Make your own free website on Tripod.com

Tema 1: Manusia dan Masyarakat

Tajuk 1.2: Kemunculan Tamadun

Kawasan Kajian: Mesopotamia, Mesir, Hwang Ho, Mohenjo Daro dan Harapa, Arab, Yunani,Rom,Melayu dan Barat.

Tempat-tempat lahirnya tamadun awal ialah :

Lembah Tigris - Euphrates : Tamadun Mesopotamia atau Sumeria (3500 SM-2000 SM), Lembah Nil : Tamadun Mesir (310SM - 1075SM), Lembah Indus : Tamadun Indus ( 2500SM -1500SM), Lembah Huang Ho : Tamadun Shang (1800SM), Di Amerika Selatan : Tamadun Inca, Maya, Aztec, Di Yunani: Tamadun Crete, Di Tanah Arab : Tamadun Arab, Di Rom : Tamadun Rom, Di Tanah Melayu : Tamadun Melayu, Di Barat ( Eropah) : Tamadun Barat

1. Petempatan

Tamadun Mesopotamia

Tamadun Mesopotamia yang wujud antara tahun 3500 Sm hingga 2000 Sm itu terletak di antara Sungai Tigris dan Euphrates di negara Iraq. Nama Mesopotamia diberi oleh orang Greek purba, telah diasaskan oleh orang Sumeria, diteruskan oleh orang Babylonia dan diikuti oleh orang Assyria. Orang Sumeria dipercayai berasal dari dataran tinggi Asia Tengah. Lembah Sungai Tigris dan Euphrates membolehkan penduduknya mengusahakan pertanian secara besar-besaran.

Tamadun Mesir

Tamadun Mesir (3100SM - 1075SM) terletak di Lembah Sungai Nil, Negeri Mesir. Orang Mesir menganggap Mesir adalah ‘hadiah daripada Sungai Nil’. Ini adalah kerana lebih 90% daripada negara Mesir merupakan kawasan gurun yang tidak subur. Sungai yang mengalir sejauh 750 batu dari hulu ke muara membawa tanah hitam yang subur apabila airnya membanjiri kawasan tebing sungai. Tanah yang subur ini memboleh penanaman 2 atau 3 kali pada satu musim. Dengan tanah subur yang terhad itu orang Mesir mengusahan tanaman dan membuat sistem pengairan. Di sebelah utara negeri ini terbentang Laut Mediterranean.

Tamadun Indus

Tamadun yang wujud antara tahun 2500 SM hingga 1500SM ini terletak di Lembah Sungai Indus, negara India.. Seperti tamadun Mesopotamia dan Mesir, tamadun ini juga membawa penduduknya terlibat dalam bidang pertanian. Kegiatan pertanian telah dikesan di dataran lanar Sungai Indus sejak tahun 3000SM lagi.

Tamadun China

Tamadun ini wujud pada tahun 1500 SM yang dimulai oleh Tamadun Shang (1500SM - 1100SM). Ia bermula di kawasan munculnya kegiatan pertanian iaitu di lembah Sungai Kuning atau Sungai Hwang Ho di utara negara China. Dari China Utara ini pertanian berkembang, diikuti tamadun dan perluasan politik yang kemudian aspek-aspek ini berkembang ke selatan Tamadun China ini seterusnya tersebar luas ke Jepun, Korea dan ke Asia Tenggara.

Tamadun Yunani

Tamadun Crete ( 2000SM - 1400SM) mengambil sempena nama Pulau Crete yang merupakan salah sebuah pulau Greek merupakan tamadun terawal di Eropah. Tamadun ini tidak seperti tamadun-tamadun Mesopotamia, Mesir, Indus dan China yang kesemuanya wujud di kawasn lembah sungai yang subur. Tanah di kawasan Pulau Crete ini tidak subur untuk pertanian. Penduduknya bergantung kepada perdagangan. Hubungan lebih kepada laut. Dengan itu aktiviti mereka condong kepada pengembaraan, menjelajah, menerokai tanah-tanah baru di samping berniaga. Sebab itulah mereka membuat hubungan dengan tempat lain seperti dengan tamadun Nil, Parsi dan Sumeria.

Tamadun Rom

Rom terletak di atas sebuah bukit kecil di tepi Sungai Tiber, Itali. Di selatannya terbentang Laut Mediterranean.Tamadun ini dikembangkan oleh pendatang-pendatang seperti orang-orang Aryan/Latin ( pantai barat Itali), orang-orang Etruscan (sebelah utara dari kawasan kediaman orang Aryan) dan orang-orang Yunani ( di selatan Itali dan Pulau Sicily).

Tamadun Arab

Ia berkambang di negara Arab yang terletak di kawasan Timur Tengah. Konsep tamadun Arab ini berbeza antara sarjana Islam dan ahli sejarah Barat. Bagi sarjana Islam, negara Arab pasa Zaman Jahiliah hidup dalam kebodohan dan tidak teratur dalam semua bidang kerana ketiadaan Rasul dan kitab agama sebagai petunjuk dan panduan hidup. P.K.Hitti yang mewakili ahli sarjana Barat berpendapat, masyarakat Arab Zaman Jahiliah hanya jahil dari aspek agama dan moral sahaja tetapi bertamadun dalam aspek politik, ekonomi dan ilmu pengetahuan ( tamadun Sabak di Selatan Semenanjung Arab dan Mekah di kawasan Tengah Semenanjung Arab)

Tamadun Melayu

Tamadun ini berkembang di Kepulauan Melayu, di Asia Tenggara. Tamadun ini kemudiannya diresapi unsur-unsur Hindu, China dan agama Islam.

Tamadun Barat

Tamadun ini terletak di Eropah. Ia bermula menjelang tahun 1500 M dan dikenali sebagai Zaman Moden Awal Eropah selepas berakhirnya Zaman Gelap Eropah ( Zaman Gelap bermula selepas kejatuhan Rom) Benua Eropah mula menempun perubahan dan kemajuan dalam pelbagai ilmu pengetahuan. Bermula zaman inilah kuasa-kuasa Eropah menjelajah, meneroka dan berinteraksi dengan kuasa-kuasa lain di luar Eropah.

Tamadun-tamadun Mesopotamia, Mesir, Indus dan China lahir di lembah sungai. Kenapa?

    1. Di lembah-lembah sungai terdapat tanah-tanah yang subur dan amat sesuai untuk aktiviti pertanian dan penternakan. Kesuburan tanah membolehkan tanaman makanan diusahakan dengan banyak dan boleh menampung penduduk yang ramai.
    2. Sesuai untuk dijadikan kawasan petempatan kerana tidak berbukit bukau.
    3. Muka bumi yang landai dan datar serta rendah memudahkan manusia membuat kediaman yang selesa.
    4. Mudah dapat sumber makanan di sungai seperti ikan.
    5. Kemudahan belayar, pengangkutan dan perhubungan.
    6. Tanah liat yang ada di situ membolehkan manusia membuat alat-alat keperluan harian seperti belanga, pasu tempayan, bahan binaan membuat tempat kediaman.

 

2. Perbandaran

Perbandaran wujud selepas kewujudan kawasan tempat tinggal. Dari hidup berkampung dengan bercucuk tanam misalnya akan berkembang menjadi bandar dan seterusnya kota. Inilah yang berlaku pada tamadun Mesopotamia. Selepas 2500 tahun orang Sumeria hidup berkampung dengan bercucuk tanam, kampung-kampung mereka telah berkembang menjadi bandar dan seterusnya menjadi kota. Di peringkat inilah orang Sumeria dikatakan memperoleh ciri-ciri bertamadun..Dikatakan bahawa masyarakat Sumerialah yang telah membina bandar-bandar yang terawal di dunia. Bandar-bandar di Sumer disebut kota dan negara kota kerana setiap bandar merupakan sebuah unit politik yang bebas dengan raja dan dewanya sendiri. Kota-kota itu sentiasa bermusuh-musuhan antara satu sama lain. Contoh bandar dalam tamadun ini ialah , bandar Ur dan Lagash ( negara kota yang terpenting), Uruk (Erish) dan Kish. Bandar-bandar Ur, Assur dan Nippur kategorikan sebagai bandar-bandar metropolis yang dibina secara terancang. Kota Sumeria terletak di tebing sebuah terusan atau sungai berhadapan dengan hutan yang mengandungi rumpun-rumpun pohon kurma, delima, fig dan anggur.Di sebalik hutan ini terdapat tanaman gandum dan barli dan seterusnya terdapat padang-padang rumput untuk binatang ternakan mereka. Setiap kota mempunyai peraturan dan undang-undang perairan yang rumit. Setiap kota mempunyai rumah-rumah yang dibina daripada batu bata dan juga sebuah ziggurat ( piramid dengan sebuah kuil). Kuil/zuggurat dibina untuk memuja dewa-dewa. Penduduk bandar membina benteng pertahanan atau kubu untuk melindungi mereka daripada serangan musuh.

Di Mesir, sebelum tahun 7000 SM telah berlaku revolusi pertanian yang pesat. Perkampungan telah membangun dengan pesat. Dari petempatan kecil telah berkembang menjadi bandar-bandar besar dan beberapa negara kota muncul seperti Kahirah dan Memphis. Bandar-bandar metropolis dirancang dan dibina. Contohnya, Karnak dan Luxor. Bagi tamadun di lembah Indus, terdapat sebanyak 60 buah bandar dan yang terbesar ialah Mohenjo Daro ( di Sind) dan Harappa (di Punjab). Kedua-dua bandar itu merupakan bandar yang dibina dan dirancang dengan teratur dan merupakan bandar terancang yang terawal dalam sejarah.. Perancangan bandar ini dibuat dengan sempurna dan mengikut grid. Umpamanya, dalam pembinaan sesuatu bangunan, piawai yang tertentu dikenakan supaya bangunan tersebut tahan lama. Di antara ciri-ciri istimewa bandar-bandar tersebut ialah mempunyai sistem parit yang tersusun, sistem jalan raya yang lurus dan mempunyai sistem saluran najis di bawah tanah ( sistem pembentungan).Longkang-longkang dan parit bawah tanah dibina dan dihubungkan dengan sungai-sungai. Kehidupan penduduk Mohenjo Daro dan Harappa sangat sistematik. Di dalam kota-kota itu terdapat kawasan perumahan berpetak-petak yang dipisahkan oleh jalan yang lurus. Tiap kota mempunyai sebuah kubu yang kuat untuk melindungi bandar daripada serangan musuh. D tengah-tengahnya bandar terdapat sebuah tempat mandi awam (untuk upacara keagamaan). Pembinaan kubu-kubu dan bangunan-bangunan besar menunjukkan ketinggian tamadun Indus.

Tamadun China di lembah Hwang Ho sama juga seperti tamadun lain iaitu daripada sebuah perkampungan, berkembang menjadi bandar-bandar metropolis seperti Shang, Anyang, Loyang dan Changgan kerana penduduk yang bertambah ramai. Anyang merupakan bandar yang besar di negara China. Di antara ciri-ciri bandar Anyang ialah merupakan bandar pertama di tebing Sungai Hwang Ho, muncul kira-kira pada tahun 1800SM, merupakan bandar tertua di negeri China dan menjadi ibu kota Dinasti Shang.

Tamadun Yunani yang terawal bermula di Pulau Crete yang terletak di Laut Aegean.Kewujudan bandar-bandar dalam tamadun ini didorong oleh perubahan corak kehidupan iaitu dari kehidupan nomad kepada kehidupan yang tetap (terikat kerana pertanian).Mereka telah menubuhkan suku kaum masing-masing. Suku-suku itu pula telah menetap di satu-satu kawasan yang kemudiannya telah membentuk kampung. Kampung-kampung ini kemudiannya telah berkembang menjadi bandar/ kota. Luas tiap-tiap kota adalah antara 80 hingga 800 km persegi dengan purata penduduk seramai 5000 orang. Setiap kota membawa kehidupan sendiri ( tiada perpaduan antara satu kota dengan kota yang lain). Ini berpunca dari keadaan geografi yang berbukit bukau, sistem kepercayaan yang berbeza dan keinginan tiap-tiap kota untuk memiliki kekayaan dan perdagangan masing-masing. Setiap kota mempunyai tentera dan undang-undang masing-masing. Ibu kota Crete ialah Knossus, merupakan kota yang pertama di Eropah. Penduduknya berjumlah 80000 orang. Satu ciri utama kota knossus ialah istananya yang dikelilingi oleh tempat tinggal golongan aristokrat. Golongan miskin tinggal di kawasan industri. Kota Knossus mempunyai jalan-jalan yang tersusun dan sistem pengairan yang lengkap. Tiap-tiap kota dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu:

    1. Acropolis : merupakan sebuah kawasan yang mempunyai tembok-tembok pertahanan. Kuil yang dipanggil Parthenon dibina dipusatnya untuk memuja Dewi Athena.
    2. Kawasan di bawah Acropolis merupakan kawasan kediaman dan pasar-pasar.
    3. Kawasan di luar kawasan tempat kediaman.

Tamadun Rom bermula bermula daripada kampung-kampung kecil yang wujud di kawasan selatan Sungai Tiber di Itali. Penduduk yang mendiami kawasan tersebut ialah orang-orang Aryan atau dikenali sebagai orang Latin. Perkampungan mereka telah berkembang menjadi bandar besar dan seterusnya menjadi sebuah empayar. Di bahagian selatan Itali dan Pulau Sicily didiami oleh orang-orang Yunani. Mereka mendirikan bandar-bandar dan mengamalkan kebudayaan Yunani. Rom merupakan sebuah bandar terbesar di Itali. Bandar ini terletak di sebuah bukit kecil di tepi Sungai Tiber. Rom berkembang dan menjadi bandar penting yang akhirnya meliputi tujuh buah bukit di sekitarnya. Apabila Rom jatuh ke tangan orang-orang Etruscan pada abad ke-6 SM, Rom telah muncul sebagai sebuah bandar yang besar dan sebuah tembok dibina mengelilingi ketujuh-tujuh bukit tersebut. Banyak bangunan dibina oleh orang-orang Etruscan. Sebuah pelabuhan juga dibina di tebing Sungai Tiber untuk urusan perdagangan.

3. Organisasi Sosial

Tamadun Mesopotamia

Masyarakat Mesopotamia terbahagi kepada 3 kelas. Kelas yang tertinggi dikenali sebagai amelu atau kanun bangsawan. Kelas kedua ialah mushkinu (kelas pertengahan) dan yang di bawah sekali ialah hamba abdi. Kelas atasan terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, golongan agama (pendeta, paderi atau rahib) dan tentera. Golongan yang paling berkuasa dalam tamadun Mesopotamia ialah golongan agama. Kelas pertengahan terdiri daripada pedagang-pedagang, guru, juruwang, ahli nujum, ahli sains, ahli silap mata, petani dan tukang. Kelas yang paling bawah merupakan kelas hamba abdi. Hamba abdi telah wujud di Mesopotamia sejak awal lagi tetapi tidaklah dipandang hina. Golongan hamba ini terdiri daripada orang tawanan perang, penjenayah, orang yang telah dijadikan hamba abdi sejak kanak-kanak lagi dan orang tempatan yang dijual beli. Sekiranya seorang hamba patuh dan setia kepada tuannya, dia boleh dibebaskan. Hamba abdi boleh berkahwin dengan orang biasa dan apabila ibu bapa mereka meninggal, anaknya akan dibebaskan. Mereka diberi keistimewaan tertentu dan boleh membuat rayuan kepada pihak yang berkuasa tetapi mereka tidak diberi peluang dalam pentadbiran. Orang dari kelas mushkinu diberi kebebasan dalam semua perkara dan tidak diwajibkan berkhidmat dalam tentera kecuali bila negeri menghadapi bahaya ancaman luar. Pergerakan dari satu kelas ke kelas lain adalah sukar. Orang perempuan tidak dianggap sebagai barang jualan tetapi dianggap sebagai seorang individu dan warganegara. Dia mempunyai hak ke atas wangnya sendiri, harta benda suaminya dan ayahnya ddn boleh menjalankan perniagaannya sendiri dan mempunyai hamba abdi sendiri. Jika dia menguruskan perniagaan suaminya semasa ketiadaan suaminya, dia berhak menerima sepertiga dari keuntungan yang diperolehi. Sebaliknya, seseorang yang berhutang boleh menyuruh isterinya menjadi hamba kepada orang yang memberi hutang tetapi hanya dalam jangka waktu 3 tahun sahaja.

Tamadun Mesir

Susun lapis masyarakat Mesir terbahagi kepada 3 kelas iaitu Kelas Atasan, Kelas Pertengahan dan Kelas Bawahan. Firaun diletakkan pada kedudukan tertinggi dalam hiraki masyarakat Mesir kerana beliau dianggap sebagai tuhan. Kelas atasan terdiri daripada pendeta dan golongan bangsawan. Golongan pendeta diberi kedudukan yang tinggi kerana agama merupakan unsur penting dalam kehidupan orang Mesir.Tugas pendeta ialah melakukan kerja-kerja sembahyang dan pengkebumian. Golongan bangsawan dianggap penting kerana mereka membantu Firaun dalam pentadbiran. Mereka memegang jawatan sebagai gabenor daerah, pemungut cukai dan pegawai istana. Kelas pertengahan terdiri daripada pedagang, artisan dan kumpulan profesional seperti guru, artis, doktor dan jurutulis. Kelas bawahan yang merupakan golongan terbesar terdiri daripada petani dan hamba abdi. Para petani menyerahkan sebahagian daripada hasil mereka kepada kerajaan sebagai cukai. Hamba abdi yang merupakan golongan terendah terdiri daripada tawanan perang dan orang yang dijual beli. Kebanyakan mereka bekerja di projek pengairan, kuari kerajaan dan kuil. Terdapat mobiliti sosial dalam masyarakat Mesir. Seseorang yang berbakat boleh bergerak dari peringkat bawah ke peringkat yang lebih tinggi. Kedudukan kaum wanita dalam masyarakat Mesir adalah tinggi/ penting kerana harta tanah diturunkan dari ibu kepada anak perempuan. Wanita juga boleh menaiki takhta kerajaan. Mereka juga mempunyai hak membeli dan menjual harta. Mereka juga dipandang mulia jika boleh melahirkan ramai anak.

Tamadun India

Tidak banyak catatan tentang organisasi sosial tamadun awal di Lembah Indus, India. Seperti tamadun Mesopotamia dan Mesir, tamadun India juga mempunyai 3 kelas masyarakat. Kelas Atasan terdiri daripada golongan pendeta, pendeta raja (golongan bangsawan) dan pemilik tanah yang menikmati kehidupan mewah. Kelas pertengahan terdiri daripada golongan artisann, pedagang, petani ( yang mengusahakan tanaman barli, padi, gandum dan kapas) dan penternak binatang (menternak kambing biri-biri, lembu, ayam dan khinzir). Kelas terendah sekali terdiri daripada hamba abdi.

Tamadun China

Susun lapis masyarakat China pada zaman pemerintahan Dinasti Shang terdiri daripada tiga lapisan (tidak termasuk raja). Raja mempunyai kedudukan yang paling tinggi dan berkuasa mutlak. Raja dibantu oleh golongan bangsawan. Golongan bangsawan menduduki hiraki yang tertinggi dalam sistem feudal yang diwujudkan oleh Dinasti Chou. Melalui sistem feudal, Dinasti Chou memberi kuasa kepada golongan bangsawan mentadbir sesatu wilayah secara mutlak. Golongan atasan menghabiskan masa lapang mereka dengan berburu, mengadakan jamuan besar dan mendengan muzik. Selepas golongan bangsawan ialah golongan petani. Golongan ini merupakan golongan terbesar dalam masyarakat Shang. Semasa pemerintahan Dinasti Chou, sebilangan petani yang bekerja di sawah-sawah kecil telah menjadi hamba berhutang kerana gagal mengeluarkan hasil yang mencukupi. Selepas golongan petani terdapat golongan artisan, peniaga dan askar. Kaum wanita dipandang rendah.

Tamadun Yunani

Masyarakat Sparta terdiri daripada 3 golongan iaitu Golongan Peer (yang terdiri daripada golongan pemerintah dan pemilik tanah), Golongan Perioeci ( orang bebas yang menjalankan kegiatan perdagangan dan perusahaan) dan Golongan Helot ( petani dan hamba abdi yang mengerjakan tanah golongan Peer). Golongan Peer diwajibkan mengikuti latihan ketenteraan kerana mereka sering menghadapi pemberontakan dari golongan Helot. Hanya bayi golongan Peer yang sihat sahaja dibenarkan hidup. Ibunya memelihara anaknya selama 7 tahun dan selepas itu kerajaan mengambilnya untuk diberi latihan ketenteraan. Setiap lelaki harus berkorban untuk negaranya. Anak perempuan diberilatihan gimnastik dan ditanamkan dengan fahaman bahawa mereka mesti berkhidmat untuk negara dengan menjadi isteri yang setia. Di Athens, masyrakatnya dibahagikan kepada 2 golongan iaitu golongan bangsawan dan golongan orang biasa ( terdiri daripada warganegara dan bukan warganegara). Golongan bangsawan memiliki kawasan tanah terbaik dan menguasai bidang politik. Golongan petani yang gagal membayar hutang golongan bangsawan telah menjadi hamba kepada golongan bangsawan. Masyarakat Athens lebih mementingkan kebebasan dan hak indiviidu.

Tamadun Rom

Masyarakat Rom dibahagikan kepada 3 kelas iaitu:

  1. Golongan Patrisian : golongan bangsawan yang merupakan pemilik tanah yang kaya, memonopoli jawatan Konsul dan keahlian Senet.
  2. Golongan Plebeian : rakyat jelata yang terdiri daripada petani kecil ( masyarakat Rom terbesar), artisan dan peniaga. Mereka dipaksa membayar cukai yang tinggi serta berkhidmat dalam angkatan tentera Rom. Dari segi politik, pada tahap awal mereka hanya dibenarkan menjadi ahli Perhimpunan Centuriate. Hinggatahun 445SM mereka dilarang berkahwin dengan golongan Patrisian.
  3. Golongan hamba :kebanyakan golongan ini terdiri dari orang tawanan. Mereka bekerja diladang, kilang atau pembantu rumah golongan atasan.

Kaum wanita Rom mempunyai status yang lebih baik daripada wanita Athens. Mereka membantu mengasuh anak-anak dan memberi nasihat dalam soal peribadi. Wanita kelas atasan Rom menerima pendidikan tinggi dan boleh memperoleh harta.

Tamadun Arab

Organisasi Sosial masyarakat Arab zaman sebelum kedatangan Ialam ( Zaman Arab Jahuliah) menampakkan pengamalan sistem kelas dan kasta. Di kawasan Arab Tengah atau Hijaz umpamanya, kelas tertinggi dipegang oleh golongan aristokrat keturunan Quraisy. Meeka merupakan kelas pemerintah, bukan sahaja kerana keturunan mereka bahkan juga kerana kekayaan mereka. Walau bagaimanapun terdapat juga di kalangan mereka yang tidak berada tetapi masih berpengaruh seperti Abu Talib, bapa saudara Nabi Muhammad. Selepas kaum Quraisy barulah diikuti oleh kabilah-kabilah lain yang tinggal berdekatan dengan Kaabah. Pada zaman Qusai bin Kilab menjadi pemerintah Mekah, martabat sesatu kabilah diukur berdasarkan jauh dekatnya kediaman mereka dari kaabah. Kabilah Bani Zohrah merupakan kabilah yang lebih mendekati kabilah Quraisy. Sebagai suatu sistem sosial ala feudalisme, terdapat kelas hamba abdi yang besar bilangannya. Mereka tidak mempunyai apa-apa hak hingga batang tubuh sendiri dapat dijual belikan. Kebanyakan mereka orang Arab juga tetapi sesetengahnya bukan berbangsa Arab. Tentang kedudukan kaum wanita, pada umumnya nilai mereka sangat rendah pada pandangan masyarakat Jahiliah. Mereka merasa malu apabila mendapat anak perempuan dan kerana itu telah menjadi kebiasaan mereka menanam hidup-hidup anak perempuan mereka. Kaum wanita hanya layak menjadi pemuas seks kaum lelaki. Walau bagaimanapun, kedudukan sosial yang berkelas-kelas dan memandang rendah kepada kaum wanita itu telah dihapuskan apabila agama Islam menyinari bumi Arab. Semua manusia dianggap satu ummah yang tidak dibeza-bezakan melalui pangkat, harta mahupun jantina di sisi Allah. Kayu ukur kemuliaan seseorang manusia itu dinilai dari segi ketakwaannya.

Tamadun Barat

Keruntuhan Empayar Rom pada sekitar abad ke-5 M telah memulakan zaman pertengahan Eropah( selama 1000 tahun). Peringkat awal zaman pertengahan itu dianggap sebagai zaman gelap kerana Eropah melalui satu peringkat yang kurang maju perpecahan politik, kemersotan ekonomi dan kongkongan agama Kristian terhadap masyarakatnya). Masyarakat Eropah masa itu terbahagi kepada 2 golongan iaitu pemimpin ( terdiri daripada raja dan bangsawan/ vassal) dan yang dipimpin ( rakyat biasa / serf ) Raja berada pada kedudukan tertinggi, diikuti lapisan kedua iaitu golongan bangsawan/vassal dan ahli agama. Golongan rakyat biasa itu terdiri daripada petani dan rakyat biasa. Mereka bukanlah hamba tetapi mereka tidak bebas sepenuhnya. Mereka bekerja untuk tuan mereka iaitu golongan pada lapisan kedua tadi. Mereka terikat kepada pemimpin atau tuan mereka dan tidak bebas bergerak atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Kedudukan mereka adalah di antara hamba dengan orang bebas. Sistem begini dipanggil sistem feudal. Apabila zaman pertengahan itu berakhir, zaman moden Eropahpun bermula pada sekitar tahun 1500M. Organisasi sosial Eropah turut berubah dengan kemerosotan sistem feudal. Peningkatan pertanian dagangan, perkembangan bandar dan sektor perusahaan telah memberi peluang kepada golongan serf ini bebas dari belenggu tuan tanahnya. Ada di antara mereka yang melarikan diri ke bandar untuk menjadi buruh upahan.

Tamadun Melayu

Di Alam Melayu juga menampakkan organisasi sosial yang mementingkan kelas. Terdapat 2 kelas manusia. Kelas teratas mengandungi raja dan bangsawan. Kelas kedua pula terdiri daripada rakyat jelata yang menjadi hamba kepada golongan pertama tadi. Hiraki sosial yang membeza-bezakan taraf manusia ini sebenarnya adalah bertolak dari ajaran kasta Hindu. Di Srivijaya misalnya, terdapat dua kelas yang utama iaitu kepas pemerintah dan kelas diperintah. Kelas-kelas ini dibahagikan pula kepada 4 golongan ( golongan raja, bangsawan, orang merdeka dan hamba abdi). Kedudukan wanita di alam Melayu tidak dipandang rendah, malah ada di kalangan mereka berpeluang menjadi pemerintah seperti yang berlaku di Majapahit dan di Bali. Apabila Islam mula mengambil tempat di alam Melayu, perbezaan taraf manusia mula dikikis tetapi mengambil masa yang agak lama.

4. Kepercayaan dan Agama

4.1 : Kepercayaan

Antara ciri-ciri tamadun ialah adanya kepercayaan dan agama dalam kehidupan manusia. Nilai-nilai kepercayaan dan agama adalah satu ciri penting dalam kemunculan sesuatu tamadun seperti yang terdapat dalam tamadun Mesopotamia, Mesir, Lembah Indus dan Hwang Ho. Pemerintah menanggung perbenlanjaan yang tinggi untuk perkara-perkara keagamaan. Sejumlah besar kutipan cukai dikhaskan untuk keperluan agama dan untuk membina tempat-tempat ibadat seperti kuil dan sebagainya. Masyarakat tamadun awal mempercayai kewujudan banyak tuhan atau polytheistic. Unsur alam semula jadi dijadikan sesuatu untuk disembah bagi tujuan menjauhkan malapetaka. Kepercayaan terhadap unsur alam mempengaruhi setiap aspek kehidupan. Contohnya, dalam bidang pertanian, mereka memuja unsur alam untuk mendapatkan hasl yang banyak. Keadaan tersebut telah membawa kepada penyembahan berhala untuk mendapatkan perlindungan.

Tamadun Mesopotamia

Agama orang Sumeria bersifat politeisme. Mereka menyembah banyak tuhan atau dewa dewi yang mempunyai ciri-ciri bentuk manusia. Dewa dewi ini dipercayai mendatangkan kebaikan atau keburukan. Mereka tidak menyembah raja mereka tetapi menganggap raja sebagai wakil tuhan di dunia.Tuhan utama orang Sumeria ialah Anu (dewa/tuhan langit), Enlil (tuhan bumi),Enki (tuhan air). Menurut kepercayaan orang Sumeria, nasib negara, rakyat dan kejadian alam ditentukan oleh dewa-dewa. Contohnya, dewa Dumumi dan dewa Inanna menentukan musim bungaan danmusim salji. Orang Sumeria tidak percaya kepada kehidupan selepas mati. Menurut orang Sumeria, tuhan-tuhan mereka tidak pernah berkuasa ke atas kehidupan di akhirat. Penyembahnya berddoa meminta rahmat kebendaan dan dipanjangkan umur. Mereka percaya bahawa bencana alam seperti banjir dan kebuluran merupakan hukuman yang ditimpa ke atas mereka. Mereka juga percaya bahawa jika mayat tidak dikebumikan, si mati akan bangkit merayau-rayau di lorong-lorang untuk mencari makanan. Mereka sangat takut kepada hantu orang mati.Sebab itulah mereka sangat mengambil berat tentang pengkebumian orang mati. Mayat yang ditanam dibekalkan dengan makanan yang diisi dalam takar. Mayat lelaki dibekalkan dengan kail dan senjata, mayat perempuan pula dibekalkan cermin yang dibuat dari tembaga. Barang-barang lain yang dibekalkan ialah seperti kereta kuda, barang perhiasan dan barang-barang lain yang dimiliki olehnya temasuk orang gaji. Mereka mengkebumikan mayat di bawah lantai rumah supaya roh simati tidak berasa diketepikan dan dapat bersama dengan keluarganya ketika menyembah tuhan keluarga mereka. Orang Sumeria menyembah tuhan yang dipercayai turun ke bumi untuk melindungi negara kota mereka. Dengan itu mereka membina ziggurat ( kuil yang berbentuk piramid yang bertingkat-tingkat setinggi 6 atau 7 tingkat). Ziggurat ini berbentuk menara dan lebih tinggi dari bangunan-bangunan lain yang ada di dalam kota. Kuil ini biasanya dibina di atas bukit. Oleh kerana ziggurat itu tinggi, ia boleh kelihatan berbatu-batu jaraknya. Kuil merupakan bangunan yang paling penting di dalam sesebuah bandar. Pejabat-pejabat perniagaan dan pentadbiran dan gudang terletak di dalam perkarangan kuil. Tempat pemujaan merupakan tempat paling penting dalam kuil. Mereka menjalankan upacara pemujaan tuhan bagi mengelakkan malaa petaka yang dianggap sebagai hukuman tuhan. Ziggurat pertama telah dibina di kota Nippur untuk tuhan Enlil. Ketua sami juga merupakan ketua bandar. Ini kerana dasar pemerintahan Sumeria berbentuk teokrasi ( agama sebagai dasar pemerintahan). Setiap kota di Sumeria mempunyai sebuah kuil. Setiap negara kota mempunyai dewa penaung (patron deity).Mereka percaya, tuhan yang dipuja oleh sesebuah bandar menetap di menara kuil. Di antara upacara agama yang dijalankan ialah pemujaan dan pengorbanan. Upacara pemujaan dijalankan di dalam ziggurat. Pengorbanan dibuat hanya apabila raja-raja meninggal dunia. Apabila raja-raja meninggal dunia, pengiring-pengiringnya turut mengiringi kematian itu ( mati bersama/dibunuh). Dalam tugu-tugu diraja dijumpai bersama mayat itu ialah barang-barang hiasan seperti emas dan perak. Mayat raja/permaisuri dipakaikan pakaian yang lengkap dan serba indah, lengkap dengan barang kemas yang bertatahkan permata.

Tamadun Mesir

Di Mesir, masyarakatnya mempercyai bahawa alam dikuasi oleh tuhan-tuhan yang menetukan hidup atau mati segala benda yang wujud di muka bumi ini. Antara nama tuhan atau dewa orang Mesir ialah Amon-Re (tuhan matahari), seth, Isis (tuhan bulan), Osiris (tuhan Sungai Nil), Thoth, Horus, Bast, Anubis, Khnum, Nepthys, Nut (tuhan langit), Shu (tuhan udara) dan ptah. Mereka juga menyembah tuhan tanaman dan tuhan binatang.. Tuhan yang paling penting dan dianggung-agungkan oleh mereka ialah Amon re dan Osiri..Menurut kepercayaan mereka, seth ialah tuhan jahat yang selalu menyebabkan tanaman rosak. Firaun Amenhotep IV atau Akhenaton 9 kira-kira tahun 1375-1360SM) pernah cuba memperkenalkan idea satu tuhan tetapi ditentang oleh sami-sami. Akhirnya beliau terpaksa juga membenarkan pemujaan ramai tuhan. Orang Mesir juga percaya tentang kehidupan roh selepas mati. Oleh itu mereka mengawet mayat (mumia) untuk menghalangnya dari menjadi reput. Mereka percaya bahawa tuhan Osiris akan memberi kehidupan selepas seseorang itu mati. Mayat ditanam bersama-sama dengan makanan, pakaian, perkakas rumah dan barang kemas supaya hidup bahagia di akhirat. Selain dari itu, mayat juga dibekalkan dengan patung-patung kecil dan model-model kapal sebagai simbul kekayaan yang akan dimilki oleh si mati itu.dalam dunia akhirat kelak. Papyrus bergulung yang tertulis di atasnya mentera turut ditanam bersama dengan tujuan bagi mengelakkan rohnya menceritakan kejahatan seseorang di dunia semasa tuhan-tuhan mengadilinya. Kadang-kadang ilmu sihir, buku-buku nyanyian dan sajak juga ditanam bersama untuk menjadi hiburan kepada seseorang itu di akhirat kelak.. Mereka percaya bahawa tiap-tiap amalan baik atau jahat akan diadili di akhirat dengan berbagai-bagai ujian. Jantung orang mati akan ditimbang. Mereka yang lulus ujian itu akan masuk ke syurga, manakala yang gagal akan ditelan raksaksa. Orang Mesir menyediakan badan yang yang telah dimumiakan( awet) sebagai tempat roh bersemadi. Piramid dibina untuk menyimpan harta Firaun yang telah mati dan mayat yang telah dimumiakan. Piramid yang terkenal ialah piramid raja Khufu (Cheops) yang dibina oleh Giza.

Tamadun Lembah Indus

Masyarakat tamadun Lembah Indus juga percaya kepada banyak tuhan (politeisme).Mereka menyembah dewa dewi. Salah satu tuhan atau dewa yang mereka sembah ialah Tuhan Bermuka Tiga (Mother - Goddess). Ada ahli sejarah yang berpendapat bahawa Tuhan Bermuka Tiga itu adalah Siva. Bagi masyarakat Lembah Indus, dewi yang paling utama ialah Dewi Alam atau Tuhan Ibu. Bilangan patung yang banyak dijumpai menunjukkan bahawa penduduk di Lembah Indus menyembah binatang dan pokok. Kehadiran simbol swastika ( ) dan roda membuktikan orang Indus menyembah tuhan matahari. Terdapat juga tanda-tanda bahawa mereka memuja alat kemaluan lelaki sebagai pembawa benih atau zuriat yang dinamakan linga yang kemudian dikaitkan dengan Dewa Hindu Siva. Sebutir batu hitam yang menyerupai Sivalingam telah ditemui di Lembah Indus. Selepas kedatangan orang-orang Aryan pada tahun 1500 SM, mereka membawa kepercayaan menyembah pelbagai tuhan. Antaranya ialah tuhan Indra (tuhan perwira), Vayu, Agni ( tuhan api), Dyaus (tuhan langit) dan varuna (tuhan hujan). Orang Aryan percaya bahawa tuhan mereka akan melindungi daripada segala kejahatan dan menghukum sesiapa yang bersalah. Ahli-ahli arkeologi belum menemui kuil-kuil pemujaan. Ini menunjukkan upacara pemujaan dijalankan di rumah kediaman. Mereka menjalankan upacara mengorbankan binatang tetapi tidak termasuk lembu kerana lembu dianggap suci terutama lembu jantan. Sebab itulah lembu jantan disembah. Pemujaan terhadap batu bata, pokok dan sungai atau boleh jadi roh juga diamalkan. Kepercayaan animisme ini merupakan penyembahan terhadap Nages, Yaksoas yang dianggap penjelmaan roh. Bukti-bukti menunjukkan kepercayaan ini diamalkan di Mohenjo Daro. Masyarakat Indus juga menjalankan upacara pengkebumian dan pembakaran mayat. Orang yang mati akan ditanam bersama-sama dengan alat-alat tembikar dan barang-barang perhiasan. Air dianggap suci dan mandi adalah satu upacara yang penting. Di bandar besar terdapat tempat mandi awam untuk menjalankan upacara agama.

Tamadun China

Masyarakat tamadun awal China di Lembah Hwang Ho ( masyarakat Shang) percaya bahawa tuhan-tuhan mereka menguasai semua kehidupan manusia. Sebab itulah mereka menyembah banyak objek seperti bulan, matahari, bumi, sungai, angin dan juga arah iaitu timur, barat dan selatan. Tuhan utama adalah Shang Ti yang dianggap mempunyai kuasa ke atas seluruh alam.. Objek-objek itu dianggap sebagai tuhan. Mereka percaya bahawa objek-objek itu mempunyai kuasa yang boleh menyebabkan banjir, kemarau, wabak penyakit dan serangan belalang ke atas tanaman. Bagi mengelakkan mala petaka, mereka menjalankan upacara pengorbanan untuk tuhan-tuhan itu. Masyarakat Shang juga mengasaskan pemujaan nenek moyang yang telah lama mati (ancestral worship). Kepercayaan ini merupakan kepercayaan yang tertua di negeri China. Pemujaan ini dilakukan kerana mereka percaya nenek moyang mereka yang telah mati itu mempunyai pengaruh ke atas kehidupan sehari-hari. Pendeta China telah menggunakan tulang nujum (oracle bones) untuk mendapatkan nasihat atau ramalan daripada nenek moyang ataudewa dewi tentang sesuatu tindakan yang dicadangkan.. Caranya adalah dengan menulis beberapa soalan di atas tulang nujum itu, kemudian menghempaskannya sehingga retak atau memanaskannya hingga retak. Ahli nujum akan membuat ramalan berdasarkan retak-retak yang terdapat pada tulang tersebut. Masyarakat China mempercayai bahawa tuhan-tuhan tinggal di syurga dan dapat melindungi pemuja-pemujanya dari perkara-perkara yang buruk. Penyembahan dengan binatang yang dibunuh dilakukan untuk mencapai hajat tertentu. Bila raja meninggal dunia, orang gaji dan orang tawanannya akan dibunuh dan dikebumikan bersama-samanya. Barang-barang seperti kereta kuda, jed, sutera, bahan gangsa dan alat-alat muzik ditanam bersama.

Tamadun Yunani

Orang Yunani mempercayai tuhan-tuhan/ dewa dewi seperti Zeus, Apollo, Athena dan lain-lain lagi yang dipercayai menetap di Gunung Olympus. Di situlah mereka tinggal sebagai satu keluarga di bawah seorang dewa utama iaitu Zeus ( ‘bapa dewa-dewa dan manusia’). Mengikut kepercayaan mereka, Zeus menguasai guruh, kilat dan taufan dan membuat alam bergoncang apabila sahaja rambutnya bergerak. Dewa Poseidon digambarkan sebagai dewa yang berambut biru tua, menguasai laut dan dewa kepada kuda-kuda. Apollo pula berambut perang membawa lyre dan menjadi penaung segala muzik dan desa penyembuh. Ares merupakan dewa peperangan, bergerak pantas dan menakutkan. Athena bermata kelabu tetapi bersinar - dewi segala pertukangan dan kemahiran.Pendekata, bagi orang-orang Achaean setiap dewa dewi itu mempunyai gelarannya serta sifat-sifatnya yang tertentu dan menjalankan sesuatu tugas yang dikhaskan kepada mereka. Dewa dewi ini dipercayai serupa orang lelaki dan perempuan tetapi boleh hidup kekal abadi. Dewa dewi itu dianggap mempunyai cara berfikir dan hawa nafsu seperti manusia tetapi mempunyai kuasa lebih dari manusia. Orang-orang Achaean percaya bahawa dewa-dewa ini pada keseluruhannya mementingkan keadilan dan belas kesihan sungguhpun mereka tersinggung jika diketepikan. Mereka marah hanya kepada orang-orang yang mengeji penyembahan dan pemujaan dan mereka yang menyakitkan hati orang lemah dan tidak berdosa dan berbangga di atas kezalimannya itu. Mereka tidak sengaja hendak menurunkan bala ke atas manusia. Punca segala keburukan ialah terkandung dalam hati manusia sendiri. Upacara utama dalam dalam penyembahan mereka ialah pengorbanan lembu dan kambing biri-biri; satu upacara pembakaran yang indah dan penuh istiadat diiringi dengan bacaan doa oleh padri, nyanyian hymn dan tarian. Korban-korban ini dibuat bukanlah merupakan pemberian rasuah kepada dewa-dewa tetapi merupakan satu perhimpunan suci dan mesra dengan makan minum bersama dan dapat merapatkan lagi perhubungan manusia dengan dewa-dewa. Itu anggapan mereka. Kota-kota yang memuja tuhan-tuhan yang sama biasanya membentuk sebuah majlis agama. Majlis ini mewujudkan pertalian di antara negara-negara kota. Mereka juga percaya kepada orakel iaitu tempat atau perkara-perkara suci yang pada kepercayaan mereka tuhan-tuhan akan memberitahu manusia tentang masa depan.

Tamadun Rom

Seperti tamadun Yunani dan lain-lain tamadun, masyarakat Rom juga mempercayai dewa dewi terutama dewa pertanian. Mereka juga telah menerima tuhan-tuhan jiran-jiran mereka. Mereka percaya bahawa tuhan mereka tidak cemburu dan menganggap bukan satu penghinaan terhadap tuhan-tuhan mereka apabila mereka menerima tuhan-tuhan baru. Mereka melakukan pembaharuan dalam menerima tuhan-tuhan baru dari negara-negara jiran mereka kerana sebab-sebab tertentu. Contohnya, bila berlaku wabak hawar di negeri mereka, mereka pun mula menyembah tuhan penyembuh Greek. Meeka juga menyamakan tuhan-tuhan mereka dengan tuhan-tuhan orang Greek yang menjalankan tugas yang sama. Contohnya, dewi cinta Greek yang bernama Aphrodite disamakan dengan Venus orang Rom dan cara baru untuk menyembahnya diperkenalkan. Orang Rom menganggap tuhan adalah makhluk ghaib yang mereka takuti. Mereka tidak memikirkan mengenainya. Mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang agama.

Tamadun Arab

Terdapat berbagai kepercayaan di Tanah Arab sebelum kedatangan Islam seperti kepercayaan kepada telahan nujum, animesme (penunggu), mengaitkan arah burung terbang dengan nasib perjalanan, pemakain cincin dan sebagainya.

Tamadun Melayu

Sebelum pengaruh Hindu berkembang di Alam Melayu, orang-orang Melayu berpegang kepada faham animesme. Malah apabila ajarah Hindu, Buddha dan Islam meresap ke dalam kehidupan orang-orang Melayu, kepercayaan animesme masih lagi diamalkan.

4.2: Agama

Tamadun Indus

Agama yang paling terkenal di India ialah agama Hindu. Hinduisme dianggap sebagai agama yang tertua di dunia. Ia berusia lebih dari 3000 tahun yang muncul pada Zaman Veda (2000SM hingga 1000SM) di India.Ia muncul hasil dari percampuran orang di Lembah Indus dengan orang-orang Aryan. Orang-orang Aryan dari Asia Tengah telah membawa bersama-sama kebudayaan dan kepercayaan mereka apabila mereka pergi ke India. Asimilasi antara orang-orang Aryan dan orang-orang di Lembah Indus itu telah mencetuskan agama Hindu ini. Agama ini tidak mempunyai pengasas dan kitab suci tetapi setengah-setengah penganut agama ini menganggap Bhagavadgita sebagai kitab suci mereka. Walau bagaimanapun buku yang tertua tentang agama Hindu ialah Veda ( yang bermaksud Buku Pengetahuan) yang ditulis sekitar tahun 1500 SM oleh orang-orang Aryan dalam bahasa sanskrit. Ia terdiri dari 4 kitab iaituSamhita/Rig Veda, Sama Veda, Yajur Veda dan Atharva Veda. Bandar suci penganut agama ini ialah Benares/ Varanasi, manakala sungai yang dianggap suci ialah Sungai Ganges. Hinduisme merupakan satu sistem kepercayaan dan upacara. Ia lebih berbentuk satu cara kehidupan dari agama. Penganut agama ini memuja 3 dewa iaitu Brahma ( Dewa Pencicpta), Vishnu (Dewa Pelindung) dan Siva (Dewa Pemusnah). Bentuk Hinduisme yang terawal ialah Brahmanisme yang diwujudkan oleh golongan Brahmin/sami. Hinduisme juga memberi peraturan-peraturan dan undang-undang tertentu sebagai petunjuk kepada tingkah laku penganut-penganutnya. Matlamat utama penganutnya ialah untuk mencapai Nirvana atau Moksha yang membolehkan mereka bersatu dengan tuhan/Dewa Brahma. Ia boleh dicapai melalui kehidupan yang sederhana. Sebab itulah mereka percaya kepada kelahiran semula. Sistem kasta atau varna adalah unsur yang dipentingkan dalam agama ini. Ia dibawa oleh orang Aryan. Melalui sistem ini manusia dibahagikan kepada kelas perwira atau aristokrasi ksyatriya), kelas sami (brahmin) dan kelas rakyat biasa (sudra). Kemudian kelas itu menjadi 4 pula iaitu ksyatriy, brahmin, Vaisya (pedagang) dan sudra. Kelas pariah adalah kelas yang terkeluar dari 4 kelas tersebut dan amat dipandang hina. Agama yang kedua yang dianut di India ialah agama Buddha yang lahir pada kurun ke-6 SM. Ia lahir di India. Pengasasnya ialah Siddhartha Gautama. Ia sebenarnya dilahirkan dalam kelas ksyatriya dan dibesarkan sebagai seorang Hindu tetapi apabila beliau melihat kematian, penyakit dan kehidupan seorang pendita,timbul satu kesedaran dalam diri beliau iaitu kebahagiaan boleh dicapai hanya melalui pertapaan dan agama. Beliau dikatakan memperoleh kebenaran setelah bertapa selama 45 hari di bawah pokok bodi di Beneres.Selepas itu beliau diberi gelaran Buddha ( yang bererti Pemberi Cahaya). Hari Wesak merupakan upacara penting agama ini. Beliau menyebarkan agama ini selama 45 tahun sebelum meninggal dunia.

Buddha telah memperkenalkan sangha (masyarakat biara). Sami-sama dalam sangha hidup dengan derma penganut-penganutnya. Ajaran ini tidak mementingkan kasta dalam kehidupan. Pengikut-pengikut Gautama telah meletakkan Gautama sebagai tuhan walaupun Gautama tidak pernah menganggap dirinya seperti itu. Pengikut-pengikutnya telah menyebarkan ajarannya selepas kematiannya. Ajarannya telah banyak diubahsuai hingga timbul beberapa aliran seperti Hinayana (lebih asli dan dipraktikkan oleh penganut di India) dan Mahayana (aliran yang disebarkan ke seberang laut).Menurut Buddha, seseorang itu perlu memahami 4 Kebenaran Mulia untuk memahami kehidupan iaitu:

    1. Kehidupan adalah berkenaan dengan kesengsaraan dan kesakitan.
    2. Kesakitan dan kesengsaraan adalah akibat daripada perasaan iri hati.
    3. Kesakitan dan kesengsaraan akan hilang jika manusia menghapuskan hawa nafsu mereka.
    4. menerangkan cara-cara untuk menghapuskan hawa nafsu iaitu dengan mengikuti 8 Bahagian dalam Jalan-Jalan Kesucian iaitu:

i.. Kepercayaan yang benar

ii. Usaha yang benar

iii. Ingatan yang benar

iv. Perbuatan yang benar

v. Ketekunan yang benar

vi. Fikiran yang benar

vii. Kehidupan yang benar

viii. Pertuturan yang benar

Agama ini juga percaya kepada kelahiran semula dan nirvana (peringkat yang paling bahagia) menjadi matlamat penganut-penganutnya. Buddha juga mengajar tentang ahimsa ( tidak boleh memusnahkan/merosakkan segala benda hidup. Asoka dari Empayar Maurya adalah raja India yang paling bertanggungjawab menyebarkan agama ini ke luar India iaitu ke Sri Lanka dan dari Sri Lanka disebarkan ke Asia Tenggara, Tibet, Jepun dan China.

Tamadun China

Agama Buddha merupakan satu daripada agama yang dianut oleh masyarakat China yang telah dibawa masuk ke China dari Sri Lanka Faham kedua yang tersebar luas di negara China ialah Confuciusnisme. Ia berdasarkan ajaran Confucius/Kung Fu Tze (551-479SM) yang hidup pada zaman Dinasti Chou. Ajaran Confucius terdapat dalam buku klasik berjodol Analekta yang ditulis oleh pengikut-pengikutnya. Ajaran Confucius memberi penekanan tentang harga diri dan perasaan kemanusiaan (ada 5 kebaikan di dunia iaitu amanah, rajin, bersifat mulia, berbudi bahasa dan bermurah hati). Rukun kemasyarakatan yang diajar Confucius ni kemudian telah menjadi falsafah rasmi negara China. Confucius juga menekankan 5 jenis hubungan yang baik iaitu hubungan pemerintah dengan rakyat, Ibu bapa dengan anak, suami dengan isteri, abang dengan adik dan kawan dengan kawan. Di negara China juga tersebar faham Taoisme. Ajaran ini diasaskan oleh Lao Tzu dan Chuang Tzu yang hidup dalam Dinasti Chou. Ia dapat diperolehi dalam buku Tao Te Ching dan Chuang Tzu. Tao bermaksud ‘cara’ atau ‘jalan’ untuk seseorang individu mencari kedamaian dan keharmonian dalam dunia. Ajaran ini menyarankan manusia supaya tidak mementingkan dunia. Taoisme mementingkan kesederhanaan, perdampingan dengan alam semula jadi dan amalan meditasi. Bagi ajaran ini, raja dan kerajaan tidak penting kerana manusia boleh menjalani kehidupan mengikut undang-undang alam. Ajaran ini tidak mendapat sambutan dari kalangan terpelajar. Ia berpengaruh di kalangan rakyat di luar bandar. Sumbangan penting ajaran ini ialah sami-saminya telah membuat banyak perjumpaan dalam bidang perubatan tradisional, mencipta ubat bedil, jarum magnetik dan herba-herba asli. Selain dari ajaran-ajaran tadi, tersebar juga faham Mohisme oleh Mo Ti atau Mo Tzu yang hidup sezaman dengan Confucius. Doktrin utama falsafahnya ialah kasih yang sempurna untuk setiap manusia. Satu lagi faham yang tersebar ialah Legalisme yang muncul serentak dengan Mohisme. Ia dipengaruhi oleh idea dan falsafah Hsun Tzu. Faham ini lebih mementingkan masyarakat dari individu. Falsafah ini menganggap semua individu adalah jahat. Faham ini amat berpengaruh pada zaman Dinasti Chin terutama pada masa pemerintahan Shih Huang Ti.

Tamadun Yunani

Agama Kristian telah tersebar di Yunani oleh pengikut Nabi Isa bernama Paul. Perkataan Kristian berasal dari perkataan Greek, ‘Christos’ yang bermaksud ‘penyelamat’. Pengikut agama ini mengangap Nabi Isa sebagai penyelamat untuk membela orang Kristian. Ajaran ini sebenarnya diasaskan di Asia Barat (Baitul Laham, Palestin). Nabi Isa telah diutus oleh Allah untuk menyebarkan ajaran kepercayaan kepada Tuhan yang satu melalui kitab Injil.Ajaran ini telah berkembang sejak lebih 2000 tahun yang lalu. 

Tamadun Rom

Rom juga menerima ajaran Kristian melalui pengikut Nabi Isa yang bernama Paul. Orang Rom mudah menerima agama ini kerana ia mudah difahami berbanding dengan kepercayaan yang mereka anuti selama ini iaitu banyak tuhan yang amat mengelirukan.Zaman Pax Romana telah membenarkan agama ini disebarkan. Keadaan yang aman membolehkan mubaligh-mubalighnya menyebarkan agama ini ke tempat-tempat lain. Jalan-jalan yang dibina oleh Empayar Rom membolehkan agama ini berkembang ke tanah-tanah jajahannya..Terdapat juga Maharaja Rom yang menindas penganut agama ini. Peter yang menjadi pengikut Nabi Isa telah dibunuh oleh Maharaja Rom tahun 65M. Walau bagaimanapun ketakwaan dan ketabahan mereka menggagalkan usaha maharaja tersebut untuk menyekat penyebaran agama ini. Persidangan Bishop yang dijalankan mulai kurun ke-3 membolehkan penyebaran agama ini terus berjalan lancar. Pada tahun 800M Charlemagne telah dilantik menjadi Maharaja Holy Roman Empire. Beliau telah menggalakkan pertumbuhan gereja-gereja dan biara-biara. Beliau juga meluluskan undang-undang mengizinkan gereja mengutip zakat.

Tamadun Mesir

Mesir menerima agama Kristian melalui pengikut Nabi Isa yang bernama Peter. Apabila Islam berkembang di Madinah, Islam juga tersebar ke Mesir iaitu pada zaman Khalifah Umar al-Khattab.

Tamadun Arab

Zaman sebelum Nabi Muhammad diutus menjadi Rasul bagi menyebarkan agama Islam di bumi Arab, terdapat berbagai agama. Agama di situ terbahagi kepada dua iaitu agama Ilahi/Wahyu (agama Hanif, Nasrani dan Yahudi) dan agama ciptaan manusia ( menyembah berhala, menyembah cakrawala, menyembah padang pasir, menyembah api/majusi. Apabila Islam disebarkan di Mekah pada tahun 610M agama Islam mula mengambil tempat agama-agama yang sedia ada di situ dan selepas kira-kira 23 tahun Islam disebarkan ( selepas pembukaan Kota Mekah) seluruh bumi Arab menerima agama Islam. Agama-agama Yahudi dan Nasrani mula lenyap dari bumi Arab.

Tamadun Melayu

Agama yang mula-mula sekali meresap masuk ke alam Melayu ialah agama Hindu ( sebelum abad pertama Masihi lagi), diikuti oleh agama Buddha. Setelah lebih dari 7 abad, Alam Melayu mula menerima ajaran Islam yang disebarkan oleh pedagang-pedagang dan pendakwah-pendakwah Islam dari Arab dan Gujerat. Apabila kuasa-kuasa Barat seperti Portugis ( abad ke-16M), Belanda dan Inggeris menjajah negeri-negeri di Alam Melayu, agama Kristian pula mula disebarkan.


Nurlie 99’......