini sebenarnya terhad di kalangan golongan istana sahaja. Bahasa Sanskrit menjadi bahasa pentadbiran dan ilmu pengetahuan.


Nurlie 98’