Tema 7 : Penjelajahan dan Penerokaan


Kawasan Kajian: Mesopotamia, Mesir. Arab, Graeco-Roman, India, China Melayu, Barat.

7.1: Konsep

  1. Jelaskan pengertian penjelajahan dan penerokaan berasaskan kepada aktiviti-aktiviti yang berlaku dalam tamadun awal berkait dengan penjelajahan dan penerokaan tersebut
  2. Jelaskan maksud tujuan-tujuan penjelajahan dan penerokaan yang berlaku pada zaman tamadun awal seperti tujuan peningkatan ilmu, penyebaran agama dan kegiatan perdagangan.
  3. Berikan latar belakang tokoh-tokoh yang menjelajah dan meneroka iaiatu I Ching, Marco Polo, Christopher Columbus, Ferdinand Magellan, Vasco da Gama, Cheng Ho dan jelaskan tujuan penjelajahan dan penerokaan mereka.
  1. Tunjukkan tarikh berlakunya penjelajahan dan penerokaan tersebut.
  2. Sifat ingin tahu adalah salah satu daya penggerak yang terbesar dalam kehidupan manusia. Dalam tempoh lebih kurang 100,000 tahun yang lalu, manusia telah berulang kali menanyakan soalan ‘bagaimana’ dan ‘mengapa’? Pada sepanjang zaman, sifat ingin tahu tentang dunia sekeliling telah mendorong manusia untuk menjelajah. Bentuk penjelajahan telah berubah mengikut masa. Manusia awal keluar mencari kawasan perburuan yang lebih baik dan tempat tinggal yang selamat. Petani awal mencari lembah subur tempat terdapatnya bekalan air yang boleh diharap. Persaingan untuk mendapatkan makanan memaksa nenek moyang kita mengembara ke pelbagai arah bagi meneruskan penghidupan baru. Pedagang mengembara ke tempat baru untuk mencari pelanggan baru bagi barang-barang mereka dan untuk mencari bahan dagangan baru untuk dijual di tempat sendiri. Empayar yang luas dan berkuasa pada zaman tamadun awal seperti yang dilakukan oleh orang Mino, orang Mesir, orang Phoenik, orang greek dan orang Rom dibina menerusi perdagangan dan penaklukan.Apabila pembelajaran dan pengetahuan mula disanjung dalam tamadun purba Mesopotamia, China, Mesir dan Yunani, suatu penjelajahan baru pun wujud iaitu mencari pengetahuan semata-mata untuk pengetahuan.

    Pengembara akan mengembara untuk mencari jawapan kepada soalan-soalan yang menarik minat mereka. Apakah yang terdapat di sebalik gunung ganang itu? Dari manakah punca sungai ini? Di manakah sungai itu bertemu dengan laut? Hanya melalui pengembaraan sahajalah dapat menjawab soalan-soalan tersebut.Golonan penjelajah ini dikenali sebagai penjelajah amatur yang ingin melihat tempat baru. Mereka ini termasuklah Ibn Batuta,, Hsuan-tsang dan Richard Burton. Yang lain seperti Alexander Humboldt dan Charles Darwin mengetuai ekspedisi sains dengan tujuan mempelajari sebanyak mungkin tentang tempat baru yang diterokai.

    Agama memainkan peranan penting dalam penjelajahan dunia baru . Seawal abad ke-5 M, paderi dari Iceland telah mula mengembara untuk mengkristiankan orang Wales, Cornwall dan Perancis. Walau bagaimanapun, ekspedisi yang terkemudian banyak mengakibatkan keganasan dan kemusnahan walaupun ekspedisi itu kononnya atas nama agama.Dengan itu dapatlah dikatakan bahawa penjelajahan ialah pergi ke satu-satu tempat untuk tujuan-tujuan tertentu seperti ekonomi, peningkatan ilmu, penyebaran agama dan memenuhi kehendak ingin tahu tempat-tempat baru, dilakukan sama ada melalui jalan darat atau laut dengan merempuh berbagai kesukaran . Penerokaan pula merujuk kepada pembukaan sesatu kawasan baru dengan tujuan untuk mencari sumber ekonomi atau membuat petempatan baru seperti yang berlaku kepada orang-orang Yunani. Terdapat beberapa orang tokoh penjelajah dan peneroka yang masyhur seperti Christopher Columbus, Ferdinand Magellan, Vasco da Gama, Marco Polo, Cheng Ho dan I Ching.

     

    Christopher Columbus

    Christopher Columbus atau Cristobal Colon (1451-1506) adalah antara penjelajah yang terkenal tetapi penemuannya yang terbesar iaitu benua Amerika adalah secara tidak sengaja. Beliau dilahirkan pada tahun 1451 di Genoa, Itali dan mula turun ke laut sejak kecil lagi. Beliau menetap di Lisbon pada tahun1479 dan berkhidmat dengan kerajaan Portugis selama 10 tahun. Beliau telah berkahwin dengan anak perempuan seorang bangsawan Portugis. Dari Lisbon beliau melakukan banyak pengembaraan laut dan memperoleh kemahiran yang cemerlang sebagai ahli pelayaran.

    Cita-cita Columbus adalah untuk belayar ke Timur Jauh. Alasannya selalu diringkaskan dalamungkapan, "Emas, Tuhan dan Cathay". ‘Emas’ yang dimaksudkan ialah kekayaan yang diperoleh dengan membawa balik rempah ratus dan sutera dari China dan Jepun. ‘Tuhan’ merujuk kepada keinginan Columbus untuk menyebarkan agama Kristian di negara bukan Kristian dan menjajah tanah baru dengan nama Tuhan. Ini merupakan motif biasa di kalangan orang Eropah ketika itu. ‘Cathay’ adalah nama purba bagi China. Columbus begitu tertarik dengan Timur Jauh dan ingin mengetuai ekspedisi ke sana.

    Pada abad ke-15 kebanyakan orang berpendapat bahawa dunia ini rata. Bagi Columbus pula, dunia ini bulat. Beliau berhasrat untuk membuktikan pendapatnya dengan belayar ke arah barat merentasi Atlantik untuk pergi ke Timur seperti yang disarankan oleh peta Ptolemy dan bukan mengikut jalan biasa (dari Eropah ke selatan menyusuri pantai Afrika yang telah dilakukan oleh orang Portugis dalam mencari jalan ke Timur Jauh).

    Columbus mengambil masa bertahun-tahun bagi mengumpulkan wanguntuk membiayai ekspedisinya kerana ramai tidak yakin dengan kejayaan usahanya. Beliau gagal mendapat pertolongan Raja Portugis tetapi akhirnya pada tahun 1492 Permaisuri Isabella dan Raja Ferdinand dari Sepanyol memberikan wang yang diperlukannya.

    Columbus meninggalkan Sepanyol pada bulan Ogos 1492 bersama-sama tiga buah kapal. Pada 6 September mereka belayar dari Pulau Canary ke laut lepas. Pada masa itu jarang kapal belayar jauh dari daratan sehingga pantai tidak kelihatan. Selepas belayar beberapa hari tapi pantai masih tidak kelihatan, anak-anak kapalnya ingin berpatah balik tapi Columbus memujuk mereka supaya meneruskan pelayaran. Pada 12 Oktober mereka menemui tanah daratan ( Pulau Watling di Bahamas) berhampiran dengan pantai Amerika.Columbus menyangka beliau telah sampai ke Timur Jauh dan telah hampir dengan kekayaan India dan China Columbus menamakan penduduk di pulau itu sebagai ‘Indian’ dan pulau itu dinamakan ‘Indies’( setengah-setengah ahli sejarah menyatakan beliau menamakannya San Salvador). Penduduknya berminat untuk berdagang tapi Columbus tidak menemui bukti kekayaan Timur. Walau bagaimanapun Columbus tetap yakin bahawa sasarannya telah hampir. Melalui panduan penduduk tempatan, beliau mengetuai rombongan itu untuk terus mencari Cathay dan kekayaannya. Beliau melawat Cuba yang ketika itu diberi nama La Espanola ( sekarang Hispanola).Selepas itu iaitu pada bulan Disember beliau kembali ke Sepanyol untuk melaporkan pelayarannya. Belaiu disambut sebagai wira dan dilantik sebagai gabenor pulau-pulau baru yang beliau temukan. Namun beliau tidak sesuai dengan tanggungjawab ini. Hal ini jelas apabila dalam eksepedisi-eksepedisi terkemudian beliau telah melayan peneroka-peneroka bangsa Sepanyol dengan kejam dan juga memaksa puak Indian menyerahkan emas mereka dan menghantar ramai orang Indian sebagai hamba ke Sepanyol.

    Columbus melancarkan 3 pelayaran lagi pada tahun-tahun 1493-1496, 1498-1500 dan 1502-1504. Beliau melawati dan menamai sebilangan besar pulau di Caribbean serta juga pantai-pantai Amerika Selatan dan Tengah. Namun beliau gagal menemui timbunan emas yang diharap-harapkan dan beliau tidak pernah memahami sepenuhnya bahawa penemuannya itu bukanlah Timur Jauh. Dalam pelayaran ketiganya pada tahun 1498, beliau ditangkap, dirantai dan dihantar pulang ke Sepanyol. Dalam pelayaran keempatnya pada tahun 1502 Ratu Isabella menugaskannya mencari selat yang mungkin menghubungkan Laut Caribbean dengan Lautan Pasifik. Ekspedisi itu gagal kerana kapal-kapal beliau rosak akibat cacing marin dan Columbus terpaksa diselamatkan dari Jamaica. Beliau kembali ke sepanyol dengan kecewa.

    Ferdinand Magellan

    Ferdinand Magellan (1480-1521) merupakan penjelajah pertama yang mengelilingi dunia. Beliau merupakan seorang ahli aristokra Portugis dan ahli pelayaran berpengalaman yang pernah mengiringi Alfonso de Albuquerque ke Asia Tenggara pada tahun 1511. Beliau telah membuat beberapa pelayaran untuk mencari jalan perdagangan bagi kerajaan Portugis tetapi apabila berselisih faham dengan raja Portugis, beliau belayar bagi pihak Sepanyol pula. Kerajaan Sepanyol ingin mencari jalan perdagangan ke timur dan menuntut sebahagian Pulau Maluku (Pulau Rempah) mengikut Persetiaan Tordesillas (perjanjian antara Portugis dan Sepanyol pada tahun 1494 untuk mengelak pergaduhan antara kedua-duanya dalam usaha mencari tanah jajahan). Magellan percaya beliau boleh sampai ke Pulau Maluku dengan belayar ke arah barat, mengelilingi hujung bahagian selatan Amerika, tanpa mengikut jalan laut Portugis ke timur yang mengelilingi Afrika. Raja Sepanyol bersetuju untuk membiayai pelayarannya.

    Pada bulan September 1519 Magellan meninggalkan Sepanyol bersama-sama 260 orang dan 5 buah kapal.Kapal ini membawa banyak barang dagangan tetapi tidak membawa barang makanan yang mencukupi kerana Magellan tidak pandai menganggar jarak pelayaran. Kapal ini menyeberangi Lautan Atlantik dan berhenti seketika di Pulau Canary. Kemudian mereka belayar ke Brazil dan menyusur turun pantai timur Amerika Selatan.

    Magellan menghadapi banyak masalah seperti makanan yang tidak mencukupi, cuaca buruk, dan pemberontakan orang-orangnya. Beliau meneruskan lagi pelayarannya melalui satu selat yang sempat (kemudian dinamakan Selat Magellan) di selatan Amerika Selatan . Dari situlah mereka menemui jalan ke Pasifik. Mereka telah berjaya membuktikan bahawa ada jalan ke Timur melalui Amerika Selatan.

    Setelah mengambil bekalan makanan di Pulau Marshall, mereka meneruskan peyaran ke Filipina. Di situ Magellan terlibat dalam satu pergaduhan dengan ketua tempatan. Beliau dan 40 orangnya telah terbunuh. Anggota ekspedisi yang terselamat meneruskan pelayaran di bawah arahan Kaptan Juan Sebastian del Cano.Dengan anak kapal seramai 115 orang mereka telah sampai ke Pulau Maluku pada tahun 1521. Di situ mereka membeli rempah ratus yang memang menjadi matlamat utama mereka. Akhirnya hanya sebuah kapal sahaja dari 5 buah kapal yang melakukan pelayaran selamat sampai ke Sepanyol melalui Lautan Hindi dan mengelilingi tanjung di selatan Afrika pada tahun 1522 dengan membawa hanya 18 orang anak kapal setelah mengelilingi dunia selama 3 tahun..

    Marco Polo

    Marco Polo berasal dari Venice, Itali. Beliau menyertai bapanya, Noccolo Polo dan bapa saudaranya Maffeo Polo ke China pada tahun 1271 ketika berusia 17 tahun. Ekspedisi keluarga Polo ini berkait rapat dengan keadaan yang berlaku masa itu. Pada awal abad ke-13, puak Mongol bersatu di bawah pimpinan Genghis Khan (1167-1227). Mereka cuba menceroboh China dan utara Asia. Menjelang tahun 1241 Genghis Khan menubuhkan empayar yang merentang hingga ke sempadan Eropah ( dari China hingga ke Timur Tengah dan sampai ke Poland dan Hungry). Beberapa orang duta beberapa buah negara Eropah yang terdiri daripada paderi-paderi diutus ke Karakorum, ibu kota Monggolia ntuk berbincang dengan ketua Mongol dengan harapan puak Mongol dapat dipujuk untuk menyertai Eropah Kristian dalam peperangan menentang Empayar Islam di bawah kuasa Turki. Namun usaha mereka gagal untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Mongol. Jalan laluan mereka inilah digunakan oleh saudagar-saudagar seperti dua adik beradik dari Venice, Maffeo dan Niccolo Polo. Dalam perjalanan mereka, mereka telah bertemu dengan utusan dari Mongol yang menjemput mereka ke China. Mereka sampai ke Beijing ( masa itu dikenali sebagai Khanbalik) menjelang tahun 1265.Mereka dilayan dengan baik oleh Maharaja China masa itu iaitu Kublai Khan ( cucu Genghis Khan). Tahun 1269 mereka kembali ke Venice dengan membawa surat persahatan dari Kublai khan untuk Paus. . Mereka menjadi penghubung hubungan diplomatik antara Kublai Khan dengan Eropah.

     

    Pada tahun 1271 Marco Polo menyertai bapa dan bapa saudaranya ke China. Inilah salah satu pelayaran penjelajahan yang teragung pada sepanjang zaman yang memakan masa selama 24 tahun. Marco Polo membawa cerita tentang kekayaan, keindahan dan perkara-perkara ganjil pada penglihatannya sepanjang penjelajahannya itu tetapi tidak dipercayai orang. Marco Polo menemui banyak perkara di China yang belum diketahui oleh orang Eropah. Umpamanya, orang China telah mencipta serbuk letupan yang digunakan untuk membuat bunga api, membuat buku bercetak dengan menggunakan blok kayu berukir, mereka membuat wang kertas ( idea yang tidak masuk akal bagi orang Eropah). Marco Polo juga melaporkan tentang batu hitam misteri yang dikorek dan dibakar seperti kayu api ( batu arang). Marco Polo juga mencatatkan perkara pelik yang dilihatnya seperti mata air yang mengeluarkan minyak yang panas, kambing biri-biri besar yang mempunyai tanduk bergulung. Catatannya juga menyentuh tentang pertanian, pertukangan di tempat yang berlainan, penduduk, agama dan adat resam ( termasuklah tentang sutera, halia sebagai bahan rempah yang pedas, kunyit sebagai perasa makanan dan pencelup asli, tanah yang digunakan untuk membuat tembikar). Hanya beberapa abad kemudian barulah barangan ini sampai ke Barat.

    Kublai Khan tertarik dengan Marco Polo lalu mengambilnya menjadi wakil istana. Marco membuat misi diplomasi ke Tanah Melayu, Sumatera, Tibet dan Ceylon bagi pihak Kublai Khan. Beliau juga melawat India dan Burma dan membuat catatan tentang negara-negara tersebut. Ketika beliau berada di Sumatera Marco Polo telah membuat beberapa catatan. Beliau sampai di Pasai pada tahun 1292. Pasai pada masa itu diperintah oleh raja Pasai yang ke-12 iaitu Sultan Abdul Jalil al-Malikul Saleh (1276-1300). Selain singgah di Pasai, beliau juga melawat Perlak. Beliau mencatatkan bahawa ‘penduduk bandarnya mengamalkan ajaran Muhammad, sedangkan mereka yang hidup di kawasan bukit (hillside) masih hidup sebagai haiwan (liar, gemar makan daging manusia dan pelbagai jenis daging lain, halal atau haram)’. Kemudian beliau mengunjungi Basman yang penduduknya dianggap tidak mengenal undang-undang kecuali undang-undang rimba dan mereka mengaku berada di bawah pemerintahan Kublai Khan, tetapi tidak pernah menghantar ufti kepadanya oleh kerana mereka tinggal jauh dan tidak mungkin orang Mongol akan datang ke negeri mereka. Di bandar Samara pula, Marco Polo sempat tinggal selama enam bulan untuk menanti putaran angin. Di sana beliau menikmati sejenis minuman ‘tuak’ yang dibuat dari pokok anau. Kononnya selama di Samara itu dia dan rombongannya ditempatkan dalam sebuah kem dan dikawal ketat supaya mereka terselamat daripada gangguan penduduk yang gemar makan daging manusia. Selepas itu beliau melawat bandar Dagroin (Pedir sekarang) yang menurutnya pernah dilihatnya upacara ‘cannibalistic’ (makan daging sesama manusia) di bandar itu. Kemudiannya dia tiba di Lambri, sebuah bandar pelabuhan yang katanya mempunyai rakyat yang amat aneh iaitu mereka mempunyai ekor. Akhirnya beliau mengunjungi bandar Fansur, sebuah bandar yang terkenal dengan kapur barusnya yang bermutu tinggi.

    Sebagai seorang Kristian yang hidup pada Zaman Pertengahan dan lebih-lebih lagi pada zaman-zaman akhir Perang Salib (1097-1292), pandangannya yang begitu buruk terhadap penduduk Sumatera tersebut tidaklah menghairankan sangat. Rupa-rupanya dari catatan-catatan Marco Polo lah yang telah membuka mata bagi orang-orang Barat untuk menjelajah Nusantara.

    Keluarga Polo berkhidmat untuk Kublai Khan selama 17 tahun. Pada tahun 1292 mereka kembali ke Venice melalui Parsi dengan menaiki jong China. Dari Hormus mereka mengikut jalan darat ke Trebizond dan kemudian belayar ke Venice melalui Konstantinople. Perjalanan pulang ini memakan masaselama 3 tahun dan semasa sampai di Venice mereka telah mengembara selama 24 tahun. Marco telah berumur 39 tahun ketika itu.Bila berlaku peperangan antara Venice dan Genoa, Marco Polo ditawan semasa mempertahankan bandarnya. Semasa dipenjara, Marco Polo menceritakan pengalamannya kepada Rustichello yang kemudian menerbitkan buku bertajuk ‘The Travels or Marco Polo’.Buku ini banyak mempengaruhi penjelajah kemudian seperti Christopher Columbus.

    Pada tahun 1368 orang China memberontak melawan pemerintah Mongol dan melantik maharaja sendiri dan menghalang kemasukan pelawat Eropah. Jauh di bahagian Barat orang Mongol telah memeluk Islam dan tidak menyambut baik kedatangan orang Kristian. Dengan itu jalan darat ke Timur terhalang semula.

    Meskipun wujud laporan Marco Polo, namun tindakan tidak diambil sehinggalah abad ke-15 apabila orang Portugis mula gigih berusaha untuk mencari punca kekayaan di Timur yang menjadi legenda terutamanya rempah.

    Vasco da Gama

    Vasco da Gama ( 1460-1524) adalah seorang kapten tentera laut Portugis . Beliau ditugaskan oleh raja Portugis untuk menyiasat sama ada wujud laluan ke India dengan mengelilingi hujung selatan Afrika yang ditemuiBartholomeu Dias pada tahun 1487. Sebenarnya berikutan sampainya Pedro da Covinha di India pada tahun 1487dengan menyeberangi Laut Mediterranean dan melayari Laut Merah orang Portugis menanam tekad untuk mencari jalan ke timur (selepas membaca laporan da Cavinha yang menceritakan bagaimana beberapa buah negara kecil yang ditemuinya telah menjadi kaya hasil perdagangan mereka negara-negara tersebut dengan dunia Arab).

    Vasco da Gama bertolak dari Lisbon dengan 4 buah kapal dan 170 orang anak kapal. Beliau belayar ke Malindi di pantai timur Afrika . Melalui pertolongan beberapa orang Arab sebagai pemandu, mereka sampai ke pelabuhan Kalikat di pantai barat daya India pada bulan Mei 1498. Malangnya pedagang Islam tidak tertarik dengan barang dagangan da Gama dan tidak suka orang Eropah Kristian campur tangan dalam perdagangan mereka. Vasco da Gama hanya dapat membeli sedikit rempah dan barangan lain untuk dijadikan sebagai bukti yang beliau telah menemui jalan ke timur. Selepas 3 bulan berada di India, beliau kembali ke Portugal dengan 55 orang anak kapal dan disambut sebagai wira. Perjalanan pulangnya ke Portugas mengambil masa 3 bulan lebih lama dari pelayaran semasa pergi. Vasco da Gama melancarkan satu lagi ekspedisi perdagangan ke India pada tahun 1502 . Pada tahun 1524 beliau kembali ke India sebagai wizurai untuk memerintah koloni Portugal yang baru tetapi malangnya beliau meninggal dunia sejurus sampai ke situ.

     

    ChengHo

    Cheng Ho atau Zheng Ho (1371-1435) merupakan seorang penjelajah China yang sangat masyhur. Kemasyhurannya sering dikaitkan dengan armadanya yang dianggap terbesar yang pernah dilancarkan atas nama penjelajahan. Beliau mengetuai 27,000 orang anak kapal dan 317 buah kapal (sebenarnya dipanggil jong )dan ekspedisi beliau mengandungi sehingga 63 buah kapal yang belayar

    bersama-sama. Ketujuh-tujuh pelayaran beliau mengambil masa kira-kira 2 tahun setiap satu. Penjelajahannya dilakukan antara tahun 1405 hingga tahun 1433. Armada ini belayar ke sebahagian besar Asia Tenggara seperti Jawa, Sumatera, Siam, Tanah Melayu, dan Borneo. Eksepedisi lain telah ke India, Kepulauan Maldives, Teluk Pars, negara Arabi dan pantai timur Afrika (1415). Ada kemungkinan mereka juga telah mengelilingi Tanjung Harapan pada kira-kira 70 tahun sebelum orang Eropah melakukannya. Ini dikaitkan dengan adanya satu peta China pada tahun 1420 dengan jelas menunjukkan sebahagian pantai barat Afrika. Tujuan mereka ialah untuk berdagang, mengutip cukai daripada koloni China dan mengumpul maklumat.Beberapa buah kapal telah dihantar untuk meninjau eksepedisi di Lautan Pasifik dan ada kemungkinan mereka sampai di pantai utara Australia.

    Selepas kemangkatan Maharaja Cheng Tsu, kemasyhuran Cheng Ho mulai merosot. Beliau dibenarkan membuat satu sahaja lagi pelayaran iaitu pada tahun 1433 iaitu sebelum China membuat dasar tutup pintu kepada dunia luar. Seratus tahun kemudian orang Eropah telah tiba ke sebahagian besar dunia yang sebelum ini pernah dijelajahi Cheng Ho. Sekiranya pencapaian Cheng Ho telah diteruskan, maka sejarah penjelajahan mungkin amat berbeza sekali.

    I Ching

    Beliau merupakan seorang lagi penjelajah China yang masyhur pada abad ke-7 M. Beliau merupakan seorang sami Buddha.Antara tempat-tempat yang pernah dilawatinya ialah Tanah Melayu dan India. Semasa melawat Tanah Melayu iaitu ketika singgah di Kedah pada tahun 671 beliau mendapati kerajaan Kedah Tua merupakan sebuah kerajaan yang masyhur dan makmur. Dalam catatannya semasa singgal ke Kedah sekambalinya dari India menyebut bahawa Kedah masa itu dijajah Srivijaya. I Ching juga telah melawat Srivijaya sebanyak dua kali untuk mempelajari bahasa Sanskrit dan menterjemahkan kitab suci agama Buddha.

     


    7.2 Asal usul

    Susur galurkan sejarah penjelajahan dan penerokaan yang berlaku dalam tamadun awal.

    Tamadun Mesopotamia

    Mesopotamia merupakan tamadun awal yang terkenal dengan penggunaan roda sebagai alat pengangkutan. Melalui sistem pengangkutan yang ada di tamadun ini mereka menjalin hubungan perdagangan dengan kawasan-kawasan jiran.Selama beribu-ribu tahun saudagar dan pengembara mengharungi jalan perdagangan yang merentasi Asia. Sebab itulah banyak barang dari negara luar boleh ada di Mesopotamia, begitu juga barang-barang dari Mesopotamia dijual ke negara-negaraluar.

    Tamadun Mesir

    Tamadun Mesir Purba yang berkembang kira-kira 5000 tahun dahulu di lembah Sungai Nil yang subur telah menjalin hubungan dengan kerajaan dan penduduk lain di Timur Tengah. Namun begitu, ekspedisi ke bahagian Afrika yang lain di selatan nampaknya amat jarang sekali. Ekspedisi yang pernah dilakukan dicatat secara terperinci dalam inskripsi di dinding sebuah kuil di barat Thebes. Satu contoh yang masyhur ialah ekspedisi besar yang dilancarkan ketika Mesir di bawah pemerintahan Ratu Hatshepsut (ratu ini memerintah antara tahun 1501 SM – 1479 SM) pada tahun 1492 SM ke ‘Tanah Punt’ yang dipercayai terletak di kawasan Somalia moden. Ekspedisi ini bermatlamatkan perdagangan. Catatan mengisahkan tentang banyak barang dagangan seperti dupa, eboni, gading, emas, perak dan monyet hidup dibawa balik oleh kapal-kapal ekspedisi. Ekspedisi itu mungkin telah menggunakan jalan darat dari Thebes untuk menaiki kapal-kapal di Laut Mereah. Kapal-kapal itu kemudian belayar kira-kira 2000 km dari Laut Merah ke Punt

    Phonecia pernah menjadi wilayah Empayar Mesir pada masa-masa yang berbeza. Pada kira-kira tahun 600 SM, Firaun Necho II mengasaskan armada Phonecia untuk mencari jalan dari Laut Merah ke Mediterranean.Ekspedisi berani Firaun Necho mengelilingi Afrika adalah didorong oleh keinginan baginda untuk mencari jalan perdagangan yang boleh menghubungkan Laut Merah dengan Delta Nil. Mereka nampaknya berjaya mencapai tujuan ini dengan belayar mengelilingi Tanjung Harapan. Mereka melaporkan kedudukan matahari yang berada di sebelah kanan sambil mereka belayar dari timur ke barat mengelilingi hujung selatan Afrika . Malangnya ramai dari penduduk di sebelah utara yang tidak pernah mengalami keadaan ini tidak percaya dengan laporan tersebut. Orang Phonecia merupakan pelaut yang pakar pada zaman itu. Menjelang abad ke-7 SM, mereka telah belayar melepasi Selat Gibraltar ke Madeira dan Kepulauan Canary. Di situlah mereka telah berdagang bahan pencelup. Pada tahun 470 SM, Jeneral Hanno dari Carthage mengetui satu angkatan armada besar menuju arah ini dan meneruskan pelayaran di sepanjang pantai barat Afrika. Dalam tempoh seribu tahun, penjelajahan orang Mesir berkembang dengan perlahan dan tumpuan terutamanya pada patai Afrika atas tujuan perdagangan. Juga dikatakan bahawa ekspedisi itu tidak diulang oleh sesiapa pun selama 2000 tahun selepas itu.

    Pada kira-kira pada tahun 2300 SM, seorang pegawai bernama Harkhuf telah dihantar untuk membawa ekspedisi ke Yam, Nubia. Tatkala melepasi Riam Pertama di Sungai Nil, beliau pun melintasi sempadan terjauh dalam dunia yang diketahui orang Mesir Purba. Catatan perjalanan beliau dapat dilihat pada inskripsi di makam beliau di Pulau Elephantine, Sungai Nil. Sejarah Mesir juga mencatatkan bahawa ketika Mesir di bawah pemerintahan Kerajaan Pertengahan iaitu di permulaan abad ke-20 SM, Amenemhet III telah menghantar kapal-kapal jauh ke luar negari untuk mencari barang dagangan. Mereka membuat perhubungan dengan Crete, Syam, Babylon dan kawasan-kawasan selatan. Tidak hairanlah orang Mesir dengan mudah memperolehi bahan-bahan yang digunakan untuk mengawet mumia seperti myrrh dan kemenyan dari luar negeri kerana telah wujud penjelajahan waktu itu.

    Tamadun Graeco-Roman

    Orang-orang Greek melakukan penjelajahan dan penerokaan kerana tanah Greek tidak subur untuk menampung penduduk yang kian bertambah. Bagi mengelakkan daripada berlakunya pembahagian tanah milik mereka, pemerintahnya telah menghantar penduduknya ke negara lain terutama ke kawasan selatan Greek. Inilah punca penerokaan secara besar-besaran yang telah merobah bentuk dunia Mediterranean dalam beberapa generasi.

    Tanah jajahan Greek dibuka untuk perdagangan dan sebagai tempat pertemuan perniagaan antara kota-kota. Kawasan-kawasan itu terletak di pesisiran laut Mediterranean dan Laut hitam. Berita tentangnya dibawa pulang oleh pengembara yang menjelajah secara perseorangan sebagai pedagang atau perompak laut. Mereka menemui lombong-lombong emas di Tartessus.

    Ekoran dari penjelajahan dan penerokaan orang-orang Greek itu, petempatan-petempatan Greek ditubuhkan di Pulau Sicily, Pulau Cyprus, Corsica dan pesisiran Laut Mediterranean, Laut Aegeann dan Laut Hitam. Mereka seterusnya telah menyebarkan kebudayaan dan pemikiran Greek. Antara faktor-faktor pemilihan sesatu tanah jajahan itu ialah pelabuhan yang baik, terdapat air untuk minuman dan tanah yang subur.

    Menjelang kira-kira tahun 750 SM, bangsa-bangsa Yunani dan Phoenicia telah menjelajah sebahagian besar kawasan Mediterranean dan mewujudkan koloni perdagangan. Orang Phoenicia adalah pembuat kapal dan pedagang yang amat arif di Mediterranean.Orang Rom telah mempelajari cara membuat kapal berpandukan rangka kapal orang Phoenicia. Menjelang tahun 702 SM orang Phoenicia telah menubuhkan koloni di seluruh Mediterranean. Tamadun Yunani Purba merupakan yang pertama di Eropah yang cuba menganalisis dunia dari sudut sains. Antara tahun 310-306 SM penjelajah Yunani yang bernama Pytheas telah menyusuri pantai –-Atlantik ( Portugal) dan dikatakan telah mengelilingi Britain sebelum belayar pulang. Pelayaran Pytheas bukanlah atas dorongan perdagangan tetapi atas minat sains yang sebenar. Ahli geografi dan astronomi pula menggunakan pencerapan serta maklumat daripada penjelajah untuk membuat peta kawasan Mediterranean dan peta dunia. Ptolemy (seorang ahli astronomi Mesir-Yunani ) telah menghasilkan peta dunia yang terbaik sehingga abad ke-15 hasil dari maklumat yang diperolehi dari ahli geografi yang diperolehi penjelajah.

    Iskandar Zulkarnain Agung (356-323 SM) yang berasal dari Makedonia pernah menjadi penguasa Greek yang diwarisi dari ayahnya, Philip II merupakan seorang penjelajah dan peneroka yang hebat sekali. Baginda telah menjelajah dan menawan wilayah Parsi, Mesir, Mesopotamia. Dalam proses penjelajahannya, baginda telah mengumpulkan maklumat tentang geografi kawasan yang jatuh ke tangan baginda. Tenteranya diiringi sekumpulan juruukur, ahli geografi, ahli matematik dan ahli astronomi. Ahli geografinya memetakan wilayah taklukan yang merentang dari Sungai Indus ke timur Mediterranean. Orang Rom terus mengembangkan pengetahuan dunia yang diasaskan oleh orang Yunani. Namun tujuan mereka agak berbeza. Pada dasarnya, pembuat peta dan juruukur Rom berperanan untuk mewujudkan dan mengekalkan Empayar Rom.

    Semasa Rom sebuk meluaskan penjajahannya, Empayar Rom merangkumi kesemua kawasan yang bersempadan dengan Mediterranean dan menuju ke timur hingga Mesopotamia dan meliputi keseluruhan barat Eropah hingga ke utara (Britain). Dengan itu, penjajahan Rom menjadikan bangsanya menjelajah jauh sekali ke negara-negara lain.

    Orang Rom juga mengetahui tentang India melalui kempen penjajahan Iskandar Zulkarnain dan mereka juga mengetahu serba sedikit tentang Timur Jauh ekoran barang dagangan yang tiba dari China ke dunia Rom melalui Jalan Sutera. Namun orang Rom jarang mengembara melepasi sempadan mereka. Mereka banyak mengembara di dalam kawasan empayar mereka. Orang Yunani Purba dan Rom telah menerbitkan buku serta panduan pelancongan untuk pelancong. Salah sebuah buku yang masyhur ialah ‘Hellados Periegesis" ( Panduan Melawat Yunani) yang ditulis pada abad ke-2 M oleh penulis Yunani yang bernama Pausanias.

    Bagi melicinkan perjalanan, orang Rom telah membina jalan-jalan bagi menghubungkan antara bandar-bandar di dalam empayarnya. Orang Rom memang terkenal sebagai pembina jalan raya dan jalan raya yang dibina itu sangat lurus dengan jarak yang begitu jauh. Jalan-jalan lurus ini bertujuan mempercepatkan penghantaran bekalan dan utusan serta askar jika berlaku kekacauan.

    Bagi mempercepatkan perjalanan melalui laut, orang Rom telah mempelajari cara-cara membuat kapal berdasarkan rangka kapal orang Phonecia. Dengan itu penjelajahan melalui jalan laut di sekitar Laut Mediterranean itu membawa kepada kegiatan menjajah, telah memunculkan Rom sebagai perampas perdagangan di seluruh Laut Mediterranean dan menjadi kuasa besar di situ.

    Menjelang abad ke- 5 M, Empayar Rom mula merosot akibat serangan tentera gasar dari Eropah Timur ( German). Menjelang tahun 476 M Empayar Rom runtuh. Walau bagaimanapun, maharaja Kristian Rom yang pertama iaitu Constantine 1 ( 306-337 M) telah mengasaskan Constantinople ( Istanbul, Turki). Constantinople menjadi pusat Empayar Byzantine Kristian (Rom) yang wujud hingga abad ke-15.Melalui penjelajahnya yang juga mubaligh, agama Kristian disebarkan ke kawasan-kawasan yang dijelajahi. Penjelajahan dan pejajahan Rom ke bumi Arab ( Arab Utara dan Selatan) juga menampakkan motif perdagangan dan penyebaran agama Kristian.

     

    Tamadun China

    Tamadun China bermula pada kira-kira tahun 1700 SM, namun China mengambil masa kira-kira 1000 tahun untuk menjalin hubungan tetap dengan tamadun Asia Barat dan Asia Selatan. Pada tahun 138 SM Chang Chien telah diutus ke Asia Tengah oleh Maharaja Han Wu Ti untuk cuba membuat perjanjian dengan penduduk di sempadan barat China bagi menentang puak Hun yang menceroboh. Dalam tempoh 12 tahun beliau mengembara , 10 tahun dihabiskan sebagai tawanan Hun. Selepas berjaya melepaskan diri, beliau cuba kembali ke China melalui Tibet tetapi ditawan semula. Walau bagaimanapun akhirnya beliau berjaya kembali ke China dengan 2 orang sahaja daripada 100 orang yang mengikutnya dahulu. Misi beliau gagal tetapi beliau berjaya membawa balik berita tentang peluang perdagangan dengan Asia Barat. Hasilnya, tidak lama kemudian ( kira-kira pada tahun 105 SM) jalan perdagangan baru dibuka untuk membawa barangan seperti rempah ratus, batu permata, mutiara, sutera, kulit penyu melintasi Gurun Gobi dan gunung ganang tinggi di Asia Tengah ke Timur Tengah dan Eropah. Mereka mengembara melalui Asia ke Antioch dan kemudian menaiki kepal ke Rom. Terdapat beberapa batang jalan yang secara amanya dikenali sebagai ‘ Jalan Sutera’ iaitu laluan perdagangan antara China dan Barat .

    Ramai pengembara China yang awal ke Asia Tengah dan Selatan adalah penganut agama Buddha yang sedang mencari pengetahuan agama di dalam dan di sekitar India Utara iaitu tempat asalnya agama Buddha. Pengembara yang termasyhur ialah Hsuan- tsang (596-664M). Beliau mengembara selama 16 tahun bermula pada tahun 629 SM tanpa menghiraukan larangan Maharaja atas tujuan medalami bidang agama. Beliau merentasi Asia Tengah melalui Gurun Gobi, melalui jalan yang berbahaya dan gaung yang gelap ke Bactria, mendaki Hindu Kush dan mendaki ke timur untuk ke Kashmir dan India. Beliau belajar selama 2 tahun di India, melawat perpustakaan di biara yang terdapat di Lembah Sungai Ganges. Beliau melawat Allahabad dan di situ beliau ditangkap lanun tapi dapat melepaskan diri. Dalam perjalanan pulang ke China, beliau terpaska meredah pelbagai bahaya dan selepas meninggalkan China selama 16 tahun, akhirnya beliau tiba di Chang-an dengan membawa 700 buah buku agama, patung dan peninggalan Buddha. Ekspedisinya dianggap sangat penting hinggakan hukuman ke atasnya telah ditarik balik malah beliau dihujani penghormatan termasuk dari Maharaja.. Ini agak luar biasa kerana pengembaraan di luar sempadan China tidak digalakkan manakala bangsa asing tidak dibenarkan masuk. Atas sebab itu kemajuan tamadun China langsung tidak diketahui dunia Barat sehinggalah pengembaraan Marco Polo pada abad ke-13.

    Saudagar China telah sampai ke Zanzibar ( salah sebuah pelabuhan perdagangan yang kaya di pantai Afrika Timur, tempat pedagang Arab menetap dan menyebarkan agama Islam) dan Madagascar menjelang tahun 1180-an ( mereka sebenarnya telahpun melawat Timur Tengah melalui jalan laut sejak tahun 360 M lagi). Sebenarnya orang China hanya dibenarkan keluar dari negara China dalam tahun-tahun tertentu sahaja dalam sejarah China. Salah satu zaman yang membenarkan ialah pada masa China di bawah pemerintahan Maharaja Cheng Tsu pada awal Dinasti Ming (1368-1644). Baginda menugaskan seorang pembesar Islam yang bernama Laksamana Cheng Ho (1371-1435) untuk mengetuai seangkatan armada besar yang telah melancarkan satu siri tujuh pelayaran penjelajahan yang bermula pada tahun 1405 hingga tahun 1433. Mereka sampai di Afrika tahun 1415

    Pada awal abad ke-13 puak Mongol bersatu di bawah Genghis Khan (1167-1227). Mereka menceroboh China dari Utara Asia. Menjelang tahun 1241 Genghis Khan berjaya mewujudkan empayarnya merentang hingga ke sempadan Eropah.Pada masa ini mereka enggan melayan lawatan diplomatik dari wakil-wakil Eropah hinggalah kedatangan keluarga Polo. Marco Polo diambil sebagai wakil China ke Tanah Melayu, Sumatera, Ceylon dan Tibet. Pada tahun 1368 pemberontakan orang China terhadap pemerintah Mongol berlaku. Kejatuhan kerajaan Mongol di China membuka lembaran baru dalam sejarah China apabila China menjalankan dasar menutup pintunya kepada pelawat-pelawat Eropah.

     

    Tamadun Barat

    Barat atau Eropah selepas kejatuhan Rom pada menjelang abad ke-5 M menyaksikan peranan gereja dalam usaha mengembangkan agama Kristian. Pada ketika itu sebilangan pengembara yang agung adalah mubaligh Kristian yang mengembara untuk menyebarkan Gospel kepada penduduk di sebahagian besar Empayar Rom Lama. Walau pun Ireland tidak pernah dijajah Rom namun telah menjadi negara Krisitian selepas kira-kira tahun 440 M. Ramai mubaligh mengembara dari Ireland untuk menyebarkan agama Kristian kepada penduduk benua Eropah. Malah St Brendan pernah sampai ke Amerika.

    Orang Eropah mula menunjukkan minat terhadap Afrika pada Zaman Pertengahan. Mereka mula menggemari benda mewah dari Timur seperti rempah ratus, sutera, gula, mutiara dan batu berharga. Namun pada masa itu jalan perdagangan darat dikuasai oleh orang Turki yang ketika itu sedang berperang dengan orang Eropah. Keadaan ini menjadikan barangan ini sangat sukar diperolehi dan mahal harganya sedangkan orang Eropah ingin mendapatkannya dengan harga yang lebih murah. Mereka bertekad untuk mencari jalan laut yang mengelilingi Afrika untuk membolehkan mereka berdagang secara terus dengan India, China dan Pulau Rempah (Pulau Maluku) di Lautan Pasifik tanpa bertembung dengan orang Turki.

    Sebenarnya Eropah menyaksikan banyak penjelajahan dan penerokaan terutamanya untuk mencari jalan ke Timur Jauh bagi mendapatkan rempah ratus. Salah sebuah negara Eropah yang giat melakukan penjelajahan dan penerokaan ialah Portugal. Pada awal abad ke-15 orang Portugis memulakan suatu siri pelayaran ke selatan pantai barat Afrika untuk mencari jalan laut ke Timur Jauh. Salah seorang yang sangat berminat dalam penerokaan ini ialah Putera Henry (1394-1460). Beliau dikenali sebagai ‘Henry Pelayar’ walaupun sepanjang hayatnya beliau tidak pernah belayar! Beliau terkenal sebagai penjelajah yang duduk diam di rumah sahaja. Beliau tertarik dengan kekayaan di timur dan mendapat inspirasi daripada cerita tentang paderi raja agama Kristian iaitu Prestor John yang dipercayai tinggal di suatu tempat di Afrika. Henry membina sebuah sekolah untuk melatih jurumudi dan ahli pelayaran di samping membina limbungan kapal. Beliau mengambil cendikiawan, ahli geografi, ahli astronomi dan pelaut. Beliau mendorong orangnya mengetuai ekspedisi . Selama 12 tahun beliau telah menghantar sebanyak 14 ekspedisi tetapi apabila sampai di Tanjung Bojadur, ekspedisinya berpatah balik kerana dihantui oleh kepercayaan bahawa di Khatulistiwa , suatu kawasan yang dikenali sebagai ‘Laut Hijau Yang Gelap’, matahari berada sangat hampir dengan bumi sehingga kulit manusia terbakar hitam, laut menggelegak dan terdapat kolam berpusar dan kabus hijau yang tebal, tempat tinggal raksaksa yang menunggu untuk membaham mereka. Salah satu ekspedisi yang dihantar Henry ialah yang diketuai oleh Gil Eannes. Pada tahun 1434, Gil Eannes menjadi ahli pelayaran yang pertama berani belayar ke selatan iaitu ke Tanjung Bojadur. Lima puluh tahun kemudian iaitu pada bulan Ogos 1487 Maharaja John II menghantar satu ekspedisi yang terdiri daripada 3 buah kapal diketuai oleh Bartolomeu Dias atas tujuan membuka jalan laut di hujung Afrika Selatan. Maharaja John II percaya bahawa jalan ke Timur akan menjadi mudah jika Lautan Hindi dapat diterokai.

    Pada tahun 1487 juga Pedro da Covilha bersama-sama Alfonso de Paiva membuat satu misi rahsia. Covilha diarahkan mencari maklumat sebanyak mungkin tentang jalan ke India sementara Paiva pula diarahkan mencari kerajaan Prestor John di Afrika. Mereka menyeberangi Laut Mediterranean dan belayar ke selatan Laut Merah. Paiva telah hilang, sementara Covilha sampai ke India dan kemudiannya menetap di Habsyah (Abyssinia/Ethiopia) Covilha telah melaporkan pelayarannya ke India kepada kerajaan Portugal.

    Vasco da Gama (1460-1524) pula dihantar oleh Raja Manuel, raja Portugal untuk memastikan sama ada jalan ke India dengan mengelilingi Afrika seperti yang dilaporkan sebelum ini benar-benar wujud. Pada tahun 1497 Vasco da Gama telah menyusuri bahagian atas pantai timur Afrika dan akhirnya menemui jalan laut ke India yang selama ini cuba dicari-cari oleh pengembara Eropah.. Angkatannya meredah Lautan Hindi selama 23 hari dan setelah 10 bulan belayar barulah beliau sampai di Calicut, India. Dalam perjalanan mereka ke Timur, orang Portugis telah bertemu dengan peluang perdagangan yang lumayan di Afrika Barat terutama sekali emas, gading dam hamba. Perdagangan hamba berkembang pesat antara abad ke-16 hingga 19. Orang Portugis kemudiannya melancarkan ekspedisi tentera laut secara agresif . Mereka menubuhkan kubu di Ceylon pada tahun 1505 dan menawan Goa pada tahun 1510. Namun mereka masih belum menemui sumber rempah ratus. Dengan itu mereka pun terus belayar ke arah timur. Pada tahun 1511 satu ekspedisi yang terdiri daripada 3 buah kapal di bawah pimpinan Antonio de Abreu telah belayar dari Melaka (masa itu Portugis telah pun menawan Melaka). Pada tahun 1512 mereka telah sampai ke Pulau Banda. Ini membuka jalan ke Kepulauan Maluku yang merupakan satu-satunya sumber buah pala dan bunga cengkih di dunia pada masa itu. Akhirnya orang Portugis berjaya sampai di Kepulauan rempah yang selama ini menjadi legenda itu. Selepas itu .mereka menuju ke utara iaitu ke China dan menjelang tahun 1540-an menjadi orang Eropah pertama sampai di Jepun.

    Sepanyol juga tidak ketinggalan dalam usaha mencari jalan ke Timur. Melalui Christopher Columbus, Sepanyol cuba mencari jalan ke Timur Jauh melalui arah Barat iaitu arah yang bertentangan dengan jalan sebelum ini (menyusuri pantai Afrika) tetapi gagal menemui negara China. Sebaliknya, diluar tujuan sebenar, atau tanpa sengaja dia menemui benua Amerika!.Pada tahun 1511 pula Sepanyol membiayai pelayaran Magellan untuk mencari jalan perdagangan ke timur dan menuntut Pulau Maluku. Dia hanya sampai di Filipina setelah menyusuri Amerika Selatan. Kematiannya di Filipina menyebebkan rakannya yang bernama Sebastian del Cano mengambilalih mengetuai pelayaran kembali ke Sepanyol.

    Seperti orang Sepanyol, orang Inggeris dan Perancis juga ingin mencari kekayaan di Timur dengan cara belayar ke arah Barat. Mereka tidak mengikut jalan orang Sepanyol mengelilingi Amerika Selatan, sebaliknya mereka mencari jalan baru mengelilingi Amerika Utara. Mereka berkeyakinan menemui selat yang boleh dilalui oleh kapal mereka. Jalan ini dikenali sebagai Laluan Barat Laut.Satu ekspedisi yang diketuai oleh Martin Frobisher bersama 3 buah kapal bertolak dari London pada tahun 1576 tetapi gagal menemui Laluan Barat Laut. Beberapa ekspedisi lain yang dihantar seperti yang diketuai oleh John Davis ( antara tahun 1585 hingga 1587),Henry Hudson (1610), William Baffin dan Robert Bylot (1616) semuanya gagal menemui Laluan Barat Laut. Sejak itu hingga berabad-abad lamanya orang Inggeris masih gagal menemui Laluan Barat Laut hinggalah pada abad ke-20 nanti.

     

    Seorang lagi ahli pelayaran Inggeris yang terkenal ialah Francis Drake (1545-1596). Dia dianggap sebagai penjelajah kedua yang mengelilingi dunia. Penjelajahannya dilakukan 50 tahun selepas pelayaran Magellan.. Orang Sepanyol menganggapnya sebagai lanun kerana beliau banyak kali menyerang petempatan orang Sepanyol di Caribbean dan Amerika Tengah. Pelayarannya berlangsung antara tahun 1577 hingga 1580.Pada tahun 1577 beliau dihantar oleh Ratu Elizabeth I ke Selat Magellan (menjelajah laut-laut selatan) atas tujuan untuk mengaut kekayaan dan rempah dengan membawa lima buah kapal. Setelah mengelilingi dunia selama 3 tahun, akhirnya beliau pulang ke England dengan sebuah kapal sahaja.

    Perancis turut cuba mencari laluan terus ke Timur. Pada tahun 1534 Raja Francois I mengarahkan Jacques Cartier mencari jalan barat ke Pasifik dan mendapatkan kawasn baru bagi Perancis tapi usaha-usahanya gagal. Usaha itu diteruskan oleh orang-orang Perancis yang lain yang akhirnya menemukan mereka dengan Amerika dan membina empayar Perancis di Amerika.

    Orang Viking yang berasal dari Norway, Sweden dan Denmark yang sering dikenali sebagai penyerang itu juga merupakan penjelajah dan pedagang. Mereka mula belayar ke Barat pada abad ke-9 untuk mencari kawasan baru. Menjelang tahun 860 ada di kalangan mereka telah sampai ke Iceland dan menetap di situ. Dalam perjalanan yang kerap ke Barat, mereka telah menjadi orang Eropah pertama yang menemui Amerika. Menjelang abad ke-11 terdapat petempatan Viking merentasi utara Eropah dari Rusia ke Ireland. Ekspedisi perdagangan membawa mereka jauh hingga ke Laut Mediterranean dan menghilir Sungai Volga ke Laut Kaspia.

    Tamadun Arab

    Penjelajahan orang Arab lebih bermotifkan perdagangan. Zaman sebelum kedatangan Islam lagi iaitu zaman jahiliah telah ada bukti-bukti yang menunjukkan bahawa mereka telah menjelajah sampai ke India, Asia Tenggara dan China (jalan laut). Ketika Yaman terkenal sebagai pusat perdagangan utama di semenanjung Tanah Arab, pelabuhan di Yaman telah menjadi pusat persinggahan kapal-kapal dari Timur dan tempat memulakan pelayaran ke Timur. Orang-orang Arab bukan sahaja terkenal sebagai pelayar bahkan pengembara padang pasir melalui sistem kafilah. Mereka telah memonopoli perdagangan Timur dan menjadikan saudagar-saudagar Venice dan Genoa sebagai orang tengah mereka dalam memasarkan barang-barang ke Eropah. Hal ini berterusan sehingglah mereka memeluk agama Islam. Inilah antara sebab orang-orang Eropah ingin sangat mencari jalan ke timur iaitu ingin memecahkan monopoli perdagangan orang Arab.

     Tamadun Melayu

    Alam Melayu tidak banyak menyaksikan penjelajah dan peneroka tetapi sering dijelajah dan diteroka. Namun begitu ketika Srivijaya muncul sebagai pusat agama Buddha di Nusantara, Srivijaya telah menghantar penuntut-penuntutnya ke Nalanda, India Selatan bagi menyambung pengajian agama Buddha di situ. Dengan itu mereka juga dianggap sebagai penjelajah atas motif menuntut ilmu. Berkaitan dengan menuntut ilmu ini, kerajaan Srivijaya telah membina sebuah kuil di Nagapatnam, India Selatan pada tahun 1005M. Selain dari itu Srivijaya juga menghantar banyak rombongannya ke China untuk mengeratkan perhubungan diplimatik dan perdagangannya dengan China. Dengan itu dapat didkatakan bahawa penjelajahan orang Srivijaya lebih kepada motif perdagangan dan menimba ilmu.

    Tamadun India

    Penjelajahan orang India dalam tamadun awal kurang didedahkan oleh ahli-ahli sejarah. Namun tidak dapat dinafikan bahawa memang wujud penjelajahan orang-orang India terutamanya atas motif perdagangan dan agama. Orang-orang India telah menjelajah ke bahagian timut tengah dan Asia Tenggara sebelum penjelajahan orang-orang Barat lagi atas tujuan perdagangan. Ini terbukti dengan adanya kapal-kapal orang India di pelabuhan Yaman. Mereka juga menjelajah ke Asia Tenggara untuk memperluaskan perdagangan dan menyebarkan agama Hindu sejak sebelum abad pertama Masihi lagi. Penjelajahan atas tujuan perdagangan ini kemudiannya telah mewujudkan penjajahan. Ini dapat dibuktikan dengan penjajahan Raja Rajendra I (Raja Chola dari India Selatan) ke atas kerajaan-kerajaan Srivijaya di Semenanjung Tanah Melayu (seperti Kedah dan Ligor) dan di Sumatera (seperti Palembang) pada sekitar tahun 1025M.

     


    7.3. Pencapaian dan Sumbangan

    1. Jelaskan bagaimana ilmu pelayaran dan geografi berkembang akibat daripada aktiviti penjelajahan dan penerokaan
    2. Susur galurkan asal usul dan perkembangan dalam ilmu pelayaran dan geografi

Penjelajahan dan penerokaan telah mengembangkan ilmu pelayaran dan geografi. Zaman Hellenistik (percampuran budaya Yunani dan bukan Yunani khususnya Parsi) dalam sejarah Greek telah menggalakkan penyelidikan sains. Ekspedisi-ekspedisi Iskandar Zulkarnain merentasi Asia telah membuka bidang-bidang pengetahuan baru kepada orang Greek dan telah membangunkan minat terhadap penyelidikan saintifik.Semasa Iskandar Zulkarnain membuat penjelajahan ke Asia, tenteranya diiringi oleh sekumpulan juruukur, ahli geografi, ahli matematik dan ahli astronomi. Pakar-pakar tersebut telah memetakan wilayah taklukan yang merentang dari Sungai Indus ke timur Mediterranean. Peta Eropah yang dibuat pada lebih 1500 tahun selepas penjelajahan Iskandar telah menggunakan maklumat tentang Asia yang diperolehi dari Iskandar. Orang Rom mengembangkan pengetahuan mereka tentang dunia melalui orang Yunani dan pengetahuan tentang India melalui penjelajahan Iskandar Zulkarnain. Ahli kaji bintang telah membuat penyelidikan melalui perjumpaan-perjumpaan zaman dahulu di Babylon; mereka belajar mengira sukatan dunia. Ada di kalangan mereka mengemukakan teori-teori peredaran dunia mengelilingi matahari. Ahli geografi yang terkenal iaitu Erotosthenes (275 – 200 SM) adalah orang yang mula-mula mengajar tentang lautan di dunia dan memulakan lukisan peta dengan menggunakan garis bujur dan garis lintang. Ptolemy, seorang ahli astronomi Mesir-Yunani yang bertugas di Perpustakaan Iskandariah, Mesir dari tahun 127 hingga 150M telah mengumpulkan pelbagai ilmu Yunani tentang Geografi bagi menghasilkan peta dunia yang terbaik sehingga abad ke-15. Selepas pelayaran Kapten Cook (1780) ke Hawaii barulah peta dunia yang lebih sempurna dihasilkan ( pada abad ke-18).

Penjelajahan dan penerokaan juga telah mengembangkan ilmu pelayaran. Orang Rom belajar membuat kapal berdasarkan bangkai kapal orang Phoenicia. Orang Phoenicia adalah pembuat kapal dan pedagang yang terpakar di Mediterranean dan telah menubuhkan koloni di seluruh kawasan Mediterranean pada abad ke-8.SM. Pada abad ke-15, Putera Henry (1394-1460)yang terkenal dengan jolokan ‘Henry Pelayar’ ( Henry the Navigator) telah menubuhkan sebuah sekolah pelayaran yang masyhur di Sagres, Portugal. Di akademi tersebut beliau mengumpulkan kemahiran ahli pelayaran, ahli geografi, pembuat peta, ahli astronomi dan pembina bot. Beliau menganjurkan beberapa ekspedisi Portugis ke timur walaupun beliau sendiri tidak pernah menyertai pelayaran-pelayaran yang dianjurkannya itu. Ekoran usaha beliau, sekolah-sekolah pelayaran telah ditubuhkan di tempat-tempatlain di Eropah.Berkait dengan penjelajahan dan penerokaan melalui laut, pelbagai jenis alat pandu arah digunakan dengan luasnya pada abad ke-15 seperti kompas, alat bahagi, jam pasir, carta bintang dan jadual. Sesiku laut pula digunakan untuk mengukur sudut matahari bagi mengira latitud kapal.

 


Sekian.....