Tema 5: Pendidikan


5.1: Konsep Pendidikan

  1. Berikan konsep pendidikan mengikut kronologi relatif perkembangannya dalam tamadun awal.
  2. Jelaskan maksud atau konsep pendidikan yang berasaskan akal dan pancaindera yang melahirkan pendidikan berbentuk
    1. agama
    2. sekular di dalam tamadun awal manusia

5.2: Dasar Pendidikan

Huraikan dasark pendidikan yang wujud dalam tamadun awal dengan memberi perhatian kepada:

  1. Matlamat dan peringkat
  2. Proses asal usul perkembangannya
  3. Perubahan, kesinambungan dan perkembangannya.

5.3: Institusi Pendidikan

  1. Senaraikan jenis-jenis institusi yang terdapat dalam tamadun awal manusia. Antaranya ialah di tempat ibadat, istana, rumah guru, sekolah, kolej dan universiti (contohnya : India di Nalanda)
  2. Tunjukkan dalam tamadun manakah satu-satu jenis institusi yang disenaraikan itu wujud.
  3. Galurkan asal usulnya dan perkembangannya
  4. Tunjukkan cara bagaimana pendidikan itu disampaikan sama ada secara formal atau tidak.

5.4: Kurikulum

  1. Senaraikan bidang yang diperkenalkan di institui pendidikan dalam tamadun awal
  2. Jelaskan konsep bidang-bidang sedemikian dititik berat
  3. Galurkan asal usul dan perkembangannya
  4. Senaraikan bidang-bidang ko-kurikulum yang diperkenalkan di institusi pendidikan
  5. Jelaskan kenapa ia diperkenalkan
  6. Galurkan asal usul dan perkembangan
  7. Jelaskan konsep disiplin dalam pendidikan di tamadun awal
  8. Tunjukkan bentuk disiplin yang dipraktikkan

 

Tamadun Greek

Greek mempunyai dua buah bandar besar iaitu Sparta dan Athens yang mempunyai dasar pendidikan yang berlainan. Di Sparta, pendidikan adalah tugas negara. Kaum lelaki adalah menjadi milik negara. Setelah seorang ibu melahirkan anak, bayi itu akan diserahkan kepada suatu Jemaah Kaum Tua ( Council of Older People). Di sini bayi itu akan diperiksa dengan teliti untuk memastikan sama ada akan menjadi seorang yang tegap, kuat dan sihat bila dewasa nanti. Mereka berpendapat bahawa orang yang lemah tidak boleh menjadi benteng negara. Jika seseorang bayi itu tidak dapat memenuhi syarat-syarat tertentu , maka bayi itu akan dibunuh atau akan dibuang di pergunungan atau tempat yang terpencil dengan tujuan kanak-kanak itu akan menemui ajalnya dengan sendiri atau dimakan oleh binatang buas. Sebaliknya, jika kanak-knak itu memenuhi syarat-syarat yang ditentukan dan dijangka akan menjadi seorang yang berguna kepada untuk masa hadapan, kanak-kanak itu akan diserahkan semula kepada ibu bapanya untuk dijaga hinggalah berusia 6 tahun. Bila telah mencapai umur 6 tahun dia akan dihantar ke tempat pendididkan khas yang dinamakan ‘Badan Kebajikan Masyarakat’. Di situlah dia diberi makan dan pendidikan yang secukupnya. Dari umur 8 tahun hingga 18 tahun, kanak-kanak yang tinggal diberek awam itu diberi latihan fizikal seperti berlari, melompat, bergusti, bertinju dan sebagainya. Dari umur 18 tahun hingga 20 tahun, dia akan diberi latihan-latihan untuk menghadapi peperangan. Apabila umurnya meningkat ke-30 tahun, dia diberi tugas untuk mengawal tempat-tempat yang telah ditentukan oleh pemerintah bagi menghadapi sebarang kemungkinan atau ancaman kepada negara. Kanak-kanak perempuan juga diberi pendidikan menguatkan fizikal supaya menjadi sihat dan tegap agar dapat melahirkan keturunan yang sihat dan kuat bila berkahwin nanti.

Tujuan pendidikan di Sparta jelas sekali untuk mendidik kanak-kanak supaya menjadi seorang yang berani, tunduk kepada tatatertib, taat kepada pemimpin dan dapat menahan nafsu dan cinta kepada negara. Bagi mencapai tujuan tersebut, cara yang dilakukan ialah:

  1. memberikan pendidikan jasmani yang keras bagi membentuk tubuh yang kuat dan tahan menderita
  2. memberikan pendidikan bidi pekerti untuk mendapatkan sifat-sifat taat, patuh, sederhana, tahu menahan nafsu dan cinta kepada negara.
  3. Mengabaikan pendidikan rohani.

Di Athens pula peluang pendidikan diberikan kepada semua golongan, cuma bagi golongan kelas bawahan mereka hanya berpeluang mendapat pendidikan membaca dan jasmani sahaja. Warga Athens menitikberatkan pendidikan ilmu pengetahuan. Seseorang itu akan menjadi warganegara yang baik jika dia mempunyai ilmu pengetahuan. Pada peringkat awal, kerajaan tidak mengambil berat dalam mendidikan sekolah dan membiayai kanak-kanak miskin dan juga membayar gaji guru. Pendidikan kanak-kanak diusahakan oleh ibu bapa kanak-kanak itu sendiri. Dari lahir hingga berumur 7 tahun kanak-kanak itu dijaga oleh ibu bapanya. Bila berumur 7 tahun, mereka mula berguru mengikut bidang yang dipelajari. Seorang guru untuk satu bidang. Corak pengajaran terpulanglah kepada guru itu sendiri. Pelajaran diberi di bilik khas yang disediakan oleh guru mereka. Gaji guru dibayar oleh ibu bapa mereka dan nilai bayaran itu terpulanglah kepada taraf kedudukan dan kemampuan ibu bapa. Bila berumur 11 tahuyn, mereka menduduki ujian yang berupa ujian jasmani dan akal. Jika berjaya, mereka akan diletakkan dalam golongan warganegara dalam latihan (Citizen-cadet). Pada tahap ini mereka menjalani latihan tentera selama 2 tahun. Pada akhir latihan ini mereka akan menduduki ujian dan jika lulus, mereka akan disahkan menjadi warganegara penuh ( full citizenship), sistem pendidikan begini telah melahirkan ramai ahli falsafah. Dengan itu jelaslah bahawa tujuan pendidikan di Athens adalah untuk mencapai keseimbangan antara rohani dan jasmani – hidup dengan harmonis. Setiap warganegara hendaklah setia kepada negaranya.

Tamadun Rom

Sejarah pendidikan Rom mempunyai 3 peringkat iaitu:

  1. pendidikan zaman kuno (530 SM – 250 SM)
  2. pendidikan zaman peralihan (250 SM – 159 SM)
  3. pendidikan zaman baru/moden (zaaman keemasan dan zaman kemerosotan)

Pada zaman Rom kuno, tidak terdapat sekolah sebagai institusi pendidikan. Kanak-kanak dididik di rumah. Mereka belajar mematuhi dan mencontohi orang tuanya dalam segala hal terutamanya kelakuan. Pada kira-kira tahun 450 SM barulah wujud sekolah untuk belajar membaca dan menulis tentang agama dan undang-undang negara ( yang terkenal pada masa itu ialah Undang-Undang Dua Belas). Setiap kanak-kanak dikehendaki menghafal dan mengingat kandungan undang-undang itu dan pelajaran undang-undang itu menjadi asas bagi perkembangan kesusasteraan Roman masa itu. Pada zaman peralihan iaitu pada peringkat permulaannya, sekolah rendah mula didirikan yang dipanggil juga sebagai ‘Sekolah Sastera’. Sekolah ini belum dipengaruhi oleh pengaruh Greek. Di sekolah ini kitab Odisa diajar kepada kanak-kanak yang ditulis dalam bahasa Latin. Beberapa tahun selepas itu didirikan sekolah-sekolah pidato dan pelajaran nahu Greek. Akhirnya sekolah-sekolah itu bertukar menjadi sekolah Latin. Pada zaman baru/moden Rom iaitu di peringkat Rom mencapai zaman keemasan, cara pendidikan Greek telah mempengaruhi pendidikan Rom hinggakan sekolah nahu/berasaskan bahasa dan retorik yang dihasilkan dari kebudayaan Greek itu telah berkembang pesat di Itali (hingga kezaman pemerintahan Julius Ceasar) dan akhirnya telah menjadi sekolah rasmi dengan mendapat bantuan kewangan dari pemerintah.

Tujuan sekolah-sekolah itu didirikan adalah untuk mengajar membaca dengan secukupnya dan mengarang dengan teliti. Kanak-kanak itu juga diajar kitab-kitab karangan penulis-penulis terkenal Rom, Greek dan Mesir Tua. Sekolah pidato juga didirikan dengan tujuan untuk mendidik anak-anak muda yang meningkat umur 15 tahun dan yang telah tamat pelajarannya di sekolah rendah. Mereka yang belajar di sekolah ini kebanyakannya terdiri daripada kalangan yang ingin bekerja sebagai peguam, ahli politik dan dalam jabatan-jabatan penting. Walau bagaimanapun pendidikan serupa ini terhad di kalangan sedolongan kecil orang Rom sahaja. Selain dari latihan pidato, terdapat juga pelajaran lain seperti pelajaran mekanik, ilmu falak, ilmu falsafah, muzik dan nyanyian.Perlu ditekankan di sini bahawa pada zaman republik Rom, kanak-kanak diajar membaca, menulis, bermain pedang dan berenang oleh ibu bapa secara peribadi. Pengajaran membaca biasanya dipertanggungjawabkan kepada paedagogus (seorang hamba yang berfungsi sebagai pembimbing, penjaga dan hamba kepada kanak-kanak di bawah jagaan mereka). Secara keseluruhannya, pendidikan di Rom ini lebih menekankan kepada tiga kemahiran iaitu membaca, menulis dan mengiraPada zaman kemerosotan Rom iaitu pada kurun Pertama Masihi (zaman keruntuhan kerajaan republik), pendidikan turut merosot akibat kelemahan kerajaan. Kerajaan yang lemah mengakibatkan kurang penekanan atau perhatian terhadap bidang pendidikan.

Tamadun Mesir

Pendidikan dalam zaman tamadun Mesir purba telah wujud sejak 1000 tahun sebelum Masihi lagi atau lebih ketara pada Zaman Pertengahan Mesir, Pendidikan pada masa itu terbahagi kepada peringkat rendah dan menengah. Ia dikelolakan oleh golongan agama. Dalam erti kata lain, sekolah terletak dalam kuil yang juga dikenali sebagai ‘Sekolah Kuil’ yang dikatakan ada kaitan dengan rumah kehidupan ( maksud rumah kehidupan ialah bangunan yang di dalamnya disimpan dan tempat menyalin buku). Sekolah dalam tamadun Mesir purba hanya untuk orang lelaki sahaja. Sekolah banyak terdapat di Memphis dan Thebes. Selain dari padri, tenaga pengajar juga terdiri daripada penulis yang ingin menambahkan pendapatan. Walau bagaimanapun kebanyakan kanak-kanak Mesir tidak suka ke sekolah. Kebanyakan mereka lebih gemar belajar berniaga daripada bapa mereka. Kanak-kanak perempuan pula menolong ibu membuat kerja-kerja rumah. Bagi anak-anak kaum bangsawan, mereka diberi pelajaran di rumah. Bila mereka remaja, mereka didedahkan dengan pelajaran intelektual, sosial dan rohani oleh orang dewasa untuk menjaga reputasi sebagai orang yang lebih pandai.Tujuan pendidikan ialah menyediakan dan memberikan berbagai pelajaran tentang kehidupan sehari-hari. Mata pelajaran yang dipelajari ialah matematik, mekanik, binaan, ukiran, lukisan, muzik dan lain-lain lagi. Pada peringkat Pendidikan Rendah, umur 6 tahun merupakan permulaan bagi seseorang kanak-kanak menimba ilmu. Mereka belajar selama 6 jam sehari sama ada di rumah ( guru dijemput datang) atau dihantar ke sekolah. Pendidikan peringkat ini meluas sekali di Mesir. Ada ramai guru yang sanggup mengajar secara sukarela dan telah berpuas hati dengan mendapat ganjaran yang sedikit. Pelajaran yang diajar ialah membaca, menulis, dan mengira ..Mereka mempelajari tiga bentuk tulisan Mesir dengan cara menyalin sahaja. Alat yang digunakan untuk menulis ialah batu atau kepingan kayu yang diseliputi plaster yang boleh dibasuh (guna semula)

Pada peringkat Pendidikan Tinggi, hanya golongan bangsawan dan atasan sahaja yang berpeluang belajar pada peringkat ini.Kanak-kanak yang berusia 9 dan 10 tahun layak untuk memasuki peringkat tinggi ini.Pusat pendidikan ialah di kuil-kuil yang terrdapat di bandar-bandar. Antara kuil yang masyhur ialah Minfitah, Ra’, Amoon dan Musion. Musion merupakan sebuah sekolah tinggi di Iskandariah dan menjadi tumpuan ahli falsafah dan ulamat dari Timur Tengah dan Greek. Tujuan pendidikan peringkat tinggi ini ialah untuk membolehkan penuntutnya menjalankan tugas sehari-hari di samping mendapat ilmu dalam bidang pertukangan tangan dan kesenian. Penekanan diberi kepada pelajaran tentang bagaimana hendak menulis surat, dokumen undang-undang dan belajar mata pelajaran Sejarah, Kesusasteraan, Agama, Bahasa, Ukuran, Kejuruteraan, Geografi, Simpan kira, Matematik, astronomi dan Perubatan. Bukti menunjukkkan bahawa peperiksaan telah diadakan tapi tidak pasti di peringkat mana. Penuntut-penuntut akan mengambil pelajaran yang ada kaitan dengan kecenderungan atau minat mereka. Umpamanya, jika mereka meminati bidang kesusasteraan, mereka akan belajar tulisan-tulisan Mesir purba seperti Hiroglafi, Hiratiqi dan Demotiqi di samping Ilmu Falsafah dan Undang-undang. Bagi yang meminati lapangan teknikal.. mereka haruslah mempelajari Ilmu Matematik, ilmu berkaitan dengan alat-alatan, Sejarah dan Agama. Bagi yang meminati bidang perubatan, mereka akan belajar Ilmu tubuh Badan, Jampi dan Sihir. Penuntut yang meminati bidang agama, mereka akan mendalami kitab-kitab suci, hukum-hukum agama, Ilmu Falak dan Matematik. Bagi pelajar yang tidak mampu, mereka hanya mengambil satu atau dua mata pelajaran sahaja. Pelajar yang miskin boleh mencari penaja dari kalangan orang kaya ubagi membiayai pelajaran mereka.

Dalam soal menuntut ilmu ini, seseorang kanak-kanak itu dikehendaki belajar menulis dan membaca. Oleh kerana tulisan Mesir purba merupakan lambang-lambang, bagi menguasai tulisan tersebut kanak-kanak itu belajar dengan cara meniru tulisan gurunya dengan menggunakan papan batu. Apabila mereka mencapai tahap mahir barulah mereka menggunakan kertas.Sebagai latihan, kanak-kanak itu dikehendaki menyalin rangkap-rangkap syair, potongan hikayat-hikayat lama, ayat-ayat dari kitab-kitab suci dan lain-lain lagi. Penuntut-penuntut itu dilayan dengan keras. Pelajar yang mengabaikan tugasan akan dihukum dengan berbagai siksaan seperti dirotan atau dibelantan. Guru-guru pula bersifat bengis. Dengan kesalahan yang kecil sahaja pelajar itu akan ditengking dan dimaki hamun. Bagi kaum wanita, mereka hanya berpeluang belajar membaca, menulis dan mengira pada peringkat rendah sahaja. Bagi wanita golongan atasan, mereka didedahkan dengan pelajaran urusan rumah tangga. Lulusan peringkat tinggi itu akan menjadi juru tulis, pengarang dan pedagang. Menjadi juru tulis merupakan profesyen yang dipandang tinggi di Mesir kerana kebanyakan penduduk Mesir adalah buta huruf dan juga kerana sistem kerajaan masa itu yang mementingkan penyimpanan rekod. Juru tulis ini bekerjaan dengan kerajaan dan diberi gaji yang tinggi.

Tamadun Mesopotamia

Dalam tamadun awal Mesopotamia, kuil bertanggungjawab terhadap penyebaran pendidikan. Sekolah-sekolah wujud di dalam kuil. Di situlah kanak-kanak belajar berbagai simbol dalam tulisan. Orang Sumeria menghantar anak-anak lelaki mereka ke sekolah-sekolah. Kanak-kanak itu diajar membaca, menulis dan mengira. Mereka menulis di atas tanah liat yang lembut ( yang boleh dikepal, dibentuk semula dan diguna semula). Masa persekolah sangat panjang dan disiplin amat ketat. Kanak-kanak itu dipukul jika tidak belajar. Pada zaman kegemilangan Baylon di bawah pemerintahan Hammurabi mereka mengkaji ilmu nujum dan dari ilmu ini mereka banyak mengetahui tentang ilmu bintang. Khatulistiwa dibahagi kepada 360 darjah dan mencipta lambang 12 bintang. Mereka amat percaya kepada pengaruh bintang ke atas kehidupan manusia. Pusat-pusat memerhati bintang ditubuhkan di seluruh negeri dan buku-buku yang popular tentang bintang sangat dikehendaki oleh orang ramai. Orang Sumeria terkenal dengan kepakaran dalam matematik, astronomi, dan ukuran. Mereka juga telah membuat kod undang-undang. Kalendar mereka berdasarkan kepada bulan dan sebulan mengandungi 28 hari. Melalui kemahiran matematik, mereka melahirkan dua sistem kiraan iaitu sistem decimal ( berdasarkan unit 10) dan berdasarkan unit 60. Melalui sistem unit 60 mereka mengira bulatan dan masa. Mereka merupakan orang yang pertama mencipta satu pusingan jam mengandungi 60 minit dan bulatan 360 darjah.. Dalam ilmu perubatan, mereka lebih jauh maju dari orang yang sezaman dengan mereka. Sekurang-kurangnya 500 jenis ubat telah digunakan pada masa itu. Doktor-doktornya menggunakan alat-alat yang dibuat daripada gangsa. Kain ataupun kulit digunakan untuk menuam.

Tamadun India

Tamadun Indus adalah tamadun terawal yang muncul di India ( berkembang antara tahun 3000 SM hingga 25000 SM dan lenyap pada kira-kira tahun 1500 SM). Tujuan pendidikan pada masa itu ialah melahirkan manusia yang alim.Pendidikan pada zaman itu berteraskan pelajaran yang terkandung di dalam beberapa veda. Semua pengetahuan yang dipelajari adalah berkaitan dengan agama. Pendidikan diwajibkan bagi semua yang ingin menjadi pendeta dan pendidikan ini dikendalikan oleh pendeta. Apabila seorang pelajar telah menerima benang yang dianggap suci, dia akan diletakkan di bawah jagaan seorang guru selama 12 tahun. Pada masa itu pelajar tersebut akan menghafal semua veda dan belajar tentang astronomi. Apabila dia tua maka pengetahuan itu ditinggalkan dan hiduplah dia dalam alam pertapaan untuk mendapatkan tingkat nirvana. Bahasa yang digunakan ialah Sanskrit. Apabila tamadun Indus runtuh pada kira-kira tahun 1500 SM ( ada beberapa sebab seperti kerana banjir dan pemusnahan hutan yang menambahburukkan lagi bencana banjir dan juga serangan dan pembinasaan oleh orang-orang Arya) muncul pula tamadun Vedik orang Aryan (1500 SM hingga 450 SM). Bangsa Aryan yang datang dari Lembah Ganges dan tersebar ke selatan dan barat India itu telah memperluaskan lagi pengetahuan tentang agama dan sains. Semua pengetahuan ini terkumpul dalam sutra-sutra yang ditulis dengan mudah, pendek dan menarik untuk dihafal oleh kanak-kanak berumur 8 hingga 12 tahun. Pendidikan ini menolong meluaskan pengetahuan tentang kesusasteraan, agama dan hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Hasil kesusasteraan yang paling terkemuka ialah Dharma Sutra yang menyentuh tentang adat istiadat, tingkah laku dan undang-undang semasa. Perkara ini menjadi asas kepada buku perundangan Manu moden. Apabila agama Buddha berkembang di India, kuil-kuil memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu agama Buddha khususnya semasa diperintah oleh Asoka. Perkemabangan pesat dalam bidang agama ini telah memunculkan sebuah universiti di Nalanda, India Selatan yang menjadi tumpuan pengkaji agama ini bukan sahaja di sekitar India malah dari luar India seperti dari Nusantara .

Tamadun China

Tamadun awal China yang telahpun mempunyai tulisannya yang tersendiri itu membolehkan orang-orang China pandai menulis dan membaca tetapi tehad di kalangan golongan bangsawan sahaja. Orang-orang China tamadun awal juga mempelajari dan percaya kepada ilmu nujum . TamadunChina sangat menghargai pendidikan, perniagaan dan kesusasteraan dan membenci peperangan. Ibu bapa China lebih gemar anak-anak mereka mengikuti kurikulum yang bercorak akademik dan apabila lulus terus memasuki peperiksaan awam untuk bekerja sebagai pegawai kerajaan. Peperiksaan ini dijalankan di bawah kawalan yang amat ketat dan jika berlaku penipuan, hukumannya ialah hukuman mati. Perkembangan pendidikan di negara China membawa kepada kemunculan ahli-ahli falsahanya dan sebab itulah sering dikaitkan dengan ajaran dan pemikiran-pemikiran ahli-ahli falsafah mereka seperti Confucius, Lao-tze, Chuang-tzu dan pendeta-pendeta agama Buddha. Dengan penyebaran agama Buddha di negara China, terdapat segolongan yang berminat terhadap pengkajian ilmu agama Buddha ini. Pengkajian dilakukan di kuil-kuil dan kemudian cuba mendalaminya dengan menjelajah hingga ke India seperti Hsuan-tsang. Pada zaman Dinasti Han, perkembangan ilmu menjadi bertambah pesat. Di sinil muncul sarjana yang mengkaji buku-buku lama dan cuba menghidupkan kembali kesusasteraan purba terutamanya oleh penyelidik-penyelidik sejarah sarjana Han. Ahli-ahli sejarah juga membuat kajian tentang zaman lampau melalui catatan-catatan yang tersimpan di istana. Dinasti Han juga turut menghasilkan 3 buah kamus. Kelemahan Dinasti Han dan serangan orang-oang tartar menyebabkan kemerosotan pendidikan di negara China.

Tamadun Arab

Masyarakat Arab terdiri daripada orang Badawi ( pedalaman) dan Hadhari (kota). Bagi masyarakat Badawi, tujuan pendidikan ialah untuk melatih dan menyediakan diri untuk kehidupan sehari-hari. Kanak-kanak dilatih membuat pekerjaan orang tuanya seperti membuat tempat kediaman, melawan musuh dan binatang buas.Pendidikan rumah tangga amatlah dipentingkan. Mereka mempelajari cara-cara mencari makanan, membuat pakaian, bertukang dan kesenian. Mereka juga diberi didikan akhlak dan belajar tentang syair, mengenal keturunan, ilmu mengecam bumi, perubatan dan mengenal arah mata angin. Oleh kerana masyarakat Badawi itu buta huruf, ilmu-ilmu itu dipelajari melalui pengalaman dan percubaan sendiri serta meniru dari orang yang berhampiran dengan mereka. Kaum wanita Badawi juga diberi peluang belajar bersyair, berpidato, kesenian, rumah tangga dan lain-lain lagi.

Di kalangan masyarakat Hadhari, puak Amaliqah di negeri Iraq lebih terkenal dengan pendidikannya. Tujuan pendidikan dalam masyarakat itu ialah untuk melatih kanak-kanak dalam berbagai jenis pekerjaan dan pelajaran pertukangan tangan sebagai punca mata pencarian pada masa akan datang. Terdapat dua peringkat pendidikan di kalangan masyarakat ini iaitu pendidikan permulaan dan pendidikan tinggi. Pendidikan permulaan dijalankan di semua tempat dalam kota di Iraq.Kanak-kanak diajar membentuk tulisan dengan cara meniru apa yang ditulis oleh guru mereka. Bentuk tulisan ialah gambar-gambar benda dan lambang-lambang tertentu. Sekolah tinggi pula biasanya didirikan di rumah-rumah berhala. Pada peringkat sekolah tinggi, penuntutnya diajar pelajara mekanik, matematik, Ilmu Falak Ketuhanan, Ilmu Kejadian, Kediktiran, Seni bangunan, Ukiran, lukisan, Kesusasteraan dan Sejarah. Di tempat-tempat lain di tanah Arab seperti di Hijaz, tradisi penyebaran ilmu pengetahuan hampir tiada. Majoriti masyarakatnya buta huruf. Dianggarkan hanya 17 orang sahaja yang boleh membaca dan menulis..Mereka hanya mementingkan ilmu tentang kehidupan sehari-harian seperti ilmu mengesan air, berperang, menilik nasib dan seumpamanya.

Tamadun Melayu

Sebelum kedatangan Islam, Alam Melayu menampakkan kejahilan dari segi pendidikan. Ilmu tidak dipentingkan. Pengaruh Hindu dan Buddha meresap ke dalam kehidupan sehari-hari masyarakat di samping pengamalan kepercayaan animisme. Pelajaran tidak formal diajar di rumah tentang kehidupan sehari-hari. Pendidikan di sini lebih kepada pendidikan tidak formal ke arah penguasaan cara hidup atau mendapatkan kemahiran menerusi pengamatan dan latihan. Kanak-kanak mempelajari kemahiran daripada ibu bapa menerusi pemerhatian dan latihan dalam bidang pertanian, perikanan, pertukangan dan kraftangan. Kanak-kanak juga diajar perkara-perkara yang berkaitan dengan agama dan kepercayaan, kelakuan, adat resam, sopan santun dan cara berkawan. Nilai-nilai budaya murni diajar kepada kanak-kanak melalui cerita-cerita lisan. Kanak-kanak mempelajari tentang pantang larang dan adat istiadat melalui pergaulan sosial. Kanak-kanak diajar supaya tidak bersikap sombong, tamak atau berbohong. Pendidikan informal juga diberi melalui pantun, peribahasa dan teka teki..Ada juga yang mendalami agama Buddha di kuil. Srivijaya pernah muncul sebagai pusat agama Buddha di rantau ini dan menjadi tapak untuk melangkah ke pusat pengajian tinggi di India. Pendidikan secara formal mula diperkenalkan apabila Islam berkembang di rantau ini dan ditegaskan lagi semasa Barat menguasai tempat ini.

Tamadun Barat

Kejatuhan Empayar Rom pada kurun ke-5 telah membawa Eropah kepada Zaman Gelap atau dikenali sebagai Zaman Pertengahan. Zaman ini berlangsung selama 1000 tahun. Pada awal Zaman Gelap ini berlaku perpecahan politik, kemerosotan ekonomi dan kongkongan agama Kristian ke atas masyarakat. Agama Krisitian semakin berpengaruh dalam masyarakat Eropah. Pihak gereja telah membekalkan ilmu pengetahuan terutama tentang kerohanian dan persediaan untuk akhirat. Rakyat tidak digalakkan mementingkan keduniaan.

Menjelang kurun ke-11 dan 12 beberapa perubahan besar telah berlaku ke atas masyarakat Eropah pada Zaman Gelap itu termasuklah dalam bidang pendidikan. Pertembungan dengan orang Islam di Sepanyol banyak mempengaruhi pendidikan di Eropah. Pada kurun ke-11 telah wujud universiti di Cordova, Sepanyol. Dalam kurun ke-12 kebanyakan orang Sepanyol boleh membaca dan menulis, berbeza dengan England atau Perancis pada masa yang sama. Pada abad ke-13 pelajar-pelajar dari seluruh pelusok Eropah yang ingin menuntut ilmu telah pergi ke gereja besar lama dan sekolah biasa. Para guru telah menubuhka persatuan untuk mengendalikan pelajar mereka yang ramai itu, sementara di kalangan pelajar juga telah menubuhkan persatuan untuk meminjam guru-guru bagi membantu mereka. Persatuan ini dikenali sebagai universiti. Dalam erti kata lain, konsep universiti di Barat pada peringkat awal lahir sebagai kesatuan ahli-ahli akademik, guru dan murid. Di Perancis, Universiti Paris (sekolah gereja) adalah sebuah sekolah yang dipandang tinggi.Sekolah ini telah menetapkan peraturan untuk mengawal kelakuan pelajarnya dan maktab yang berasingan disediakan sebagai tempat tinggal. Dengan mencontohi Universiti Paris, Universiti Oxford di England telah ditubuhkan yang kemudian telah menubuhkan cawangannya, Universiti Cambridge. Di universiti ini dan universiti-universiti lain, gereja mengekalkan kuasa mengawalnya. Semua tenaga pengajar di universiti-universiti itu adalah ahli gereja kerana pada Zaman Pertengahan pendidikan terhad kepada golongan gereja. Mereka ini sering dikenali sebagai ‘schoolmen’. Di semua universiti di Eropah, mata pelajaran utama adalah sama. Tiga subjek utama yang diajar ialah tata bahasa (cara membuat ayat), logik (cara untuk berfikir) dan retorik (cara untuk berucap). Ini dinamakan ‘trivium’ atau ‘threefold course’. Di samping 3 mata pelajaran asas itu terdapat juga ‘fourfold course’ (quardrivium), mata pelajaran yang berkaitan dengan nombor seperti aritmetik, geometri, astronomi dan muzik. . Kemudian barulah diajar tentang perundangan dan perubatan. Fakta yang diperolehi amat terhad yang diambil dari pendapat penulis agung zaman lampau seperti Aristitledan juga dari kitab Injil. Universiti Bologna di Itali berbeza dari universiti-universiti tadi. Universiti ini diasaskan oleh penuntut sendiri dan bebas dari gereja. Sumber semua ilmu dicedok dari zaman lampau. Penekanan kepada pelajaran undang-undang, bukan teologi.

Menjelang tahun 1500 M, Zaman Moden Awal Eropah bermula dengan berakhirnya Zaman Gelap. Benua Eropah mula menempuh perubahan dan kemajuan dalam pelbagai ilmu pengetahuan. Kebudayaan Eropah menempuh satu tahap perkembangan dan peningkatan hasil daripada perhubungan dengan masyarakat Islam di Timur Tengah. Pencapaian intelektual orang Arab dalam pelbagai bidang seperti perubatan, algebra,astronomi dan geografi telah mempengaruhi masyarakat Eropah.

Dalam abad ke-16 sekolah-sekolah telah diatur dan didisiplinkan mengikut cara tradisi.Sekolah-sekolah banyak mengajar bahasa klasik yang begitu popular di kalangan pelajar. Sekolah Grammer (satu-satunya sekolah kepunyaan Inggeris) wujud di kebanyakan bandar. Selepas penindasan biara, setengah-setengah gereja dan sekolah agama tua diterima semula oleh Raja Edward IV. Pedagang-pedagang, orang profesional, anggota keluarga bangsawan dan gereja menghantar anak lelaki mereka belajar di sekolah-sekolah ini. Di negeri-negeri Katholik, biara-biara mengambil tempat mendidik kanak-kanak; golongan Jesiut menganggap ini sebagai usaha penyebaran yang penting. Mereka juga menubuhkan sekolah-sekolah yang tinggi standardnya.

Dalam abad ke-17 satu perubahan berlaku. Orang kaya dan berdarjat menghantar anak-anak mereka kepada tutor persendirian. Kompromi antara tutor persendirian dan guru sekolah grammer akhirnya telah melahirkan sebuah sekolah istimewa yang dipanggil ‘sekolah publik’ iaitu sekolah untuk kanak-kanak kelas pemerintah. Orang miskin tinggal mengikut cara mereka sendiri. Di setengah-setengah bandar, anak lelaki buruh yang bijak mendapat pendidikan di sekolah murah melalui derma tetapi cara ini bukanlah mudah. Umumnya pedagang-pedagang mahukan anak lelaki mereka menerima biasiswa yang diberikan oleh dermawan-dermawan.

 


Nurlie 98’