Make your own free website on Tripod.com

Tema 2 : Pemerintahan dan Pentadbiran

Tajuk 2.1 : Pembentukan Negara Kota

Kawasan Kajian : Yunani, Rom, Arab dan Melayu

Kandungan kajian : Ciri-ciri Negara Kota Dan Proses dan perkembangannya.

Maksud Negara Kota ialah bandar yang juga merupakan negeri yang berdaulat dan merdeka. Selain daripada Yunani, Rom, Arab dan Kepulauan Melayu ( kawasan kajian kita), Negara Kota juga terdapat di negara-negara lain seperti di Memphis (Mesir), Ur, Urech, Kish, Babyon (Mesopotamia), Mohenjo Daro dan Harappa (India) dan Anyang ( China).

Tamadun Yunani

Dalam tamadun Yunani, Negara Kotanya dikenali sebagai Polis (dari bahasa Greek) yang merupakan sebuah pusat berkubu dan menjadi ibu kota bagi Yunani. Ia merupakan sebuah pusat yang sangat dihormati. Ia menjadi pusat komuniti Acropolis pula merupakan kota berkubu di bahagian tengah. Sebenarnya yang dimaksudkan bahagian tengah itu ialah bahagian hulu sesebuah bandar dan yang termasyhur sekali ialah bandar Athens.Sebelum sesebuah negara kota itu muncul, asalnya bermula daripada kampung-kampung yang bersebaran. Lama kelamaan penduduk setiap lembah atau dataran bergabung menjadi satu komuniti politik dan bersam-sama menyembah dewa-dewa, berjual beli, menjaga pertahanan dan menjalankan pemerintahan. Pusat komuniti itu biasanya terletak di satu kawasan berbatu yang tinggi di tengah-tengah dataran dan dari situ dapat dilihat seluruh kawasan sekitar. Kebanyakan lembah-lembah Greek berbentuk piring terbalik. Pusat komuniti inilah kota berkubu dan ibu kota (polis). Luas tiap-tiap kota ialah antara 80 hingga 800 km persegi dengan purata penduduk seramai 5000 orang.

Negara-negara kota di Yunani ini kecil-kecil dan berbeza dari jirannya yang terdapat di sebalik banjaran gunung. Warganegara sesebuah negara kota tinggal begitu dekat dengan pusat pemerintahan dan sebab itulah mereka terlibat dalam pemerintahan. Dalam usaha/percubaan memerintah sendiri, mereka telah memecat raja-raja dan pembesar-pembesarnya satu demi satu. Orang Greek amat menyayangi negara kota mereka. Dalam peperangan yang sering berlaku antara negara-negara kota, warganegaranya rela mati berjuang bagi mempertahankan kota mereka itu. Malah sepanjang hidup mereka dari mula lahir hingga ke akhir hayat, jiwa raga mereka tercurah kepada negara kota mereka. Antara negara kota yang terdapat dalam tamadun Yunani ini ialah Athens, Sparta,Thebes, Corinth, Olympia dan Argos. Athens merupakan salah sebuah negara kota dalam tamadun Yunani yang paling terkenal. Sehingga pertengahan abad ke-8 SM, Athens seperti negara kota lain di Yunani menjalankan pemerintahan secara monarki (beraja). Kira-kira pada tahun 750SM raja Athens telah digulingkan kerana rakyat inginkan suara yang lebih dalam pentadbiran dan juga kerana penindasan yang telah dilakukan oleh raja. Pemerintahan telah diambilalih oleh sekumpulan bangsawan yang digelar eupatrid. Mereka telah melakukan aktiviti perlanunan dan merampas tanah untuk menambahkan kekayaan mereka. Golongan ini telah mengambilalih kuasa politik dengan menguasai Majlis dan tentera. Mereka memerintah Athens menerusi Majlis Bangsawan (Council of Nobles). Zaman ini dikenali sebagai Zaman Kebangsawanan/Aristokrasi. Pegawai awam utama ialah Ketua Majistret yang dipilih setiap tahun dari golongan bangsawan. Petani tertindas dalam pemerintahan ini dan menjadi hamba abdi bila hutang tidak terbayar. Pada tahun 594SM golongan bangsawan telah memilih Solon sebagai ketua majistret dan memberikannya kuasa mutlak untuk membuat perubahan. Perlantikan itu dibuat kerana rasa bimbang jika seseorang ketua yang berkebolehan tidak dilantik, mereka mungkin akan digulingkan oleh seseorang yang zalim. Solon telah menubuhkan Majlis Empat Ratus (Council of Four Hundred) yang terdiri daripada golongan bangsawan dan pemilik harta yang kaya.Majlis ini kemudian bertukar menjadi Majlis Lima Ratus. Beliau telah menubuhkan semula Perhimpunan Agung ( berfungsi sebagai badan perundangan). Solon juga menubuhkan sebuah Mahkamah Agung yang mempunyai kuasa untuk menimbangkan rayuan terhadap keputusan majistret. Tahap kegemilangan sistem demokrasi di Athens dicapai di bawah pimpinan Pericles (495-429SM). Pericles telah menubuhkan sebuah Lembaga yang bertindak sebagai badan eksekutif tertinggi. Ahlinya terdiri daripada 10 orang jeneral yang dilantik oleh Perhimpunan Agung untuk satu tahun. Pericles juga membuat perubahan terhadap kuasa membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman iaitu tidak lagi oleh majistret tetapi oleh sekumpulan juri. Sparta adalah negara kota yang terkuat di Yunani. Kerajaan ini berbentuk militeri. Rakyatnya terdiri daripada kaum Dorian yang berhijrah dari utara. Tenteranya terdiri daripada tentera darat dan laut. Kanak-kanak Sparta akan menjalani latihan ketenteraan bila berusia 7 tahun dan memasuki tentera bila berumur 20 tahun dan terpaksa tinggal di berek tentera sehingga berumur 30 tahun. Melalui sistem ini, kanak-kanak yang lemah dibunuh sebaik sahaja dilahirkan. Kerajaan Sparta diketuai oleh 2 raja ( dari keluarga Agiadac dan Eurypontidac) dan 5 orang Ephor. Ephor dilantik oleh Majlis Perhimpunan. Rakyat dari kelas homoioi yang berketurunan Dorian merupakan golongan pemimpin di Sparta

Tamadun Rom

Rom telah didatangi orang-orang Etruscan yang agresif ( di utara Itali). Di sebelah pinggir laut yang subur tinggal penduduk yang agak primitif. Pada abad ke-8 datang pula orang Greek yang lebih mencintai kedamaian ( mengusahakan tanah). Di sebelah selatan kawasan orang Etruscan iaitu di dataran Sungai Tiber tinggal orang Latin ( satu dari puak Itali). Mereka membentuk komuniti yang berasingan. Walau bagaimanapun, mereka telah bersatu ketika mempertahankan diri dari serangan orang Etruscan. Penyatuan inilah yang menjadi asas pembentukan bandar Rom kira-kira padatahun 753SM. Bertahun-tahun lepas itu Rom berkembang menjadi ibu kota dunia Barat. Rom terletak di tengah-tengah jalan selatan ke utara dan ditebing Sungai Tiber.Kuala sungai itu menjadi pelabuhan yang terbaik di pantai barat. Dengan itu, ia menjadi kunci masuk ke Itali. Rom adalah gabungan kampung-kampung yang terletak di atas bukit-bukit kecil . Dari atas bukit-bukit itu mereka boleh nampak angkatan Etruscan yang bengis, lengkap dengan senjata yang pada bila-bila masa sahaja akan menyerang mereka. Penduduk Rom ini pada hakikatnya adalah bersifat tentera dan semua institusi mereka mencerminkan kelakuan mereka yang suka berperang, sementara bakat mereka ditunjukkan dengan sepenuhnya dalam usaha-usaha ketenteraan.

Pada mulanya Rom diperintah oleh seorang raja yang juga menjadi padri besar, jeneral dan penggubal undang-undang. Baginda menentukan peraturan-peraturan dalam perhubungan mereka dengan dewa-dewa, orang asing dan antara satu sama lain. Penduduk di bawah pemerintahannya tidak dianggap setarafdengan baginda. Antara penduduknya terdapat golongan bangsawan (Patrician) dan yang lain-lain dipanggil Plebeian.. Golongan Plebeian ini bekerja untuk mereka dan berharap akan mendapat perlindungan daripada mereka. Golongan Patrician inilah yang menjadi ahli Senat ( badan penasihat yang mengandungi orang lelaki yang tua dan berpengalaman). Senate ini berhak ke atas pelantikan raja baru. Apa yang jelas tentang Rom ini ialah Rom hampir sepanjang masanya berperang dan rajanya membuktikan diri mereka sebagai pemimpin yang sesuai. Orang Rom telah menunjukkan bahawa mereka merupakan pahlawan-pahlawan yang hebat walaupuntidak pernah mampu menentang orang Etruscan.Pada awal abad ke-6 Rom jatuh ke tangan raja-raja bangsa Etruscan yang terkenal dengan pemerintahan yang zalim itu. Orang-orang Rom menggelar mereka sebagai Tarquin Sombong. Walau bagaimanapun mereka telah berjasa dalam membuat tembok melingkungi semua komuniti dan dianggap sebagai pengasas bandar itu. Mereka mengadakan sistem saliran dan mencantikkan bandar itu dengan membina rumah-rumah berhala. Mereka menyusun semula angkatan tentera, membesarkannya dan membahagikan warganegara mengikut kekayaan mereka. Mereka hanya sempat memerintah Rom tidak sampai 100 tahun kerana orang-orang Rom telah bangkit menentang dan menghalau mereka.Tragedi ini dianggap sebagai satu revolusi Pengusiran Raja-Raja. Pemerintahan Etruscan yang zalim itu telah menghantui perasaan orang-orang Rom untuk tidak menerima pemerintahan beraja. Selepas itu orang Rom telah menubuhkan pemerintahan berbentuk republik.

Tamadun Arab

Di Semenanjung Tanah Arab, negara kotanya didirikan oleh penduduk bandar atau dikenali sebagai Hadhari. Negara kotanya terdapat dalam kerajaan-kerajaan Selatan, Tengah dan Utara. Di kawasan selatan terdapat kerajaan Yaman, di kawasan tengah ialah kerajaan Hijaz/Makkah manakala di sebelah utara terdapat kerajaan-kerajaan Anbat/Nabatean, Tadmor/Palmyra, Hirah dan Ghassan. Berbeza dari negeri-negeri bahagian utara dan tengah, Yaman menyaksikan suatu tingkat kemajuan yang terawal sekali dalam sejarah tamadun Arab purba. Hal ini berkait rapat dengan kedudukan alamnya yang sesuai sebagai tempat pertemuan bagi para pedagang. Di sini air hujan sentiasa turun di samping kesuburan tanahnya sendiri. Saba’ (955SM - 115SM) adalah kerajaan yang paling terkenal di Yaman. Kerajaan ini mengamalkan sistem pemerintahan beraja demokrasi. Kemasyhuran kerajaan Saba’ adalah kerana ratunya yang bernama Balqis dan rakyatnya yang (walaupun kuat dan berani namun) mementingkan perdamaian. Kerajaan ini runtuh kerana kecuaian rakyatnya sendiri terutama pemimpinnya, sehingga akhirnya berlakulah banjir yang besar yang menghancurkan Empangan Maarib (nadi pertaniannya). Rakyatnya telah menyelamatkan diri ke bahagian tengah dan utara tanah Arab. Kerajaan ini diganti oleh kerajaan Himyar yang dapat mengembalikan kegemilangannya. Kerajaan ini lebih menekankan perluasan jajahan takluk. Kerajaan ini kemudian jatuh ke tangan Rom dan Parsi yang sekian lama memerhati kemakmuran Yaman. Kedua-kedua kuasa besar itu sentiasa bersaing bagi meluaskan pengaruh dan menyebar agama masing-masing. Keruntuhan kerajaan Yaman telah memuncukan sebuah kerajaan di kawasan tengah iaitu Hijaz atau Makkah. Kedudukan geografinya di tengah-tengah tanah Arab menjadi kawasan pertemuan di kalangan saudagar-saudagar dari utara dan selatan. Apatah lagi setelah kaabah dibina, bandar Makkah telah menjadi pusat pertemuan berbilang bangsa dari seluruh pelusok dunia bagi mengerjakan ibadah. Suatu yang amat unik bagi kota Makkah ini ialah ia tidak pernah dijajah oleh mana-mana kuasa penjajah walaupun ada yang pernah mencuba. Sistem pentadbirannya dijalankan oleh kabilah. Yang terkenal ialah kabilah Quraisy di bawah Qusai bin Kilab. Qusai telah mengatur sistem pentadbiran yang sistematik dan berjaya menyatukankabilah-kabilah Arab. Di sebelah utara Arab, muncullah beberapa buah kerajaan seperti kerajaan Anbat/Nabatean, Tadmor/Palmyra, Hirah dan Ghassan. Kerajaan-kerajaan utara ini merupakan kerajaan penampan bagi kuasa Rom dan Parsi.

Tamadun Melayu

Di kawasan Alam Melayu telah memunculkan beberapa buah negara kota seperti Langkasuka, Chieh-Cha ( Kedah), Kalah ( dipercayai terletak di utara Kedah) dan lain-lain lagi. Langkasuka terletak di Patani, Thailand. Langkasuka dikatakan muncul sebagai negeri bebas pada awal abad ke-2M ( tahun 100 M). Langkasuka menjalankan perdagangan dengan kerajaan-kerajaan di Asia Barat, India, China dan kerajaan-kerajaan di Gugusan Kepulauan Melayu. Kerajaan ini dipengaruhi oleh pengaruh Hindu Bagaimanapun, pada abad berikutnya,ia dilanggar oleh Funan. Sejak itu Langkasuka tidak putus-putus dijajah oleh kuasa luar dan maju mundurnya ditentukan oleh faktor ini. Meskipun kedudukannya yang terletak di jalan perdagangan antarabangsa antara India dan China dan juga kekayaan hail buminya itu merupakan faktor dalaman yang membawa kemajuannya, namun faktor luarlah sebenarnya yang lebih dominan dalam menentukan semuanya itu. Bagaimanapun pada abad ke-5M, Langkasuka dapat memulihkan kemerdekaannya dan apabila Funan mengalami kemunduran pada abad ke-6M, Langkasuka mencapai zaman keagungannya. Pada ketika inilah dikatakan wilayah taklukannya meliputi Songkla, Kelantan dan Terengganu. Namun dengan kebangkitan Srivijaya pada abad ke-7M, Langkasuka tertakluk di bawahnya pula. Kemudian menjadi jajahan Majapahit dan apabila Melaka ditawan Portugis (1511) kerajaan Langkasuka turut lenyap dalam sejarah kerana diserang oleh Raja Chola, Rajendra 1 dari India Selatan.. Kerajaan Kedah ( Kedah Tua) wujud dari kurun ke-5M hingga kurun ke-14M di Lembah Bujang. Kerajaan ini muncul sebagai sebuah pusat perdagangan dan pelabuhan entrepot yang penting pada kurun ke-5M. Pelabuhannya disinggahi kapal dagang dari India, China dan Asia Barat. Pusat pentadbirannya terletak di Kampung Sungai Emas (kurun ke-5 hingga 10M) dan Pangkalan Bujang (kurun ke-10 hingga 14M). Penduduknya dipengaruhi agama Hindu dan Buddha. Menjelang tahun 695M kerajaan ini menjadi tanah jajahan kerajaan Srivijaya. Kerajaan ini mula merosot pada abad ke-11 kerana diserang oleh Raja Chola, Rajendra 1 pada tahun 1025M.

 

Tamadun Mekah : Negara Kota Arab (Kerajaan Arab Tengah/Hijaz)

Mekah terletak di satu lembah yang tandus, dikelilingi oleh banjaran gunung dan bukit-bukit batu. Ia merupakan ibu kota bagi daerah Hijaz (Arab Tengah). Kedudukannya ialah di tengah-tengah persimpangan jalan antara kota-kota di Syam dan Hirah (di utara Arab), Yaman (di selatan Arab) dankota-kota di pinggir pantai Laut Merah. Kedudukannya di tengah-tengah jalan perdagangan antara Utara dan Selatan itu menjadikannya sebagai tempat persinggahan bagi saudargar-saudagar dari utara ke selatan dan dari selatan ke utara. Dengan itu Mekah menjadi pusat perdagangan yang penting. Pasar banyak didirikan dan yang terkenal ialah Pasar Zul Majaz, al-Majinnah dan Ukaz. Sejarahnya bermula apabila Nabi Ibrahim membawa isterinya (Siti Hajar) dan anaknya (Ismail) ke Mekah. Mekah ketika itu tidak ramai didiami orang. Puak yang mula-mula tinggal di situ ialah puak Amaliqah, kemudian datang pula puak Jurhum dan menjadi penguasa Mekah. Apabila air zamzam dijumpai oleh Nabi Ismail, Mekah mula didatangi orang. Apabila Nabi Ibrahim bersama anaknya Ismail mendirikan kaabah, Mekah telah menjadi pusat ibadat dan mengerjakan Haji. Mekah bertambah maju di bawah suku Jurhum. Kemudian kekuasaan .Mekah berpindah kepada suku Khuzaah dari Yaman. Perubahan berlaku, ajaran Nabi Ibrahim telah dicampuradukkan dengan penyembahan berhala (tahun 207SM). Tahun 440M kabilah Quraisy di bawah pimpinan Qusai bin Kilab bin Murrah dari Bani Quda’ah (moyang Nabi Muhammad) mengambilalih kekuasaan Mekah dari puak Khuzaah. Di bawah pentadbiran Qusai, Mekah menjadi maju dan terkenal dan menjadi tumpuan seluruh tanah arab.

Negara kota Mekah berfungsi sebagai pusat perdagangan, pusat ibadat, pusat kebudayaan, dan pusat pentadbiran. Sebagai pusat perdagangan, kota ini sentiasa sibuk terutama pada musim haji bila seluruh penduduk tanah Arab berkumpul di sana. Sebagai pusat ibadat, Mekah dikunjungi kerana mengerjakan ibadat, mengerjakan haji dan dan menjadi pusat penyembahan berhala. Sebagai tempat pertemuan berbagai kaum, ia turut memainkan peranan sebagai pusat kebudayaan. Setiap tahun Mekah menganjurkan pesta/pertandingan seni pidato, syari, falsafah, kata-kata hikmat, bercerita). Karya yang menang dutuliskan dengan warna emas dan digantung dikaabah untuk tatapan umum. Pentadbiran yang baik juga menjadi tarikan orang mengunjungi Mekah. Berbagai jabatan diwujudkan bagi melicinkan pentadbiran terutama pada musim haji. Apatah lagi Mekah telah diiktirafsebagai ‘kota aman’ kerana terdapat beberapa bulan yang dipanggil ‘bulan haram’ (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan rejab – diharamkan berperang, membunuh dan sebagainya). Mekah juga mempunyai pasukan tentera yang cukup baik, terdiri daripada askar dan hamba-hamba Negro. Sejarah telah membuktikan bahawa Mekah merupakan kawasan yang bebas dari sebarang penjajahan ( berbanding dengan jiran-jirannya iaitu Arab Selatan dan Arab Utarayang dijajah oleh Rom dan Parsi). Pernah ada cubaan dari kuasa asing untuk menjajah Mekah (seperti cubaan yang dibuat oleh Abrahah , di bawah kuasa Rom) tapi Allah telah melindungi kota ini kerana kota ini telah ditakdirkan menjadi kota Ibadat orang-orang Islam dan terbukti sampai ke hari ini!

 


Tajuk 2.2: Pembentukan Empayar

Kawasan Kajian : Mesopotamia, Yunani, Rom, India, China dan Melayu

Kandungan kajian: i. Ciri-ciri empayar ( bagaimana muncul, motif, lokasi, pemimpin yg Masyhur, keruntuhan)

ii..Proses dan perkembangannya.

Apakah maksud empayar?

Empayar dapat ditakrifkan sebagai sebuah kerajaan( pemerintah) yang tertinggi dan berdaulat yang menguasai daerah yang luas atau beberapa buah daerah dengan diketuai oleh seorang maharaja.

Tamadun Mesopotamia

Pertumbuhan dan perkembangan tamadun telah membawa kepada konflik untuk merebut kuasa dan kekayaan di kawasan Mesopotamia. Konflik tercetus di antara Ur dan Urech untuk menguasai hilir Sungai Euphrates. Konflik yang kerap berlaku menyebabkan pertukaran pemerintah dan telah memjadi kebiasaan, golongan yang kuat akan mengambil alih pemerintah yang tewas. Pada kira-kira tahun 2750SM, seorang ketua puak Semitik yang bernama Sargon yang menjadi pemerintah daerah Akkad ( Akkad terletak di utara dataran Shinar) telah cuba memperluaskan empayarnya dengan menyerang orang-orang Sumeria di kawasan Mesopotamia. Beliau telah berjaya mengalahkan orang-orang Sumeria melalui beberapa peperangan dan menjadi raja di kawasan orang Sumeria itu. Pada mulanya orang Sumeria enggan menerima Sargon sebagai pemerintah baru mereka tapi demi keselamatan perdagangan, akhirnya orang Sumeria sanggup menerimanya. Dapatlah dikatakan di sini bahawa Empayar Mesopotamia yang pertama telah didirikan oleh seorang Arab berbangsa Semite dari Akkad yang bernama Sargon Agung. Sargon menyerang Mesopotamia kerana tertarik dengan kekayaan Sumer. Sargon terus meluaskan kuasanya yang akhirnya beliau menjadi pemerintah sebuah empayar yang terbentang luas dari Elam( di sebelah timur) hingga ke Laut Mediterranean dan ke utara hingga meliputi Sungai Tigris dan Euphrates. Kedua-dua puak iaitu Sumeria dan Semitik hidup bersama di bawah pemerintah Sargon. Lama kelamaan orang Semetik lebih berpengaruh dari orang Sumeria dalam bidang politik kerana orang Semetik cepat mempelajari cara pemerintahan orang Sumeria.

Pada kira-kira tahun 2200SM sekumpulan orang nomad iaitu Amorites telah membuat petempatan di sekitar kampung Babylon. Kaum Amorites ( dari suku Semite) dan puak-puak bukit dari kawasan pergunungan Zagros telah menyerang Mesopotamia. Babylon telah ditawan. Ketika itu air bawah tanah di Sumer menjadi masin yang menyababkan tanaman dan penduduk menjadi berkurangan. Kaum Semite mengambil kesempatan bagi mengukuhkan kedudukan mereka di Mesopotamia. Di bawah pemerintah yang bernama Hammurabi, Babylon telah muncul sebagai sebuah negara kota yang sangat cantik. Hammurabi terkenal dengan kanun undang-undangnya (yang menekankan perikemanusiaan dan hak indiividu). Hammurabi merupakan seorang pemerintah yang agung. Semasa pemerintahannya, negara menjadi lebih aman (kurang peperangan). Oleh kerana Hammurabi berasal dari keturunan nomad, beliau sangat mengambil berat terhadap penternakan kambing biri-biri dan penanaman jagung. Unta dan lembu digunakan oleh rakyatnya sebagai alat pengangukutan darat bagi membawa barang-barang dagangan.Kapal digunakan sebagai alat pengangkutan laut. Beliau membina sebuah terusan yang luas, menyusun semula sistem pengairan dan membaikinya Berbagai jenis sayuran ditanam pada zamannya. Selepas Hammurabi meninggal dunia, Mesopotamia telah diserang oleh Kerajaan Assyria. Di bawah raja Chaldea iaitu Nebuchadnezzar, negara kota Babylon telah dibina semula hingga menjadi negara kota yang amat kuat. Selepas kematian Nebuchadnezzar, Babylon telah jatuh ke tangan orang Parsi dan kemudian Parsi menjadi kuasa yang kuat di Timur Tengah.. Akibat dari penjajahan yang silih berganti oleh berbagai puak itu, Mesopotamia dimasuki berbagai kebudayaan yang menjadikannya bertambah agung. Perkembangan yang berlaku dalam empayar Mesopotamia itu menampakkan bahawa Mesopotamia sering diserang oleh kumpulan-lumpulan dan puak-puak baru. Apabila tamadun Mesopotamia terbentuk, Mesopotamia telah diserang. Tamadun itu runtuh.. Puak yang menyerang dan berjaya menawan Mesopotamia itu telah membina semula tamadun Mesopotamia yang baru. Bila tamadun itu terbina semula, ia diserang lagi. Begitulah proses perkembangan empayar Mesopotamia.

Walau bagaimanapun, empayar-empayar kemudian yang terkenal ialah:

Tamadun Yunani

Raja Greek mula menghantar rakyatnya ke negara lain di seberang laut sebagai peneroka kerana bilangan penduduknya yang kian bertambah sedangkan Greek kekurangan tanah yang subur dan kebimbangan pemerintahnya terhadap penentangan rakyat terhadap golongan pemerintah (golongan minoriti yang terdiri daripada orang kaya). Pembukaan tanah-tanah jajahan Greek itu adalah bermatlamatkan perdagangan. Walau bagaimanapun Greek tidak pernah menubuhkan satu kuasa yang agung, yang kuat dan berpadu di Mediterranean kerana negara-negara kotanya di tanah besar Greek sendiri sentiasa bersaing antara satu sama lain.. Tetapi menerusi beratus-ratus buah tanah jajahan itu Greek telah meresapkan pengaruhnya di kalangan bangsa-bangsa lain dan dipusaki turun temurun. Dalam pada kota-kota di Greek asyik bercakaran, satu kuasa besar telah muncul di kawasan pergunungan utara Semenanjung Balkan iaitu kerajaan purba Makedonia. Pada tahun 359SM, Philip II telah mengisytiharkan dirinya sebagai raja Makedonia. Beliau bercita-cita untuk menguasai seluruh Greek yang berpecah belah itu. Pada tahun 338 SM berlakulah peperangan Chaeronea dengan kemenangan tentera Makedonia mengalahkan tentera Athens dan Thebes. Zaman negara kotapun berakhir. Seorang raja Makedonia berkuasa di Greek. Semua kota kecuali Sparta menghantar wakil menemui Philip. Philip membentangkan rancangannya untuk menyatukan Greek bagi menentang Parsi. Rancangannya tidak sempat dilaksanakan kerana telah terbunuh semasa kesibukan menyambut perkahwinan anak perempuannya.

Philip II digantikan oleh anaknya Iskandar Zurkarnain / Iskandar Agung ( 356 SM – 323 SM) . Usianya ketika itu ialah 20 tahun.. Athens dan beberapa buah negara kota lain bangun memberontak menentang Iskandar tapi telah dikalahkan oleh Iskandar. Iskandar telah berjaya menawan Asia Kecil (jajahanParsi), Parsi ( Parsi diserang tahun 334 SM yang ketika itu diperintah oleh Darius II dan pada tahun 331 SM Parsi ditawan), Mesir ( 332 SM), Lembah Tigris dan Euphratesdan juga Lembah Indus(326 SM). Beliau menggalakkan penaklukan Greek ke atas Asia secara besar-besaran untuk mempraktikkan rancangan utamanya iaitu menyatyukan Eropah dengan Asia berdasarkan kebudayaan Greek. Iskandar telah berusaha selama 13 tahun dengan mengembara sejauh 32,000 km dan telah berjaya mengasaskan sebanyak 70 buah kota. Tiada penakluk Eropah yang dapat menandingi Iskandar dalam kempennya merentasi gunung ganang tinggi dan gurun Asia Tengah. Iskandar telah meninggal dunia pada tahun 323 SM di Babylon dalam usia 33 tahun selepas mengidap demam.Cita-citanya untuk menubuhkan sebuah empayar dunia yang terbentang luas dari India ke Sepanyol yang berdasarkan kebudayaan Greek lenyap dengan kematiannya. Pengganti-pengganti beliau gagal menyatukan kawasan-kawasan yang ditakluki walaupun telah berusaha sedaya upaya melalui peperangan yang bertahun-tahun lamanya. Dunia Graeco-Makedonia telah berpecah kepada 3 bahagian. Selepas kematian Iskandar, negara-negara kota Greek berperang cuba membebaskan Greek dari pemerintahan Makedonia tetapi gagal. Usaha-usaha penaklukan Iskandar telah membawa banyak kesan. Bandar Iskandariah (sempena namanya) di Mesir telah muncul sebagai pusat ilmu pengetahuan yang penting. Perdagangan telah berkembang. Begitu juga dengan penyelidikan saintifik. Beliau menggalakkan persaudaraan manusia. Satu lagi peninggalan beliau ialah mewujudkan era Hellenistik ( percampuran budaya Yunani dengan bukan Yunani).

Tamadun Rom

Rom mula meluaskan empayarnya apabila ia memerlukan lebih banyak tanah dan makanan akibat pertambahan penduduk. Pada peringkat permulaannya Rom berjaya menakluki negeri-negeri jirannya dan memperbesarkan empayarnya. Menjelang tahun 270 SM seluruh Semenanjung Itali kecuali Lembah Po telah ditakluki Rom dan akhirnya orang-orang Rom berjaya menyatukan seluruh Itali. Orang-orang Rom ingin menguasai kawasan-kawasan sekitar Itali untuk meluaskan perdagangan dan menambahkan kemewahan. Untuk itu, Rom terpaksa berhadapan dengan orang Greek (dari Itali Selatan, Sicily (tanah jajahan Greek) dan orang cvarthage (di seberang laut) yang lebih berpengalaman dalam peperangan dan bertamadun. Rom berjaya mengalahkan orang-orang Greek setelah menentangnya selama kira-kira 8 tahun. Beberapa buah bandar Greek ditawan. Dengan itu Rom berkuasa di seluruh kawasan Itali yang terletak di Selatan Sungai Po dan beberapa kawasan yang terletak jauh darinya. Saingan Rom yang paling hebat ialah dari orang Carthage (kerajaan Carthage terletak di Afrika Utara) yang juga mempunyai motif dalam perdagangan. Akibatnya, tercetuslah perang Punic di antara Rom dengan Carthage). Ada 3 Perang Punic:

Perang yang berlaku selama 23 tahun ini berpunca kerana hendak merebut Pulau Sicily.Rom ingin mengusir keluar orang Carthage dari Pulau Sicily. Rom mendapat sokongan kota-kota Greek. Kemenangan Rom dalam pertempuran di laut menyebabkan Rom terus mara mendarat di Afrika tetapi dapat ditewaskan oleh Carthage.Rom membina semula angkatan lautnya dan menyerang Carthage di Afrika. Kekalahan Carthage menyebabkan Carthage terpaksa keluar dari Sicily dan membayar ganti rugi .Rom seterusnya merampas Sardinia dan Corsica

Tentera Carthage di bawah Hannibal ( tentera Hannibal terdiri daripada penunggang kuda Barber, pengembara Greek, askar upahan dari Bahagian Timur Mediterranean dan pahlawan-pahlawan bengis dari puak Sepanyolk yang terlatih. Kesemuanya dianggarkan seramai 26,000 orang) telah menyerang Itali melalui Banjaran Alps dan telah berjaya menawan beberapa buah bandar. Pada tahun 202 SM pula tentera Itali telah bertempur dengan tentera Hannibal dan Carthage dikalahkan. Carthage mengaku kesetiaannya kepada Rom.

Tentera Rom menyerang Carthage dan memusnahkan bandar ini. Tawanan Carthage dijual sebagai hamba abdi.Akhirnya, kawasan Afrika Utara menjadi taklukan Rom.

Tentera Rom juga telah menyerang Yunani dan mengalahkan tentera Makedonia yang menguasai Yunani itu. Penaklukan Greek oleh Rom (tidak lama selepas kekalahan Hannibal) bolehlah dianggap sebagai pembebasan kota-kota Greek daripada raja-raja ‘pengganti’ yang telah memecahbelahkan Empayar Iskandar. Pada tahun 146 SM Makedonia menjadi wilayah Rom. Seterusnya Rom menyerang dan menakluki Syria( Syria diperintah oleh Antiochus III) dan Mesir (168 SM). Rom telah dapat menguasai hampir semua kawasan di sekitar Mediterranean. Tujuan perluasan kuasa Rom itu bukanlah untuk meluaskan pentadbirannya tetapi kerana Romsering terancam oleh pemerintah-pemerintah daerah-daerah tersebut. Proses perluasan empayar Rom sebenarnya bermula pada abad ke-6 iaitu selepas mereka berjaya menggulingkan kuasa Etruscan. Proses penaklukan ini mengambil masa hampir 200 tahun. Orang-orang Rom banyak mempelajari taktik peperangan, urusan pentadbiran dan keselamatan daripada kawasan yang ditaklukinya.

Perluasan Empayar Rom secara besar-besaran dilakukan oleh Julius Caeser pada kurun ketiga dan kedua SM). Ketika itu Rom muncul sebagai kuasa besar di Mediterranean. Empayarnya meliputi Syria, Makedonia, Yunani, Mesir, Timur Tengah, Gaul ( Perancis dan Belgium) dan Britain. Beliau juga merupakan pentadbir yang agung, negarawan yang pintar di samping terkenal sebagai seorang ketua tentera yang handal. Kata-katanya yang masyhur iaitu ‘veni, vidi dan vici’ (yang bererti ‘aku datang, aku lihat, aku takluk’) dibuat dalam kempennya di Asia Kecil. Beliau memperkenalkan beberapa pemodenan dalam bidang ekonomi, sosial dan politik dalam Empayar Rom. Antara lain, beliau telah memecat gabenor yang rasuah, memberi hak kewarganegaraaan kepada penduduk wilayah Rom, membahagikan tanah kepada penduduk miskin, merancang sistem perairan, menyelesaikan masalah kewangan, mengalakkan imigrasi ke tanah jajahan baru di seberang laut bagi mengurangkan kesesakan di bandar dan mengatur sistem cukai yang lebih baik. Bagi mewujudkan sistem politik yang stabil, beliau memperkenalkan pemerintahan secara individu ( negara diperintah oleh seorang pemerintah sahaja dan bukan oleh beberapa orang gabenor). Sebab itulah beliau digelar diktator. Beliau mati dibunuh oleh sekumpulan orang yang tidak puas hati dengan tindakannya/dasarnya. Usaha-usaha Julius Caesar diteruskan oleh cucu saudaranya, Augustus ( era Pax Romana atau Keamanan Rom). Beliau memakai gelaran Maharaja. Kuasanya sebagai seorang Maharaja ialah mengawal penuh seluruh empayarnya. Beliau telah berjaya mewujudkan sebuah empayar (beliau memulakan zaman empayar di Rom tahun 31 SM menggantikan zaman Republik) yang stabil yang belum pernah wujud sebelum ini. Zamannya menyaksikan peerkembangan yang pesat dalam perdagangan, kebudayaan Graeco-Roman, perkembangan kejuruteraan, bidang perundangan dan seni bina. Empayar Rom merosot pada tahun 476. Maharajanya yang terakhir ialah Romulus Augustus yang digulingkan oleh ketua suku Vandal ( salah satu suku gasar Jerman).

Tamadun India

Di India terdapat sebuah empayar yang besar di bawah Dinasti Maurya. Dinasti ini wujud apabila Chandragupta Maurya berjaya menggulingkan empayar Magadha ( sebuah empayar Aryan) pada tahun 321 SM. Empayar Maurya ini wujud ekoran daripada usaha-usaha Chandragupta Maurya menyatukan beberapa buah kerajaan kecil di Utara India bagi menghadapi ancaman Yunani. Penyatuan ini membentuk Empayar Maurya yang terbentang luas dari Teluk Benggala ke pergunungan Hindu Kush dengan ibu kotanya di Pataliputra.. Kuasa Chandragupta pada masa itu tiada siapa yang berani mencabar. Kuasa Maurya tegak dengan sokongan 700,000 orang tentera. Tentera kerajaannya sangat cekap dan tiada belas kesihan. Petani-petani dikenakan cukai yang berat dan penduduk bandar sentiasa diganggu oleh pegawai-pegawai, inspektor dan tali barut pemerintah. Kezalimannya jelas apabila kesalahan mencuri yang kecil dikenakan hukuman mati dan selalunya disiksa terlebih dahulu. Empayar Maurya mengamalkan sistem pemerintahan monarki dan pemerintahan mutlak. Raja-raja Maurya terus meluaskan pengaruhnya ke seluruh India kecuali India Selatan (India.Selatan diperintah oleh orang Dravidian yang berbahasa Tamil). Anak Chandragupta telah menambah sebahagian dari Decca ke dalam empayarnya. Empayar yang besar ini seterusnya diwarisi oleh pemerintah ketiganya iaitu Asoka pada tahun 273 SM (ada ahli sejarah berpendapat pada 269 - 232 SM), seorang raja yang terkemuka dan berperikemanusiaan. Beliau memerintah selama 40 tahun. Sistem pemerintahannya berbentuk kerajaan pusat (sentralisasi). Dinasti Maurya mencapai kemuncak perluasannya di bawah Asoka.. Di awal pemerintahannya, beliau menyerang wilayah Orissa. Melihat penderitaan penduduk menjadikan beliau insaf dan menghentikan peperangan sebagai senjata yang agresif. Selepas itu beliau menggunakan kekayaan untuk mengurangkan penderitaan rakyat dan penyebaran agama Buddha.

Kematian Asoka menandakan kemerosotan Dinasti Maurya. Lima puluh tahun selepas kematian Asoka iaitu pada tahun 232 SM, empayar yang semakin lemah itu akhirnya terlepas dari tangan pengganti-penggantinya yang lemah ( 185 SM). Untuk 5 abad kemudiannya, India kehilangan kesatuan politiknya yang selama ini diberikan oleh keturunan Maurya. India mula berpecah.Dalam keadaan perpecahan ini, India terdedah dengan serangan asing seperti orang Aryan dari Asia Tengah dan orang Kushan dari China. Selepas 5 abad India berada dalam kekacauan dan perpecahan, empayar agung kedua muncul di tebing Sungai Ganges dan dapat menyatukan semula bahagian utara India. Ibu kotanya di Pataliputra dan pengasasnya mengambil nama Chandragupta sebagai penghormatan kepada Chandragupta dari Dinasti Maurya dulu. Baginda adalah raja Magadha. Walau bagaimanapun orang India lebih menyanjung pemerintah keduanya yang bernama Samudragupta(300-375M). Beliau digelar ‘Nepoleon India’.Beliau meluaskan empayarnya ke barat menghala ke Sungai Indus dan ke selatan sampai ke Deccan. Walaupun kuasa dan pengaruhnya lebih kecil jika dibandingkan dengan Asoka tetapi pemerintahannya sangat kukuh. Pengganti-penggantinya menguasai empayar itu lebih dari satu abad. . Zaman ini telah mencapai kegemilangan dalam bidang seni, sains dan agama. Perkembangan empayar di wilayah India Selatan tidak mempunyai banyak catatan oleh pengkaji sejarah kerana ahli-ahli sejarah lebih menumpukan perhatian kepada wilayah utara India. Wilayah selatan India terdiri daripada Pandyas (di selatan sekali yang beribu negerikan Madura), Cheras dan Chola. Negeri-negeri di selatan India ini telah disatukan di bawah empayar sekurang-kurangnya 2 kali. Di bawah kerajaan Pallava (pertengahan kurun ke-6 hingga pertengahan kurun ke-8) semua negeri-negeri tua di situ berjaya ditundukkan di bawah kekuasaannya. Di bawah kerajaan Pallava, sejarah seni bina dan seni ukir selatan India bermula. Kerajaan Pallava telah dikalahkan oleh kerajaan Chola dan kerajaan Chola telah menawan empayar kerajaan Pallava.Kerajaan ini telah menyerang Ceylon. Orang-orang Chola memasuki zaman gemilangnya semasa diperintah leh Raja-Raja Agong ( 985-1018) iaitu terdiri daripada anak Asoka dan pengganti beliau. Mereka telah menawan seluruh bahagian timur India, Ceylon, Pulau-pulau Andaman dan Pulau-pulau Nicobar, Pegu (Burma), Kedah (1025), Kerajaan Langkasuka dan Kerajaan Gangga Negara( Perak). Kerajaan Chola jatuh pada kurun ke-14.

Tamadun China

Zaman kegemilangan China dicapai pada masa dinasti Chin di bawah pemerintahan Shih Huang Ti. Beliau telah berjaya menyatukan seluruh wilayah-wilayah China di bawah satu pemerintahan pusat (221 SM). Beliau telah menyusun semula pentadbirannya. Beliau telah menghapuskan sistem pemerintahan ‘negeri-negeri diperintah oleh putera-putera raja’ (sistem feudal) dan digantikan dengan sistem ‘chun’ atau provinsi. Terdapat 36 provinsi semasa pemerintahan dinasti ini. Beliau memerintah secara otokrasi/mutlak. Beliaulah yang bertanggungjawab membina tembok besar negeri China untuk melindungi China dari serangan puak gasar dari utara. Semasa Dinasti Han, empayar China diperluaskan lagi. Wilayah Korea, Manchuria, Panir dan Khokhand di Asia Tengah ditakluk oleh Maharaja Han Wu Ti (141 - 87 SM), pemerintah Han yang teragung. Dasar perluasan kuasa Maharaja Han Wu Ti adalah bertujuan bagi mendapatkan kekayaan. Beliau juga menjalin hubungan perdagangan dengan kerajaan-kerajaan di Eropah, Asia Barat, Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Tamadun Melayu

Di Alam Melayu juga terdapat beberapa buah kerajaan yang membentuk empayar seperti kerajaan Srivijaya dan Majapahit. Cara empayar di Alam Melayu mewujudkan empayar ialah melalui beberapa cara seperti peperangan ( seperti yang dilakukan oleh empayar Srivijaya dan Funan), perkahwinan politik, penerimaan ufti 9 seperti yang dilakukan oleh beberapa kawasan sekitar Srivijaya kepada Srivijaya) dan menggunakan metos dan legenda (seperti yang dilakukan oleh kerajaan Srivijaya bagi menunjukkan kebesarannya dan menggerunkan negeri-negeri sekitar). Kerajaan-kerajaan awal Asia Tenggara membina empayar atas motif memperluaskan politik dan mengukuhkan kedudukan ekonomi masing-masing. Kerajaan Srivijaya yang terletak di Sumatera berpusat di Palembang(Abad ke-7 - ke-14 M) muncul selepas kejatuhan empayar Funan. Srivijaya merupakan sebuah empayar Melayu awal yang sangat bergantung kepada perdagangan. Kedudukannya di Selat Melaka dan Selat Sunda menjadikannya pengawal lalu lintas di kawasan itu yang selama ini dipegang oleh Kerajaan Kantoli dan Melayu.

Bagi mengukuhkan penguasaannya dalam bidang ekonomi, Srivijaya telah menawan kerajaan-kerajaan Jambi (671-685)di Sumatera, Kedah (682-685M)hingga ke Ligor di Tanah Melayu, Bangka, Tulang Bawang dan Minanga di Sumatera, Tarumanaga di Jawa Barat. Penguasaan tersebut menjadikan Srivijaya amat berkuasa mengawal laluan perdagangan China-India selama 3 abad. Pada abad ke-8M, Mataram di Jawa Tengah di bawah Dinasti Sailendra telah mengancam Srivijaya hinggakan sejak tahun 775M kerajaan Srivijaya mula diperintah oleh keturunan Sailendra dari Jawa itu.. Pada abad ke-8 hingga ke-10 M empayar Srivijaya telah berpecah menjadi negeri-negeri kecil. Pada akhir abad ke-10M Srivijaya muncul kembali sebagai pusat perdagangan. Pada tahun992M inilah Srivijaya menyerang Jawa untuk menguasai Selat Sunda. Srivijaya telah berjaya menyekat kapal-kapal daripada singgah di Jawa. Dengan itu Srivijaya dapat mengembalikan kuasanya ke atas bekas tanah jajahannya. Kejayaan Srivijaya menguasai kerajaan-kerajaan lain memudahkannya menguasai perdagangan di Asia Tenggara. Dasar perluasan kuasa telah memberi keuntungan kepada Srivijaya kerana ia telah dapat memungut hasil cukai daripada kapal-kapal yang belayar melalui Selat Melaka dan Selat Sunda. Srivijaya juga menerima ufti daripada tanah jajahannya serta mengawal/menguasai hasil keluaran dari kawasan pedalaman Sumatera dan Tanah Melayu.Dengan barangan dagangan yang banyak, Srivijaya mampu menarik ramai pedagang singgah di pelabuhannya. Untuk memantapkan keselamatan negara dan kepentingan ekonominya, Srivijaya telah menjalin hubungan baik dengan China dan India Selatan (Kerajaan Chola). Satu aspek yang patut juga disentuh di sini yang menjadikan Srivijaya menjadi tumpuan masyarakat Nusantara ialah kemunculannya sebagai pusat agama Buddha yang bertaraf antara bangsa dan pusat bahasa sanskrit di Nusantara.

Kerajaan Srivijaya nampaknya tidak dapat bertahan selama-lamanya apabila kerajaan ini tidak putus-putus dicabar dan digugat oleh kuasa-kuasa luar. Serangan dari Kerajaan Chola di Selatan India pada tahun 1025M telah melemahkan Srivijaya. Jajahan Srivijaya di Kedah, Panei, Langkasuka dan Jambi telah dikuasai Raja Chola. Dengan kenaikan kerajaan Sukhotai , orang-orang Thai memperluaskan kuasanya dengan menawan jajahan Srivijaya di utara Semenanjung Tanah Melayu. Kebangkitan empayar-empayar Singhasari dan Majapahit di Jawa Timur turut mengancam kegemilangan Srivijaya. Palembang yang menjadi pusat pemerintahan Srivijaya telah ditawan Majapahit pada tahun 1377M. Pukulan muktamad yang mempercepatkan kehancuran Srivijaya ialah dengan perkembangan Islam di Nusantara. Menjelang akhir abad ke-13 M kebesaran Srivijaya hanya tinggal sebagai tinggalan sejarah sahaja.

Kerajaan Majapahit (1292 -1528M) pada zaman kegemilangannya (1293 -1389) telah mewujudkan satu empayar yang penting, luas dan berpengaruh di Nusantara. Motif perluasan empayarnya adalah untuk menguasai perdagangan Nusantara. Gajah Mada adalah Perdana Menteri kepada pemerintah Hayam Wuruk (1350-1398M) yang berjasa dalam perluasan kuasa Majapahit. Kuasanya meliputi Bali, Makasar, sebahagian Borneo, Temasik, Pahang, Selatan Sumatera (termasuk Srivijaya) dan Sunda di Jawa Barat. Kejatuhan Srivijaya ke tangan Majapahit membolehkan Majapahit menguasai jalan perdagangan di Selat Melaka. Pedagang-pedagang dari Asia Tenggara, China, India dan Asia Barat bertumpu ke Majapahit. Kematian Gajah Mada menjadi titik tolak keruntuhan kerajaan Majapahit. Di samping faktor dalaman (ketiadaan pemimpin sehebat Gajah Mada, rebutan kuasa), kebangkitan Melaka dan perkembangan Islam di Nusantara khususnya kebangkitan Islam di Demak ( Jawa)turut membantu kemerosotan Majapahit. Kerajaan Melayu Melaka yang sedang berkembang mula menguasai jajahan Majapahit di Sumatera. Jajahan takluknya yang lain mula membebaskan diri daripada kuasa kerajaan Majapahit. Kerajaan islam Demak mula mengambilalih kekuasaan Majapahit di Jawa.

Kerajaan Funan Kerajaan ini dikatakan telah wujud sejak abad pertama Masihi lagi di Kemboja.Ia didirikan oleh seorang Brahmin yang bernama Kaundinya ( ada pendapat mengatakan bahawa Kaundinya adalah orang luar, mungkin datang dari India, Tanah Melayu atau pulau-pulau di sebelah selatan)). Inilah negeri kuasa besar yang pertama dalam sejarah Asia Tenggara yang mempunyai beberapa daerah taklukan dalam masa keagungannya (kerajaan Tun Sun, Tu-kun, Ciu Cih/Cu-li, Langkasuka). Pemerintah Funan yang paling masyhur ialah Fan Shih-man yang dikatakan telah menawan Indo-China, Siam, Langkasuka dan utara Tanah Melayu. Ia merupakan negeri perniagaan laut yang terawal sekali di Asia Tenggara yang mempelopori Srivijaya kemudian. Ibu kotanya yang mula ialah Vyadhaputra dan bandar pelabuhannya ialah Go-Oc-Eo yang terletak di Lembah Sungai Mekong. Tapak peninggalan pelabuhan itu menunjukkan bukti-bukti tentang perhubungan lautnya dengan pantai Teluk Siam, Tanah Melayu, Indonesia, India, Parsi dan Mediterranean. Pada ketika itu pelabuhan itu terletak di tengah-tengah perjalanan laut yang sibuk iaitu di antara China dengan Barat.Kerajaan ini ditewaskan pada akhir abad ke-6 oleh seorang ketua pemberontak dari Chenla yang bernama Bhavavarman. Kerajaan Chenla ini dianggap sebagai kerajaan pra-Angkor. Kerajaan Chenla dikalahkan oleh Maharaja Indra (787-812), rajan Srivijaya dari keturunan Sailendra di Jawa. Kerajaan ini menjadi jajahan Srivijaya selama 28 tahun hingga tahun 802M.

Kerajaan Angkor, Kejatuhan kerajaan Chenla menaikkan Kerajaan Angkor dengan Jayavarman II (802 – 850M) di Barat Laut Kemboja sebagai rajanya yang pertama (atas bantuan kerajaan Srivijaya). Ibu kota Angkor terletak di Indraputra.Di kalangan raja-raja Angkor, Raja Suryavarman 1 (1002-1050), seorang putera raja Tambralinga merupakan raja yang terkenal dengan perluasan kekuasaan Kemboja. Semasa empayar ini di bawah pemerintahan Suryavarman II, Angkor membentuk empayar yang luas ( 1113 – 1150 M). Empayar angkor meluas hingga ke wilayah Mon di Lembah Menon dan Tambaralinga di Selatan Thai. Empayar Angkor mencapai puncak kekuasaan semasa diperintah oleh Jayavarman VII (1181 – 1218M). Champa dikuasainya ( 1203-1220M). Angkor juga meluaskan kuasanya ke atas Pagan di Myanmar. Kerajaan Angkor mengalami kelemahan akibat migrasi orang-orang Thai dari utara dan pukulan yang membawa kejatuhannya ialah serangan kerajaan Ayuthya pada tahun 1432.

Kerajaan Sukhotai, Sebenarnya orang-orang Thai berasal dari wilayah Yunan, China. Apabila kerajaan mereka, Nanchao ditakluki Mongol pada tahun 1253 mereka berpindah ke selatan. Perpindahan mereka ke selatan itu telah menyebabkan penubuhan kerajaan Sukhotai dan melemahkan kerajaan Kemboja. Pengasasnya ialah Rama Khamheng (1275-1317) , putera Sri Indrachtya yang menakluki Sukhotai pada tahun 1238. Rama Khamheng telah meluaskan kawasannya ke utara Tanah Melayu, Ligor dan Pattani. Kematian Rama Khamheng menjadikan kerajaan Sukhotai menjadi lemah hinggalah munculnya kerajaan Ayuthya pada tahun 1350.

 


2.3 Pembentukan Negara Bangsa

Kawasan kajian : Barat

Kandungan Kajian: Ciri-ciri negara bangsa Dan Proses dan perkembangannya

Definisi Negara Bangsa (Nation State):

Negara Bangsa ialah entiti politik atau negara yang dibentuk dan didiami oleh rakyat yang selalunya atau biasanya terdiri daripada mereka yang mempunyai sejarah dan budaya yang sama, bertutur bahasa yang sama dan mempunyai asal atau rumpun bangsa yang sama. Kedaulatan negara diasaskan kepada hasrat atau kehendak rakyat yang telah bersatu di dalam negara-negara tersebut. Bila satu kesatuan bangsa itu muncul sebagai negara berdaulat/merdeka dan menubuhkan kerajaan sendiri, negara baru itu dikenali sebagai negara bangsa. 400 tahun dahulu, peperangan merupakan antara penyebab munculnya negara bangsa. Contoh yang jelas tentang kewujudan negara bangsa ini ialah di Great Britain, Switzerland dan Kanada. Negara-negara tersebut masing-masingnya mengandungi lebih daripada satu bangsa. Di Kanada terdapat orang Kanada-Perancis dan Kanada-Inggeris. Orang Kanada-Perancis bertutur menggunakan bahasa Perancis manakala orang Kanada-Inggeris pula bertutur menggunakan bahasa Inggeris. Switzerland pula mengandungi tiga bangsa dan menggunakan empat bahasa (Estonian, tatrian, Ukranian, Uzbek). Negara bangsa telah menggantikan negara feudal, negara kota dan empayar. Proses ini terus menerus berlaku. Sejak abad ke-17M banyak negara menjadi negara bangsa di Eropah. Negara bangsa juga lahir dari kesedaran kebangsaan atau nasionalisme. Melalui kesedaran di kalangan orang yang serumpun dan mempunyai tradisi kebudayaan yang sama, mulalah timbul perjuangan untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat yang mengutamakan kepentingan warganegaranya. Oleh kerana negara yang ditubuhkan itu berasakan bangsa, maka negara tersebut sering disebut sebagai negara bangsa. Walau bagaimanapun, sebelum kemunculan nasionalisme, kekuatan kerajaan-kerajaan besar di Eropah tidak tertakluk kepada ciri-ciri negara bangsa iaitu satu negara untuk satu bangsa.

 


2.4 Bentuk Pemerintahan

2.4.1 Beraja (Mesir, India, China dan Melayu)

Kandungan Kajian: i. Ciri-ciri pemerintahannya

ii. Persamaan dan perbezaannya

iii. Struktur

Definisi:

Beraja ialah sistem pemerintahan yang diperintah oleh raja dan biasanya secara monarki dan mutlak. Pembentukan dan perluasan empayar telah menyebabkan status seseorang raja itu meningkat daripada raja kepada maharaja seperti yang berlaku di China semasa pemerintahan Dinasti Chin dan di India semasa pemerintahan Dinasti Maurya. Republik ialah negara yang ditadbir oleh wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat.

Tamadun Mesir

Pada asalnya Mesir dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Mesir Utara dan Mesir Selatan.Pada tahun 3100 SM, Raja Menes telah menyatukan Mesir Utara dan Mesir Selatan.Bagindalah merupakan pengasas dinasti Mesir purba dan merupakan raja Mesir yang pertama.Dinasti pertama di Mesir ialah Dinasti Thinite. Baginda telah mewujudkan sistem negara beraja dan dinasti di Mesir. Memphis dijadikan ibu kotanya. Dalam sistem dinasti, raja-raja yang memerintah Mesir berasal dari satu keluarga. Mesir telah diperintah oleh 30 buah dinasti untuk kira-kira 3000 tahun yang dibahagikan kepada 3 zaman iaitu Kerajaan Mesir Purba (3500 SM -2700 SM SM), Kerajaan Mesir Pertengahan (2400 SM –1800 SM) dan Kerajaan Mesir Baru atau Empayar (1600 SM – 1000 SM). Pemerintah Mesir atau raja-raja Mesir digelar ‘Firaun’ ( yang bererti Rumah Besar). Firaun yang paling masyhur ialah Ramses II yang telah membina empayar Mesir dan piramid yang besar. Begitu juga dengan Tutmose III dan Amenhotep III dan IV. Firaun berada pada kedudukan teratas dalam pemerintahan negara Mesir. Baginda memerintah secara mutlak dan menguasai semua tanah dan air di Mesir..Firaun menguasai pentadbiran, ekonomi dan angkatan tentera. Darjatnya begitu tinggi hinggakan dianggap sebagai anak kepada ketua tuhan-tuhan atau anak tuhan Amon Re ( tuhan matahari). Rakyat sangat menghormati dan mentaati Firaun.Rakyat dikenakan cukai dalam bentuk barang seperti gandum,felek, lembu, kayu kayan, arak dan sebagainya. Dengan cukai begitu rupa, Firaun memiliki gudang-gudang yang besar. Baginda menjadi ketua agama dan ketua angkatan tentera. Baginda juga menggubal undang-undang Di bawah Firaun ialah putera-putera yang berhakj menaiki takhta. Mereka memiliki banyak harta dan kadang-kadang hampir sama banyaknya dengan harta Firaun. Dalam urusan pentadbiran, baginda dibantu oleh golongan bangsawan, gabenor (pegawai kerajaan) dan paderi. Golongan bangsawan berkuasa penuh dalam daerah dan kuasa mereka kekal turun temurun. Kerajaan Mesir dibahagikan kepada beberapa daerah dan ditadbir oleh pegawai kerajaan.

Tamadun India

Dalam tamadun awal India ( Tamadun Sungai Indus) yang bermula pada tahun 2500 SM, pemimpin adalah dari golongan pendeta dan berkuasa mutlak ( kerajaan bersifat teokrasi).Ini bermakna, India pada masa itu belum lagi melaksanakan pemerintahan beraja. Semasa India diperintah oleh Dinasti Maurya yang diasaskan oleh Chandragupta Maurya (321 SM), India mengamalkan sistem pemerintahan beraja mutlak dan secara monarki.Gelaran raja bertukar menjadi maharaja apabila perluasan kuasa ke kawasan-kekawasan sekitar dilakukan. Kerajaan ini kuat dengan bantuan 700,000 orang tentera yang cekap tetapi tiada belas kesihan. Petani-petani dikenakan cukai yang berat di bawah pengawasan pegawai-pegawai raja yang sangat zalim. Raja memerintah dengan bantuan Majlis Penasihat. Empayar dibahagikan kepada 5 bahagian atau wilayah dan setiap wilayah diketuai seorang wizurai. Kerajaan ini mempunyai Pejabat Peperangan yang mengandungi 6 Jabatan dan Perkhidmatan Perisik yang teratur. Pentadbiran awam termasuk Badan Perdagangan, Jabatan Kerja, Badan Upah dan Pendaftaran kelahiran, kematian dan pendapatan. Bandar-bandar dalam empayar Maurya ditadbir oleh satu badan yang dibahagikan kepada 6 jawatankuasa dan dianggotai 30 orang ahli. Ada ahli sejarah berpendapat, Chandragupta Maurya ini menjelankan sistem pemerintahan awam untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara dengan memperbaiki sistem keadilan dan pentadbiran.

Ketika India diperintah oleh Maharaja Asoka (273 SM atau 269 SM) , baginda menjalankan pemerintahan dengan baik dan berperikemanusiaan berdasarkan titah perintahnya yang diukir pada tiang-tiang batu di sepanjang jalan untuk dibaca oleh rakyat. Semua orang diberi hak dan peluang yang sama dalam pentadbiran.. Asoka sangat benci kepada kemusnahan, kekejaman dan permusuhan. Baginda membawa semangat kemanusiaan baru di kalangan raja-raja hasil dari ajaran agama Buddha yang bertindak atas rasa sensitif dan tidak mementingkan diri sendiri.Beliau mengamalkan doktrin ‘Ahimsa’ yang melarang perbuatan menyakiti atau melukai haiwan dan manusia. Asoka juga menjalankan reformasi dalam pentadbiran melalui ‘Dharma-Mahamatra’. Sistem ini memastikan pegawai-pegawai kerajaan di wilayah-wilayah melaksanakan tugas berdasarkan arahan kerajaan pusat. Asoka memerintahkan gabenor-gabenor dan pegawai-pegawainya supaya adil dan bersifat belas kesihan. Asoka juga menyediakan rumah-rumah rehat, telaga dan pokok kayu untuk kemudahan pengembara dan menyediakan rumah sakit bagi merawat orang dan haiwan yang sakit. Semasa India di bawah pemerintahan raja-raja Gupta, kerajaan ini juga tidak mengganggu kehidupan rakyat kecuali untuk membasmi jenayah, tiada penganiaan terhadap agama. Hukuman bunuh jarang dilakukan. Kebanyakan kesalahan yang dilakukan dikenakan hukuman denda.

Tamadun China

Semenjak tamadun awal China (tamadun Sungai Hwang Ho di bawah pemerintahan Dinasti Shang dan Dinasti Chou) lagi China telah mengamalkan sistem pemerintahan beraja mutlak secara monarki. Orang China percaya, Raja diberi mandat oleh tuhan untuk mentadbir. Pada zaman Dinasti Shang dan Chou raja berfungsi sebagai ketua agama dan angkatan tentera. Pada masa itu China mengamalkan sistem feudal. Zaman kemaharajaan yang paling gemilang ialah ketika China diperintah oleh Shih Huang Ti (Dinasti Chin). Gelaran raja ditukar menjadi maharaja semasa baginda memerintah China. Baginda menghapuskan sistem feudal dan digantikan dengan sistem provinsi/wilayah (36 buah) yang diketuai oleh gabenor..Maharaja dibantu oleh golongan birokrasi yang terdiri daripada pegawai kerajaan. Maharaja Shih Huang Ti mengamalkan undang-undang yang ketat. Undang-undang Dinasti Chin diperkenalkan oleh Han Fei Tsu, seorang ahli falsafah. Beliau menegaskan bahawa tingkah laku manusia hanya dapat dikawal melalui kekerasan dan undang-undang yang tegas. Baginda menggelarkan diri baginda sebagai Maharaja Chin Pertama ( Shih bererti pertama, Hwang Ti bererti maharaja) kerana ingin mengasaskan satu dinasti yang berlainan dari pemerintah yang terdahulu ( sistem feudal).Baginda mahu dirinya dipuja sebagai maharaja (sebelum ini raja dianggap sebagai wakil ‘Raja di Atas’). Oleh kerana baginda ada darah keturunan Tartar, baginda banyak dibantu oleh tentera berkuda Tartar dalam usaha memperluaskan wilayah China. Dalam masa sepuluh tahun, semua wilayah China tertakluk di bawah pemerintahannya. Baginda juga melatih kumpulan penjahat menjadi askar baginda.

Dalam menghadapi bahaya serangan pelanggar-pelanggar Tartar secara besar-besaran, baginda telah membina tembok besar negeri China. Anehnya,, jasa yang besar ini dikatakan oleh setengah-setengah ahli sejarah tidak menjadikan orang China terhutang budi kepadanya kerana kesalahan yang dibuat oleh baginda iaitu ‘pembakaran segala buku’. Dalam usaha menolak idea sarjana China dalam hal-hal pentadbiran , baginda telah membakar buku-buku sejarah dan falsafah yang mengandungi unsur-unsur politik dan membunuh 400 orang sarjana pada tahun 213 SM kerana menganggap mereka ‘menyusahkan’ baginda. Bagi orang China peristiwa pembakaran itu dianggap sebagai peristiwa pencabulan pusaka intelektual mereka. Semasa China diperintah oleh Dinasti Han (206 SM – 220 SM) , Sistem Peperiksaan Awam bagi perlantikan pegawai-pegawai kerajaan diamalkan. Sistem ini mengutamakan kebolehan seseorang dan terbuka kepada semua rakyat yang layak. Di bawah pemerintahan dinasti ini, pemimpin-pemimpin wilayah tidak diberi kuasa yang luas dan tidak dibenarkan memiliki kekayaan yang besar. Tujuannya ialah supaya kerajaan pusat menjadi teguh dan tidak dicabar. Dinasti Han mengutamakan undang-undang yang berasaskan ajaran Confucius. Pengasas dinasti ini iaitu Liu Pang memperkenalkan satu Hukum Kanun yang menekankan bahawa hukuman bunuh ialah bunuh, hukuman mencederakan orang ialah dicederakan dan hukuman mencuri ialah dibayar denda sebanyak yang dicurinya. Jika dibandingkan dengan Dinasti Chin, Dinasti Han ini melaksanakan pemerintahan yang kurang ketat. Baginda melonggarkan sistem kerahan buruh dan menggantikan undang-undang China yang berat dan zalim dengan hukuman yang ringan.

Tamadun Melayu

Di Alam Melayu, sistem pemerintahan berajanya merupakan campuran sistem tempatan dengan pengaruh Hindu dan Buddha. Raja adalah ketua kerajaan yang mengamalkan kuasa mutlak. Raja berkuasa membuat undang-undang dan menjatuhkan hukuman. Raja dianggap oleh rakyatnya sebagai dewa (atau dewaraja) atau tuhan di muka bumi. Rakyat tidak boleh mempersoalkan tindak tanduk raja. Raja dibantu oleh para pegawai dalam pentadbiran negara. Perlantikan para pegawai secara berangka seperti Pembesar 4, Pembesar 8, Pembesar 16 dan Pembesar 32 dipengaruhi oleh astrologi Hindu. Begitu juga dengan sistem pewarisan pemerintahan berasaskan keturunan dipengaruhi oleh agama Hindu. Pengaruh Hindu ini semakin jelas dalam adat istiadat pertabalan raja,penggunaan alat-alat pertabalan seperti pedang dan rantai yang digunakan oleh tuhan-tuhan orang Hindu. Raja memainkan peranan aktif dalam bidang ekonomi. Raja menguasai sumber-sumber ekonomi utama seperti pungutan cukai, tenaga buruh dan aktiviti perdagangan. Raja menggunakan golongan Brahman (sami Hindu) untuk menonjolkan kekuatan dan keistimewaannya menerusi cerita dongeng, legenda dan metos. Undang-undang dipengaruhi oleh Kod Manu dan Dharmasastra. Sistem tataurus negarapula dipengaruhi oleh karya Arthasastra.

Kita boleh lihat contoh sistem pemerintahan beraja ini dalam kerajaan Angkor dan Srivijaya. Dalam sistem pentadbiran Kerajaan Angkor, raja dianggap sebagai dewaraja. Raja menjadi ketua negara dan ketua tentera. Raja mempunyai kata pemutus dalam hal perundangan.Raja dibantu oleh sebuah majlis menteri ( yang terdiri daripada para menteri, pemimpin tentera dan hakim), gabenor wilayah, ketua daerah dan ketua kampung. Para pegawai tinggi dikehendaki mengambil peperiksaan kerajaan untuk meningkatkan kecekapan dan ilmu pengetahuan. Dalam sistem pentadbiran Kerajaan Srivijaya pula, raja juga berkuasa mutlak dan dianggap sebagai dewaraja. Dalam pentadbiran negara, raja dinasihati oleh sebilangan menteri. Pentadbiran Kerajaan Srivijaya terbahagi kepada 3 jenis pentadbiran iaitu pentadbiran diraja, pentadbiran ketenteraan dan pentadbiran daerah. Pentadbiran diraja tertumpu kepada pentadbiran pusat (seperti bidang kehakiman, pengutipan cukai dan hukuman). Pentadbiran ketenteraan diketuai oleh seorang panglima bergelar pratisava. Pentadbiran daerah pula diketuai oleh datu yang bertanggungjawab dalam hal ehwal tanah, kebajikan rakyat, memupuk kesetiaan rakyat kepada pemerintah dan menjatuhkan hukuman ke atas penentang kerajaan. Kerajaan Kedah Tua juga mengamalkan sistem pemerintahan beraja. Raja dibantu oleh menteri dalam mentadbir negara. Setiap daerah diketuai oleh pembesar.

 


2.4.2 Republik ( Yunani dan Rom)

Tamadun Rom

Konsep republik di Rom bermaksud sebuah kerajaan yang rakyatnya memilih wakil untuk melulus dan melaksanakan undang-undang. Sebelum tahun 509 SM, Rom diperintah oleh raja-raja Etruscan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan. Justeru itu orang Rom telah memberontak dan mewujudkan sebuah kerajaan bercorak republik. Kerajaan republik Rom terdiri daripada Konsul, Dewan Senat dan dewan Perhimpunan/Centuriate. Dalam republik Rom, dua orang konsul dilantik untuk memerintah negara. Perlantikan dua orang konsul ini bertujuan menjamin kedaulatan dann kebajikan rakyat dan mengelakkan salah seorang daripada konsul ini mempunyai pengaruh yang lebih kuat. Mereka merupakan ketua eksukutif negara dan dilantik untuk tempoh setahun. Konsul ini pula dibantu oleh satu majlis yang dikenali sebagai senat yang dianggotai oleh golongan bangsawan yang dilantik oleh konsul dan semua bekas konsul. Tugas utamanya ialah menasihat konsul dan menguruskan hal ehwal luar negeri. . Dewan Senat pula dibantu oleh Dewan Perhimpunan yang dianggotai oleh semua rakyat Rom. Dewan Perhimpunan mempunyai kuasa yang terhad. Dalam Dewan Perhimpunan ini , rakyat Rom berkumpul dan mendengar laporan tentang perkara yang telah dibincangkan dalam Dewan Senat. Fungsi Dewan Perhimpunan hanya meluluskan atau mengesahkan undang-undang yang diputuskan oleh Dewan Senat. Dalam republik Rom, wujud juga diktator. Semasa perang atau krisis, diktatorlah yang menjalankan tugas konsul. Tempoh perlantikannya tidak melebihi 6 bulan. Menurut Undang-undang Rom ( Papan Dua Belas), semua orang adalah sama di sisi undang-undang. Seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan. Pemerintahan bercorak republik tidak mempunyai raja dan pada masa yang sama juga boleh mengamalkan prinsip demokrasi. Hari ini, negara-negara yang mengamalkan kerajaan bercorak republik ini ialah Perancis dan India yang diketuai oleh seorang presiden yang dipilih oleh rakyat. Beberapa konsep politik yang digunakan sehingga hari ini seperti senat, veto, diktator dan censor adalah warisan daripada Rom.

Tamadun Yunani

Yunani mengamalkan sistem pemerintahan monarki sehingga tahun 750 SM. Menjelang tahun 750 SM raja digulingkan dan Athens diperintah menerusi Majlis Bangsawan. Pegawai utama ialah Ketua Majistret yang dipilih setiap tahun daripada golongan bangsawan. Solon (Ketua Majistret) menubuhkan Majlis Empat Ratus, Perhimpunan Agung dan Mahkamah Agung. Semua warganegara lelaki yang berumur 18 tahun ke atas merupakan ahli Perhimpunan Agung yang berfungsi sebagai badan perundangan. Kuasa menjatuhkan hukuman berada di tangan sekumpulan warganegara iaitu juri. Pemerintahan Yunani adalah berdasarkan sistem demokrasi.


 

2.5: Pentadbiran

Kawasan Kajian : Mesopotamia, Mesir, Arab, Graeco-Roman, India, China, Melayu dan Barat.

Kandungan kajian: i. Ciri-ciri pentadbiran

ii. Persamaan dan perbezaannya

iii.Struktur

Dalam tamadun awal, pentadbiran sesebuah negara itu boleh dalam bentuk pentadbiran pusat (dikawal oleh pusat pemerintahan) dan pentadbiran wilayah (ditadbir oleh ketua wilayah). Pentadbiran wilayah itu wujud apabila berlaku perluasan kuasa atau empayar. Sesebuah negara yang besar seperti China, India dan Rom mempunyai banyak wilayah yang diperolehi melalui dasar perluasan kuasa dan kemudian menyatukan wilayah-wilayah tawanan itu di bawah satu pemerintahan. Bagi negara yang menjalankan kuasa mutlak seperti China mampu mengawal dan menjalankan pentadbiran berpusat manakala Rom yang begitu luas empayarnya hingga menjangkau ke seberang Laut Mediterranean tidak mampu mengawal sepenuhnya dari kerajaan pusat telah menyerahkan pentadbiran kepada gabenor-gabenor yang dilantik.

Tamadun Mesopotamia

Mesopotamia agak berbeza dengan Mesir dari segi pentadbirannya. Setiap kota dalam Mesopotamia mempunyai kerajaan yang berasingan dengan pemerintahannya sendiri. Setiap negara kota di Mesopotamia mempunyai peraturan dan undang-undang tersendiri. Pada peringkat tamadun awal, pentadbiran Mesopotamia bersifat teokrasi. Setiap negara kotanya mempunyai seorang raja yang dibantu oleh seorang ketua agama dan gabenor. Pada tahun 2340 SM Sargon telah menyatukan beberapa buah negara kota di Mesopotamia di bawah satu pemerintahan. Di bawah pemerintahan Sargon, beliau menjalankan dasar perluasan wilayah hingga ke selatan dan berjaya menguasai dataran Mesopotamia, Laut Mediterranean, Teluk Parsi, Amorite dan Elam. Bagi mengendalikan sebuah empayar yang besar, Sargon mengiktiraf pemerintah tempatan dengan syarat mereka mesti setia kepadanya. Empayar dibahagikan kepada beberapa daerah yang diperintah oleh gabenor berketurunan Sumeria dan Semitik. Hammurabi (1792-1750 SM) pula telah menyatukan seluruh lembah Tigris-Euphrates di bawah satu empayar.

Tamadun Mesir

Di Mesir pula pentadbiran dibahagikan kepada pentadbiran pusat dan wilayah. Rajanya yang dipanggil Firaun itu mempunyai kuasa mutlak dan memerintah dengan kuku besi.serta berhak sepenuhnya ke atas tanah dan air di Mesir. Rakyat dipaksa patuh kepada Firaun dan memaksa rakyat membayar cukai. Kerajaannya terbahagi kepada beberapa daerah yang ditadbir oleh pegawai-pegawai kerajaan bagi menyenangkan pentadbiran. Setiap daerah diketuai oleh seorang gabenor yang terdiri daripada golongan bangsawan yang bertugas sebagai pengutip cukai dan menjadi hakim. Golongan bangsawan itu mewarisi jawatan tersebut secara turun temurun. Kuasa mereka terhad dan dikawal oleh Firaun.

Tamadun Arab

Di negara Arab, pentadbirannya jelas sekali berbentuk pentadbiran pusat. Ini dapat dilihat dalam pemerintahan kerajaan Yaman dan Hijaz. Di Yaman, kerajaan yang paling terkenal ialah Kerajaan Saba’ (955SM-115SM). Pusat pemerintahan kerajaan ini di Sarwah yang kemudian dipindahkan ke Ma’rib. Kerajaan ini terkenal dengan sistem pemerintahan bercorak demokrasi. Kerajaan ini didokong oleh rakyat yang kuat dan berani Kerajaan ini menjadi masyhur semasa pemerintahan Ratu Balqis. Sistem pemerintahannya amat teratur dan hak politik diberi kepada semua golongan termasuk hamba.. Saba’ ada melakukan usaha-usaha penaklukan ke atas kawasan sekitar tetapi kerajaan ini tidak .begitu terkenal sebagai kuasa penakluk. Selepas kerajaan Saba’ jatuh, kerajaan di Yaman ini diganti oleh Kerajaan Himyar(115SM-525TM). Kerajaan Himyar lebih mementingkan usaha-usaha perluasan kuasa.Ia bukan sahaja menjajah kawasan sekitar bahkan menguasai jajahan-jajahan Parsi seperti Iraq dan Khurasan serta kawasan-kawasan yang berhampiran dengan Sungai Jihun da membina bandar Samarqand. Secara umumnya, kerajaan-kerajaan di Yaman lebih menekankan pemerintahan berpusat kerana mempunyai raja yang kuat untuk menguasai seluruh kawasan pemerintahannya dan mempunyai sokongan yang kuat daripada pembesar-pembesarnya.. Kerajaan Hijaz di Arab Tengah yang tidak mempunyai kawasan taklukan lebih merupakan kerajaan berpusat yang diperintah oleh kabilah. Kabilah yang mula-mula memerintah Mekah ialah puak Amaliqah, diikuti oleh puak Jurhum dan Quraisy. Semasa pemerintahan Quraisy, pentadbiran Mekah begitu teratur dengan penubuhan beberapa buah jabatan dengan fungsi-fungsi tersendiri. Kerajaan-kerajaan di Arab Utara lebih merupakan kerajaan penampan Rom dan Parsi (ditubuhkan oleh Rom dan Parsi untuk kepentingan masing-masing ). Kerajaan-kerajaan seperti Kerajaan Ghassan, Hirah, Nabatean dan Anbar dikawal oleh Rom dan Parsi.

Tamadun Graeco-Roman

Bagi negara Graeco-Roman (gabungan Rom, Etruscan dan Yunani) , sebelum menjadi sebuah republik iaitu ketika diperintah oleh raja , sistem pentadbirannya adalah berpusat yang dikatakan begitu berkesan , berlanjutan hingga berpuluh-puluh keturunan dan bangsa dengan bahasa-bahasa yang berlainan. Kerajaan Rom telah mengasaskan undang-undang yang dikenali sebagai Kod Undang-undang Rom yang diasaskan pada zaman Justinian. Rakyat disatukan di bawah undang-undang ini dan tidak terdapat diskriminasi tindakan undang-undang terhadap pesalah. Apabila negara ini mula membentuk empayar, kawasannya menjadi sangat luas iaitu sehingga merangkumi sebahagian besar kawasan laut Mediterranean. Oleh itu setiap daerah di bawah Rom diletakkan gabenor untuk mentadbir wilayah tersebut. Pada zaman pemerintahanAugustus, beliau telah memperkemaskan pentadbiran sebaik sahaja menjadi pemerintah dengan mewujudkan lebih banyak jabatan. Augustus menggantikan gabenor-gabenor wilayah yang tidak menjalankan tugas dengan baik dengan pegawai-pegawai yang dilantik oleh maharaja dan bertanggungjawab terus kepada gabenor. Sesungguhnya Augustus mewujudkan satu sistem birokrasi yang cekap di merata Eropah. Bukan semua wilayah Rom diletakkan secara langsung di bawah pentadbiran Augustus dan agen-agennya. Wilayah yang tidak memerlukan perhatiannya di biarkan di bawah pentadbiran pegawai-pegawai rasmi negeri. Pentadbiran augustus boleh dibahagikan kepada 3 bentuk pentadbiran iaitu peranan maharaja, pentadbiran di peringkat wilayah dan pentadbiran munisipal.

Pentadbiran wilayah terletak di bawah gabenor. Mereka berkhidmat sebagai prokonsul dan dibantu oleh beberapa orang pegawai bawahan. Perlantikan direstui oleh senat. Namun begitu, kuasa mutlak masih tetap di tangan Augustus. Di bawah pentadbiran wilayah ini, wang yang diterima dari pusat diagihkan kepada tentera (legion), pasukan tentera tambahan wilayah dan pencen juga diberikan kepada tentera bersara. Wang ini berpunca daripada perbendaharaan khas yang ditadbir oleh Augustus dan sebahagiannya pula daripada hartanya sendiri dan cukai awam. Satu lagi sumbangan penting augustus ialah tindakannya selalu menghantar tentera untuk membina jalan dan jambatan. Dia juga menempatkan sebuah angkatan kecil untuk mengawal perairan daripada ancaman lanun. Di negeri-negeri tertentu yang dijajah, kuasa pentadbiran tempatan dikekalkan. Di Asia Kecil umpamanya, mengekalkan sistem negara penampan dan kerajaan-kerajaan naungan tidak menimbulkan masalah. Dasar-dasar Augustus menyebabkan dia mula disembah bagaikan tuhan di merata empayarnya. Di semua wilayah termasuk Greek, Asia Kecil, Syria dan kawasan-kawasan lain didirikan patung yang menyerupai Augustus bersama-sama dengan tuhan-tuhan lain. Kedudukan Augustus disamakan dengan tuhan-tuhan tradisi Rom. Bagi pentadbiran munisipal pula, dua unit pentadbiran tempatan yang penting iaitu civitas dan villa diwujudkan. Civitas adalah sebuah pusat pentadbiran bandar yang menikmati kebebesan kerajaan sendiri, manakala villa pula adalah estet golongan bangsawan. Kebanyakan pentadbir kerajaan adalah daripada golongan bangsawan villa.

Tamadun India

India pada zaman tamadun awal mengamalkan sistem teokrasi. Setiap negara kota diketuai oleh pendeta yang berkuasa mutlak. Tugas pemerintah ialah mengawal pembinaan , menetapkan piawai timbangan dan ukuran, mengawal sistem tulisan, bentuk bangunan dan pola jalan-jalan raya. India memasuki zaman empayar ketika diperintah oleh Dinasti Maurya. Dinasti Maurya dan Gupta merupakan dua buah pemerintahan yang terkenal dalam sejarah India purba. Dinasti Maurya (324 SM –185SM) merupakan dinasti yang unik dan empayar yang pertama di India. Dinasti ini diasaskan oleh Chandragupta Maurya pada tahun 322SM. Pusat pemerintahannya bertempat di Pataliputra. Dalam sejarah kerajaan Maurya terdapat 8 orang raja yang memerintah empayar itu. Ia bermula dengan Chandragupta Maurya (322-289SM) dan berakhir dengan Brihadratha (191-184SM). Walau bagaimanapun, raja yang paling masyhur ialah Chandragupta Maurya dan Asoka. India mengamalkan pemerintahan pusat.ketika di bawah pemerintahan Dinasti Maurya terutamanya ketika di bawah pemerintahan Asoka. Dinasti Maurya memberi sumbangan yang besar kepada India dalam menyatukan kawasan-kawasan yang berpecah belah. Chandragupta Maurya telah menyatukan India Utara dan India Selatan melalui penaklukan.,Antara kawasan yang berjaya ditaklukinya ialah Afghanistan, Pakistan dan kawasan Indus. Pengganti Chandragupta Maurya iaitu Binduasara telah berjaya memasukkan Deccan ke dalam empayar Maurya. Asoka pula telah berjaya menyatukan Kalinga di dalam empayar Maurya. Ini merupakan proses pemusatan kuasa yang paling berjaya dalam sejarah tamadun India.Empayar India dibahagikan kepada beberapa wilayah yang dipimpin oleh wizurai. Asoka menjalankan reformasi dalam pentadbiran melalui ‘Dharma-Mahamatra’. Menurut sistem ini, pegawai kerajaan di wilayah-wilayah melaksanakan tugas mengikut arahan pusat.

Empayar Maurya merupakan sebuah empayar yang cekap dan tersusun. Raja merupakan ketua pentadbir kerajaan. Raja juga merupakan ketua hakim, penasihat dan penggubal undang-undang dan juga ketua tertinggi angkatan tentera dan kuasa raja tidak terhad. Beliau melantik penasihat-penasihat untuk dijadikan pembantu dalam pentadbiran. Di samping itu wujud juga Majlis Menteri. Beberapa jabatan diwujudkan yang diketua seorang penagawas. Di samping itu terdapat kelas-kelas pegawai penting yang akan membantu raja semasa berlaku hal-hal kecemasan. Kelas pegawai ini dikenali sebagai Mantri atau Mantri Parishad. Terdapat juga badan-badan (Mikaya) yang tediri daripada pegawai-pegawai yang terlatih yang mengendalikan hal ehwal pentadbiran biasa. Kelas pegawai tersebut ialah Pegawai Daerah (Agronomi), pesuruhjaya bandaran (Astynomi) dan badan-badan yang mengendalikan hal ehwal ketenteraan. Pegawai daerah bertanggungjawab dalam memungut cukai, mengukur tanah, mengawasi kerja-kerja pengairan, mengawal paras-paras air, krja-kerja pendaftaran kelahiran dan kematian, mengawasi pengeluaran barang-barang perdagangan, penipuan dalam perdagangan, urusan denda dan hal ehwal orang asing. Oleh kerana tanah jajahan Dinasti Mauryam sangat luas, maka Chandragupta Maurya telah melantik pegawai-pegawai untuk mentadbir wilayah. Beliau telah membahagikan empayar Maurya kepada 4 buah wilayah penting iaitu Barat Laut, Barat Kalinga dan Selatan. Setiap wilayah diletak seoran wizurai yang biasanya terdiri daripada putera-putera raja. Wilayah itu dipecahkan pula kepada beberapa kawasan tertentu. Pada peringkat ini ia ditadbir oleh gabenor (Mahatmatra). Kawasan itu dipecahkan pula kepada beberapa daerah yang lebih kecil. Daerah itu dipecahkan lagi kepada beberapa kampung. Ketua kampung ialah penghulu (gramini) yang dibantu oleh dua orang pegawai iaitu ‘accountant’ dan ‘tax collector’. Pegawai di peringkat atas dipanggil stanika yang mengawasi sepertiga daerahnya. Samadharti merupakan pengawas kepada stanika. Di samping itu ditubuhkan juga pasukan khidmat rahsia yang menjadi agen-agen kepada raja. Ahli-ahlinya terdiri daripada askar-askar pelopor rahsia dan juga para hakim yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk memastikan rakyat setia kepada raja tanap pemberontakan. Kejatuhan Dinasti Maurya tahun 185SM diganti oleh Dinasti-dinasti Sungas,Kanva dan Andra yang menyaksikan kekacauan politik dan keruntuhan perpaduan rakyat selama 5 abad. Selepas itu barulah muncul Dinasti Gupta. Dinasti Gupta diasaskan oleh Chandragupta pada tahun 320SM dengan ibu kota Pataliputra. Empayar ini terletak di tebing sungai Ganges. Empayar ini telah menyatukan semula bahagian utara India. Samudragupta , pengganti chandragupta telah meluaskan empayar Gupta ke Barat hingga ke Sungai Indus dan ke selatan hingga ke Deccan.

Tamadun China

Di China pembentukan kerajaan Shang adalah dari beberapa buah kerajaan kecil di Lembah Sungai Hwang Ho. Raja Shang berjaya meluaskan wilayah beliau dari kawasan Steppe di China Utara ke lembah yang-Tze di China Selatan..Dinasti Shang mengamalkan pemerintahan pusat. Rajanya yang berkuasa mutlak itu mengawal pentadbiran dari ibu kotanya di Anyang Padaq zaman Dinasti Chou, sistem feudal diperkenalkan. Pemerintahan beraja ini dikuasai oleh golongan bangsawan. Kaum bangsawan ini diberi kuasa mutlak memerintah kawasan masing-masing. Pembesar dan orang bangsawan memusatkan kuasa kepada sebuah bandar. Semua pembesar menjadi tuan tanah atau pemegang tanah. Mereka mewujudkan sistem birokrasi dengan menubuhkan jabatan-jabatan seperti kewangan, undang-undang dan pasukan bersenjata bagi memudahkan pentadbiran.. Mereka dikehendaki memberi taat setia dan mereka terpaksa berkhidmat untuk kerajaan mereka. Umpamanya mereka patut mengikuti raja pergi berperang, menjaga sempadan, membiayai cukai dan mengurus tenaga buruh supaya buruh dapat menjadi askar dalam masa perang dan bekerja dalam projek-projek umum dalam masa aman. Raja pula bertugas mengawal dan menyokong pembesar-pembesar di luar pusat pemerintahan dan pembesar-pembesar dikatakan pelindung-pelindung bagi raja. Ini bermakna bahawa raja harus menolong wakil-wakil atau pembesar-pembesar dalam kes-kes mereka diserang musuh. Kuasa politik raja berdasar kepada kuasa agamanya. Pergaduhan antara pembesar-pembesar sering berlaku kerana ingin memperluaskan kuasa.

Semasa China diperintah oleh Dinasti Chin (221SM-206SM) yang terletak di Sungai Wei itu iaitu semasa diperintah oleh Shih Huang Ti, negara China telah muncul sebagai sebuah empayar. Pemerintahannya bercorak autokratik dan mengikut unsur-unsur legalisme (berdasarkan konsep bahawa rakyat mesti diperintah dengan tegas dan mutlak). Beliau telah menubuhkan ibu kota di Siang Yang dan memulakan sistem pemerintahan berpusat iaitu meletakkan semua kuasa negeri di bawah kerajaan pusat dan menghapuskan sistem feudal. Pada teorinya, Maharaja Chin mempunyai kuasa tertinggi kerana beliau dianggap sebagai anak syurga. Kuasanya tidak terbatas kerana tidak boleh mengatasi undang-undang atau kuasa yang lain. Beliau merupakan maharaja China yang pertama berjaya menyatukan negeri China daripada keadaan berpecah belah. Caranya ialah dengan menyerang dan menawan kerajaan-kerajaan yang berpecah belah itu dan diletakkan di bawah kekuasaannya. Shih Huang Ti menubuhkan satu sistem kerajaan berdasarkan kepada undang-undang sejagat/legalisme. Akibatnya, undang-undang di negeri China adalah keras iaitu melalui sistem pengurniaan dan hukuman. Semua pegawai dalam negeri bertanggungjawab kepada maharaja. Raja melantik wakil untuk mentadbir kerajaan.

Penasihat utama maharaja terdiri daripada Canselor (ketua pusat pentadbiran), Marshall (bertanggungjawab dalam hal ehwal tentera) dan Recoder (setiausaha maharaja). Pusat pentadbiran Chin mengandungi 9 buah jabatan menteri. Kerajaan tempatan terdiri daripada bandar dan kampung. Pusat pentadbiran menguruskan kerajaan tempatan. Laporan dihantar ke ibu kota . Cara pemerintahan Dinasti Chin yang keras membuatkan rakyat memberontak selepas kematian Shih HuangTi. Liu Pang iaitu pemimpin pemberontakan telah menubuhkan Dinasti Han pada tahun 206SM. Pemerintahannya selama 4 abad itu berperanan menyatukan China dengan melakukan perubahan-perubahan sosial, ekonomi, pentadbiran, ideologi dll. Kekuasaannya meliputi sehingga ke bahagian sempadan dengan Barat dan India. Semasa Shih Huang Ti memerintah China, beliau telah membahagikan negara kepada 40 buah wilayah kecil yang diperintah oleh keluarga dan askar-askar yang berjasa kepadanya. Gabenor yang dilantik mengetuai wilayah itu dikawal dari pusat pemerintahan oleh raja. Di pusat ia telah membentuk sebuah badan pemerintahan yang kakitangannya terdiri dariapda pegawai-pegawai. Semasa China diperintah oleh Dinasti Han pula, pada awal pemerintahan Liu Pang (atau gelarannya Kao Tsu), beliau telah memdapat sokongan politik daripada pemimpin tentera melalui proses feudalisme. Sistem ini telahpun dihapuskan oleh Dinasti Chin tetapi ia muncul semula di kalangan pengikut-pengikut dan keluarga Liu Pang. Beliau menubuhkan semula sistem tanah feudal dan dalam sistem itu beliau mencipta 8 buah kaunti(county), principaliti (kerajaan-kerajaan kecil) dan kemudian memberi prinsipaliti tersebut kepada penyokong-penyokong yang mempunyai kuasa yang lebih besar. Beliau telah membina ibu kota yang baru di Changan kerana ibu kota di Siang Yang telah dimusnahkan oleh pemberontak Chin selepas kematian Shih Huang Ti. Di bawah Liu Pang dan pengganti-penggantinya terutamanya di bawah Wu Ti sistem pemusatan Han dan pusat pentadbiran lebih kuat daripada pentadbiran di bawah Chin. Pemimpin-pemimpin wilayah tidak diberi kuasa yang luasdan tidak dibenarkan memiliki kekayaan yang besar. Tujuannya ialah supaya kuasa pusat menjadi teguh dan tidak dicabar.

Dalam kerajaan Han, pentadbiran pusat diketuai oleh Censelor. Censelor merupakan Ketua Pegawai Pentadbir dan di sebahagian kawasan, dia adalah pemerintah yang mutlak. Censelor mengetuai kakitangan di ibu kota dan pegawai-pegawai wilayah yang mengetuai hal ehwal pentadbiran dan melaporkan kegiatan mereka kepada Ketua Censelor. Di bawah Censelor terdapat seorang Marshall atau Ketua Komandan . Ketua Komandan adalah pegawai tentera sementara. Di bawah Marshall terdapat Ketua Censelor. Di peringkat bawahan terdapat 9 orang menteri yang ditugaskan dalam bidang-bidang tertentu. Pentadbiran tempatan diawasi oleh kerajaan pusat. Ini termasuklah dalam soal perlantikan pegawai dan pemindahan ketua-ketua pegawai. Pegawai-pegawai yang memerintah dikehendaki menghantar laporan tahunan ke atas kaunti yang berada di bawah pengawasannya. Maharaja Han juga meneruskan sistem perkhidmatan awam berdasarkan kepada sistem peperiksaan umum dan usaha mengambil serta melatih pegawai-pegawai baru.

Tamadun Barat

Di Barat ( Eropah), zaman pertengahan ( yang bermula pada kurun kelima Masihi iaitu selepas keruntuhan empayar Rom) yang berlangsung selama kira-kira 1,000 tahun menampakkan satu zaman gelap. Pada ketika itu Eropah mengalami perpecahan politik. Raja dan golongan bangsawan adalah golongan pemimpin. Setiap golongan bangsawan mempunyai wilayah sendiri dan berkuasa ke atas rakyat biasa yang tinggal di wilayahnya itu. Sekitar tahun 1500 M, zaman pertengahan berakhir dan zaman Eropah Moden mengambil tempat. Pada masa ini muncul beberapa orang raja yang dikenali sebagai golongan Monarki Baru. Bagi mewujudkan unit politik yang utuh, pemerintah harus mengawal golongan pentadbir, bangsawan, tentera. Menjelang pertengahan kurun ke-15, kerajaan bentuk baru mula wujud di Eropah Barat. Raja sesebuah negara bangsa memantapkan kedudukannya melalui golongan pentadbir (yang dilantik dan diberi gaji), tentera tetap (tentera upahan) dan sistem cukai yang berkesan.

Tamadun Melayu

Di Alam Melayu pentadbiran dijalankan melalui pentadbiran pusat dan wilayah. Ini ternyata dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu.(kecuali Negeri Sembilan) yang diwarisi dari sistem politik Kesultanan Melayu Melaka. Unit politik yang terbesar ialah negeri yang diketuai oleh raja/sultan. Apabila sesebuah negeri itu meluaskan empayarnya seperti kerajaan Melayu Melaka, Srivijaya, Majapahit dan Acheh, negeri dibahagikan kepada beberapa jajahan/daerah yang diketuai oleh para pembesar. Pembesar diberi hak memerintah oleh raja. Tugas mereka ialah menjaga keamanan wilayah pentadbirannya dan mengutip cukai daripada penduduk di wilayahnya. Sebahagian cukai itu diserahkan kepada raja. Wakil raja yang memerintah di wilayah jajahan dikehendaki memberi taat setia kepada raja.Bagi wilayah-wilayah yang jauh dari pusat pentadbiran, kuasa mentadbir diberi kepada pemerintah tempatan tetapi kesetiaan dan mematuhi perintah raja di pusat pentadbiran hendaklah diberikan.

Di Melaka, ketua pentadbir ialah sultan. Pentadbiran bagi tanah jajahan Melaka ialah ‘raja’ atau ‘pemerintah’ kawasan itu sendiri yang memerintah dengan restu istana Melaka. Mereka mengakui kedaulatan raja Melaka selepas negeri mereka dikalahkan. Kawasan yang ada hasil bijih timah, Mandulika dilantik menjadi pentadbir dan bertanggungjawab terus kepada raja Melaka. Kawasan taklukan Melaka diberi kuasa hak memerintah, kuasa undang-undang, kuasa awam dan jenayah dan kuasa peraturan dan adat tempatan masing-masing. Walau bagaimanapun untuk hukuman bunuh, ia tetap di tangan raja Melaka.

Srivijaya juga diketuai oleh seorang raja yang berkuasa mutlak. Raja dibantu oleh sebilangan pembesar dalam pentadbiran negara. Di sini, pentadbiran diraja tertumpu kepada pentadbiran pusat seperti bidang kehakiman, pengutipan cukai dan hukuman. Pentadbiran daerah pula diketuai oleh datu. Beliau bertanggungjawab bagi hal ehwal tanah, kebajikan rakyat, memupuk kesetiaan rakyat kepada raja dan menjatuhkan hukuman ke atas penentang kerajaan.


... Nurlie 98’.....